Diari Seorang Pencuri

By HaniAmy

9.4K 356 32

Pengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggega... More

#1: Perjumpaan Tak Diduga
#2: Penjahanam Plan
#3: Belot!
#4: Pancung Goblin, Pancung!
#5: Mafia Kampung Dusun
Bonus Diari #1
#6: Gua Zombi
#7: Dia Datang Lagi!
#8: Bandar Adamantin
#9: Anjing Berkepala Tiga
#10: Laluan Ke Neraka
Bonus Diari #2 - Karakter
#11: Rumah Agam Setan
#12: Itu Ke Permintaan Kau?
#13: Memburu Lanun!
#14: Ujian Keramat Kavita
#15: Misi Menculik Diplomat Gay
#16: Memori Lama
#17: Budak Penyeluk Saku
#18: Rahsia Gelap Istana
#19: Malam Kelam Kabut
#20: Kedai Nasi Kangkang
Bonus Diari #3 - General Mafia
#21: Penghalang Jalanan
#22: Rakan Baru
#23: Hujan Panah
#24: Sentora Penipu
#25: Kabus Penghilang Semangat
Bonus Diari #4 - Kompanion
#26: Pasca Halusinasi
#27: Imbas Kembali
#28: Restoran Atas Kapal
#29: Tinggalkan Dia Di Situ!
#30: Tenang-Tenang Air
#31: Temasek, Kami Datang!
#32: Dia Nora
#33: Serangan Hantu
#34: Woi, Badrol!
#35: Bakteria Jahat
Bonus Diari #5: Buku Magik Rifa
#36: Festival Todak
#37: Mimpi Pelik
#38: Bilik Rahsia
#40: Terus Berlari
#41: Sesat Dalam Terang
#42: Syabu Naga
#43: Tengik Melesukan
#44: Pengakhiran Yang Tak Dijangka
Bonus Diari #6: Musim Kedua!
#45: Imbas Sepi
#46: Naga Marah
#47: Pulau Terbiar

#39: Tikam Belakang

116 2 0
By HaniAmy

Lantai berbatu bata ditumbuk dengan kuat. Kami rasa dengan cara itu saja mampu meredakan paras banjir di dalam bilik ini ke tahap yang selamat. Aku mungkin selamat lagi sebab ketinggian 5 kaki 4 inci ini mampu bertahan jika banjir ke paras pinggang sekalipun. Aku lebih kasihankan Badrol yang berketinggian kurang separuh daripada ketinggianku itu. 

"Tumbuk kuat-kuat, Kayu!" laung Badrol. Dia sudah hampir ditenggelami air. 

Di dalam air, Kayu sedang berusaha untuk memecahkan lantai dengan tumbukannya. Sudah beberapa siri tumbukan dilepaskan, namun lantai masih kukuh begitu. Hanya ada retakan yang semakin membesar. Aku rasa itu cukup menandakan yang lantai itu bakal berlubang nanti. 

Kami terpaksa berkejar dengan masa dan arus air yang masuk ke dalam bilik. Kami tidak boleh mengharap pada Kayu seorang diri. Jadi kami berselang-seli menghentam lantai itu dengan apa saja senjata atau benda keras untuk mengiringi tumbukan Kayu. 

Setelah beberapa lama menghentam, barulah rekahan itu pecah dan terus menjadi lubang yang agak besar dan dalam, membuatkan air banjir itu sedikit demi sedikit surut. Aku tidak tahu apa yang ada di bawah aras bilik rahsia ini. Mungkin terdapat longkang saliran besar, atau... entah, aku pun tidak tahu. Kerana air yang keluar ke lubang itu membuatkan air berpusar di dalam bilik sebelum ia mengering walaupun air yang tumpah kerana perangkap yang diaktifkan tadi masih cuba untuk membanjiri bilik ini. 

Satu dah selesai. Satu lagi belum, iaitu pintu. Kami masih terperangkap di dalam bilik ini. Aku pun tak pasti sama ada Kayu mampu untuk menghentam pintu itu atau tidak memandangkan dia seakan sudah penat dan tangannya pula sudah ada kesan melecet dan luka-luka kecil, lebih-lebih lagi di penumbuknya. 

"Aku boleh buat. Korang ke tepi," arah Kayu. "Aku dah angkut korang ke sini, mungkin ada yang tak rela tapi terpaksa ikut. Biar aku yang bertanggungjawab." 

Dia terus berjalan ke muka pintu batu itu dan bersedia untuk melepaskan siri tumbukan laju yang dia selalu guna. Dalam satu kelipan mata saja, Kayu melepaskan lima tumbukan ke pintu itu. Pintu itu sudah keretakan sedikit. Kayu perlu buat lagi dua atau tiga siri lagi tumbukan laju itu sebelum pintu itu pecah. 

