Dengan hati yang berbelah-bahagi, Zulaikha meredah juga hujan lebat yang mulai turun membasahi bumi.

***

Khal memandang ke luar tingkap. Kemudian matanya beralih ke jam dinding. Berulang kali dia melakukan perkara yang sama. Hujan lebat yang turun mencurah-curah di luar sana membuatkan dia tidak senang duduk. Sudah dua jam Zulaikha tidak masuk ke dalam biliknya. Betul-betul cari apam balik cheese dan murtabak ke? Mengingatkan kemungkinan itu, pantas sahaja dia menekan butang untuk memanggil jururawat dan berharap Zulaikha yang akan masuk apabila dipanggil.

Tetapi jangkaannya meleset apabila seorang jururawat berbangsa India yang kelihatan lebih tua daripada jururawat peribadinya yang masuk. Bukan Zulaikha.

"Yes, Encik Khal? Anything that I can help?" tanya Gayatri sopan.

"Mana Zulaikha?" tanya Khal terus tanpa selindung.

"Dia keluar, Encik Khal. Katanya nak carikan makanan untuk encik la."

"Keluar? Hujan-hujan macam ni?" Khal sudah mula risau. Yelah, dia yang memberi arahan begitu kepada Zulaikha. Kalau apa-apa terjadi dekat anak orang tu macam mana? Tak ke dia yang susah!

Dahi Gayatri berkerut. Habis tu, dah encik yang suruh! "Ya, Encik Khal."

"Siapa hantar dia?"

"Dia pergi sendiri."

Makin risau Khal mendengar jururawat yang memakai tag bernama Gayatri itu.

"Dia naik apa?"

"Setahu saya Ika tu datang kerja naik motor skuter dia saja."

Terkejut Khal mendengar jawapan Gayatri. "Naik motor hujan-hujan macam ni?!" Khal dihimpit rasa bersalah. Itulah engkau Khal, nak membuli pun agak-agaklah sikit!

"Yelah, Encik Khal. Bukan ke encik yang suruh dia cari makanan-makanan tu? Ika pun pergi carilah..."

"Call her right now! Suruh dia balik sekarang juga! Ini arahan!"

"Tapi, Encik Khal..."

"Sekarang, Gayatri!"

Gayatri akur lalu terus keluar dari bilik itu. Nombor telefon Zulaikha di dalam buku log jururawat dicari kemudian dia cuba menghubungi nombor itu. Tetapi malang sekali tiada jawapan walaupun sudah dicuba berkali-kali.

Lebih kurang sejam kemudian, Zulaikha pulang ke hospital dalam keadaan yang basah kuyup. Mata-mata yang memandang ke arahnya dibuat tidak peduli. Seluruh badannya kebasahan dan dia mula menggigil kesejukan.

Sampai sahaja di tingkat atas, Gayatrilah orang pertama yang menerpa ke arahnya dahulu. Pantas tubuh Zulaikha dibalut dengan kain tuala.

"You pergi mandi dan tukar baju dulu. Nanti baru settlekan benda ni," ujar Gayatri sambil mengambil plastik-plastik di tangan Zulaikha.

Zulaikha tidak membantah. Dia berlalu ke arah bilik persalinan untuk membersihkan diri serta menukar sepasang baju uniform yang baru. Gayatri pula membawa makanan-makanan yang sudah dibeli oleh Zulaikha ke pantry dan meletakkan makanan-makanan itu ke atas pinggan dengan elok.

Selesai membersihkan diri dan menukar pakaian, Zulaikha pantas melangkah ke arah pantry. Sepatutnya sekarang ini pesakitnya Encik Ben 10 sudah makan malam, tetapi dia sudah terlambat 30 minit. Dia pasti Encik Ben 10 akan mengamuk lagi sebentar nanti kerana makan malamnya belum terhidang.

Zulaikha mengangkat dulang yang sudah disusun oleh Gayatri dan berlalu ke bilik berpuaka itu. Dia menarik nafas dalam sebelum mengetuk pintu bilik itu dan masuk.

Tanya Sama Hati ☑Where stories live. Discover now