Khal pantas duduk menegak apabila melihat Zulaikha berdiri di pintu biliknya dengan menatang dulang makanan. Dulang itu kemudiannya diletakkan di atas meja di hadapan Khal.

"Maaf, Encik Ben. Saya terlambat."

Khal memandang Zulaikha atas bawah. Nasib baik gadis itu selamat sampai semula ke hospital. Tetapi Khal perasan, wajah Zulaikha tidak seperti selalu. Wajah itu kelihatan pucat sedikit.

"Mana awak cari semua ni?" Khal bertanya apabila melihat semua makanan yang dimintanya sudah terhidang di depan mata.

"Pasar malam. Saya harap Encik Ben tak kisah..." ujar Zulaikha perlahan. Cawan air kosong dicapai dan disuakan kepada Khal, ingin menyuruh lelaki itu minum dahulu sebelum makan. Sudah menjadi tugasnya untuk menyuap Khal makan juga kerana tangan kanan lelaki itu patah dan telah disimen.

Ketika Khal ingin mencapai gelas itu dengan tangan kirinya, tangannya berlaga dengan jari-jemari Zulaikha. Sejuk! Sangat sejuk seperti ais! Dengan selamba dia tidak mengambil gelas itu, tetapi memegang tangan Zulaikha.

"Sejuk sangat tangan awak ni..." ujar Khal risau. "Awak redah hujan ke tadi?"

Dengan pantas Zulaikha menarik semula tangannya. "Tolong, Encik Ben. Saya hormat encik, jadi saya harap encik boleh hormat saya."

Khal terdiam sebentar. Sedar dia sudah melebihi batas. Tetapi hati jahatnya berbisik... alah, pegang tangan sikit pun tak boleh. Bukannya luak tang mana pun! Kemudian Khal beristighfar panjang.

Ish, bisikan syaitan!

"Saya tanya, awak redah hujan ke tadi?" Khal mengulang semula soalannya.

"Ya," jawab Zulaikha sepatah tanpa berselindung. "Encik nak makan mana dulu? Apam balik cheese, murtabak daging, atau ayam goreng Uncle Bob?"

Khal rasa bersalah. Dia ingin mengusik sahaja tadi. Dia tidak sangka pula Zulaikha akan mengambil serius permintaannya. Semalam ketika dia meminta sate kijang, pandai pula Zulaikha membantah habis-habisan. Jadi Khal menganggap Zulaikha akan membantah juga ketika dia minta yang bukan-bukan. Tapi kenapa hari ini gadis itu perlu mengikut pula permintaannya yang bukan-bukan itu?

Pintu bilik Khal tiba-tiba dibuka dari luar. Datin Dr Azleen melangkah masuk ke dalam bilik itu untuk melawat anaknya.

"Hai, mama."

"Hai, son. Dah makan?" tanya Datin Dr Azleen kepada anaknya. Kemudian matanya tertancap pada makanan-makanan yang tersusun di atas meja makan anaknya. Matanya membulat. "What are these?" tanya Datin Dr Azleen tegas kepada jururawat yang berdiri di sebelah katil Khal.

"Makanan untuk Encik Ben, doktor." Zulaikha menjawab perlahan. Dia kelihatan takut dan serba-salah.

"Makanan? You called these food? Do you realise where do you work, Cik..." Matanya memandang tag nama pada baju jururawat itu. "Zulaikha?"

"Yes, doctor."

"Habis tu ini apa?!" marah Datin Dr Azleen kepada Zulaikha. Dia melihat makanan-makanan itu satu persatu. Terkejut dia melihat menu-menu itu. "Ayam goreng deep fried?! Dari mana you belajar ni, Zulaikha?" Mana boleh makanan seperti ini diberi kepada pesakit! Langsung tiada khasiatnya!

Zulaikha menundukkan kepalanya. Air mata cuba ditahan sebaik mungkin. Khal yang melihat jadi serba-salah. Semua ini bukan salah Zulaikha. Dia yang meminta makanan yang bukan-bukan. Zulaikha hanya menurut sahaja.

"Mama... don't blame her. Khal yang minta semua makanan ni," ujar Khal cuba mempertahankan Zulaikha.

"Kalau pun Khal yang minta, dia tak boleh bagi! She knows the rule, Khal!" Marah Datin Dr Azleen masih belum reda. "Berapa lama you dah kerja dekat sini, Zulaikha?"

"Dua tahun, doktor." Perlahan sahaja suara Zulaikha.

"You tahu kan apa yang patient boleh makan, apa yang patient tak boleh makan?"

"Mama..." Khal cuba memotong tetapi Datin Dr Azleen buat tidak peduli.

"Tahu, doktor." Zulaikha menjawab.

"Habis tu?!" Suara Datin Dr Azleen meninggi membuatkan Zulaikha sedikit terkejut.

"Mama, dah la tu. Bukannya salah dia pun. Kalau nak marah, marahlah Khal. Buat apa marah dia?" Khal cuba menenangkan mamanya. Melihat gaya Zulaikha, dia tahu sikit lagi pasti runtuh tembok air mata gadis itu.

"Mama tak marah, Khal. Mama tegur! How could she served this to the patient? Apa benda ni? Apam balik cheese? Murtabak?" Satu persatu isi di dalam pinggan itu diangkat dan dibelek-belek. "Nonsense!" Tanpa teragak-agak, semua makanan di dalam pinggan itu dibuangkan ke dalam tong sampah di tepi katil Khal.

"Mama!" Khal terkejut melihat tindakan mamanya yang membuang semua makanan yang belum disentuh itu ke dalam tong sampah. Tidak sangka mamanya akan bertindak begitu sekali.

Zulaikha pula serta-merta menitiskan air mata apabila melihat makanan-makanan yang belum disentuh itu menjadi penghuni tong sampah. Makanan yang dicari dan dibeli dengan susah payah sebentar tadi.

"Hidangkan makanan lain dekat anak I sekarang juga. After that meet me at my office. Faham?"

Zulaikha mengangguk perlahan. "Faham, doktor."

Datin Dr Azleen terus keluar dari bilik Khal. Zulaikha mengesat air matanya dan mengemas semula pinggan-pinggan yang sudah kosong dan diletakkan di atas dulang.

"Ika..."

Buat pertama kalinya Zulaikha tidak menjawab panggilan pesakitnya dan terus keluar dari bilik itu, membuatkan Khal makin bertambah-tambah rasa bersalah.

***

Salam pagi Jumaat dan selamat Hari Single Sedunia! 😘 Sempena Hari Single Sedunia ni, saya hadiahkan satu lagi bab untuk minggu ni untuk semua readers, tak kiralah awak single ke tak hahahaha. Btw, melampau betullah Encik Ben 10 kali ni kan? 😤

Tanya Sama Hati ☑Where stories live. Discover now