Selepas dua siri tumbukan, pintu itu runtuh dan akhirnya, kami terlepas daripada perangkap itu. Lega. Aku ingat kami akan mati beramai-ramai di sini. Aku dah mula fikir yang bukan-bukan saja. 

Kami keluar dari bilik rahsia itu secepat mungkin dan dengan terburu-buru, terus keluar dari perpustakaan. Nasib. Hari masih siang. Kalau tengok pada ketinggian matahari, sudah masuk waktu petang. 

Kebetulan semasa kami keluar, ada seorang makcik memandang kami dengan wajah yang pelik. Dia memandang sekeliling sebelum memandang ke arah kami semula. 

"Bukan perpustakaan ni tutup ke hari ni? Kenapa korang basah-basah ni?" tanya makcik itu. 

Aku memandang rakan-rakan aku yang lain dan sekeliling. Aku tengah fikir nak kelentong apa. "Kami nak pulangkan buku je, makcik, tapi lupa yang perpustakaan ni tutup. Pasal basah ni sebab... sebab... pili air dalam tandas tu! Tiba-tiba tercabut kepala pili tu, habis kami semua basah." Aku tak tahu muka aku macam mana semasa aku cakap macam tu. 

"Korang masuk tandas sama-sama ke?" Muka makcik itu tambah keliru. "Takpelah. Makcik tak nak tahu. Makcik nak ke Festival Todak dulu. Korang semua tak pergi ke?" 

Hmm... boleh tahan kepochi makcik ni. 

"Kejap lagi kot." Aku mengerling ke arah rakan-rakanku yang semakin menjauh. "Kami nak tukar baju dulu. Gerak dulu, makcik!" 

Aku terus berlari mendapatkan kawan-kawan aku. Mereka sedang mencadangkan tujuan kami yang seterusnya. 

"Ke mana kita?"

"Kita makan dulu," jawab Badrol. 

"Lepas tu?" 

"Kita ke kapal dan keluar dari Temasek ni!" Hayun pula mencelah. Masih dengan tujuannya yang asal. 

"Kenapa nak sangat keluar dari sini?" Melati geram. 

"Sebab akan ada perkara tak baik bakal berlaku kalau kita tak keluar dari sini sebelum senja, faham?" 

Melati menggulingkan matanya. Kelakar pulak aku rasa. Kami semua bagaikan ada saja benda yang kami tidak sepakat tapi... kami masih bersama. 

"Apa-apa hal, kita makan dulu." Melati terus berjalan laju. Kemudian, dia berhenti melangkah dan menoleh ke arah kami. "Nak makan kat mana sebenarnya ni?" 

Soalan yang paling susah nak jawab. Bila tak jawab, semua terkandas dan berlapar. Tapi bila jawab, ada saja yang tak kena dengan selera. 

"Kita pergi makan dekat pelabuhan tu. Sana ada megi goreng takde sayur yang sedap!" jawab Hayun. 

Semua okey saja nampaknya sebab kami dah terlalu lapar dan tak kisah apa saja makanan yang terhidang, kami lahapkan saja. 

"Yela kan, lepas tu boleh naik kapal dan keluar dari Temasek ni sebelum senja. Itu tujuan kau pun kan, sebenarnya." 

Melati betul-betul dapat membaca niat Hayun. 

"Jom. Aku pun dah malas nak layan kau lagi dah." 

Hayun tertawa kecil. Dia sudah dapat kemenangan yang pertama. Kemenangan yang kedua adalah apabila dia berjaya membawa kami keluar dari Temasek. Nampaknya, seorang lagi yang bakal berjaya mengikut tugasan si suara mimpi itu. 

*    *    * 

"Serius ke kita kena ikut apa yang suara tu suruh?" 

"Habis tu? Takkan kita taknak buat apa-apa?" 

"Kau seronok ah, dah selesaikan apa yang suara tu suruh kau buat." 

"Kau ingat senang nak buat ke? Itu pun susah aku nak yakinkan korang."

"..."

"Weh, Rifa!"

Aku agak terkejut apabila Pelita menyiku aku. "Ye?" Aku cuba menyembunyikan muka terkejutku dengan secarik senyuman.

"Kau okey ke tak ni?"

Pantas aku mengangguk. "Aku okey." Aku menggaul megi goreng yang masih banyak tersisa di pinggan. "Aku rasa sebu sikit la perut ni. Tak larat nak habiskan ni."

"Kau nak lagi tak ni?" tanya Hayun, sedikit teruja.

"Nak ke? Amek la." Aku menolak pinggan itu kepada Hayun.

Entah kenapa aku rasa macam aku hilang kejap dari dunia dan bermimpikan suara itu mengingatkan aku akan tugasanku.

Sampai bila aku patut diamkan saja?

Hmm... Hayun ada mengatakan yang sesuatu yang buruk bakal berlaku jika kami tidak keluar dari Temasek sebelum masuk senja. Mungkin aku perlu bertahan beberapa jam saja lagi.

"Kita nak terus ke kapal ke?" tanya Pelita sebaik sahaja Hayun menghabiskan makanannya.

"Boleh je. Kita dah lama lepak sini, dan petang pun semakin lewat," kata Kayu.

"Okey, jom!" Hayun terus mengambil beg dan senjata yang selalu dibawanya. Tanpa menunggu kami, dia melangkah keluar dari kedai.

"Kalau ye pun, bayar la dulu!" laung Badrol.

*    *    *

Aku tak tahu nak fikirkan apa lagi. Aku hanya mengikut arus langkah rakan-rakanku saja buat masa ini. Mereka tidak tahu mereka diperdayakan oleh suara mimpi itu.

Aku melangkah turun ke dek bawah. Di sana, Pelita dan Hayun sedang membaiki bahagian kapal yang rosak dengan menggunakan magik. Entah siapa yang merosakkan dinding kapal sehingga air masuk pun kami tidak tahu. Tapi dengan magik mereka, kerja yang sepatutnya makan hari untuk siap pun bakal selesai dalam beberapa minit saja lagi.

Aku terus melangkah ke atas, di sana ada Kayu yang sedang mengawal kemudi, dan Melati di atas layar untuk meninjau keadaan. Dalam waktu aku berjalan naik, aku turut merasakan Badrol juga mengikutku.

Aku tak sedap hati. Aku rasa ada sesuatu yang Badrol rancangkan yang aku tak tahu.

Aku terus ke dek di bahagian belakang kapal untuk berehat. Angin yang bertiup petang ini agak dingin. Telingaku menangkap sesuatu. Bunyi seperti cas tenaga elektrik. Pantas aku menoleh ke arah bunyi itu, dan tak syak lagi... 

"Badrol!" 

Dia terus menyerang aku dengan menggunakan tongkat magik yang menembak bebola elektrik. Aku pantas menggulingkan badanku ke tepi untuk mengelak serangan tersebut. 

"Kau ni apehal, Bad?" Aku menegakkan semula tubuhku dan berhadapan dengan Badrol. 

Namun, Badrol hanya diam dan terus menyerangku lagi dengan magik elektrik itu. Aku melompat lagi untuk mengelak dan tembakannya tidak mengena. 

"Wei, wei, wei... apa kena ni?" celah Melati sambil berlari mendapatkan kami. Aku pasti dia nampak segalanya dari atas layar tadi. "Apehal kau serang Rifa?" 

Melati sudah bersedia dengan busur dan panahnya dan menghala tepat ke Badrol. 

"Kita kena bunuh Rifa sebab dia la yang rosakkan kapal dan bakal bunuh kita semua!" 

Tuduhan Badrol agak besar, dan kalau mereka percaya Badrol bulat-bulat, aku habis. Aku pasti tuduhan itu adalah helah suara mimpi itu. Tak mungkin Badrol akan buat begini kepada aku secara tiba-tiba. 

Melati memandang aku dengan matanya yang tajam, walaupun panahnya masih menghala ke arah Badrol. "Betul ke ni, Rifa?" 

Aku menggeleng perlahan. Fikiran aku berserabut, macam mana aku nak lawan apa yang suara mimpi itu susun ke atas kami? 

"Korang jangan dengar apa yang suara mimpi tu suruh buat!" 

Tongkat magik Badrol kembali memercikkan elektrik. Aku tahu, dia bersedia untuk menyerangku lagi. 

"Sudah, Bad! Kalau betul Rifa nak bunuh kita semua, apa buktinya?" 

Dalam kekalutan itu, Kayu menyertai kami. Dia juga keliru dan berkerut apabila Melati menceritakan apa yang telah berlaku setakat ini. 

"Rifa nak bunuh kita semua?" Kayu memandangku dengan wajah pelik. "Tapi dia yang tolong kita sepanjang kita berada kat perpustakaan tadi." 

"Dia yang membuatkan kau terkena elektrik masa nak bukak pintu bilik rahsia, tak ingat?" 

Aku tergamam. Macam mana Badrol tahu itu kerja aku? Tapi aku terpaksa! Atau kami semua yang akan mati terkena perangkap di laluan bilik rahsia itu. Jantung aku semakin laju berdegup. Mereka boleh saja menelan kesemua tuduhan Badrol itu dan menghukum aku. Bukti yang nampak kecil itu sedikit-sebanyak mampu menyuntik prasangka buruk ke dalam hati dan fikiran mereka. 

Kayu dan Melati mula bersepakat secara berbisik. Kalau mereka nak tangkap aku dan diletakkan ke dalam penjara, aku sanggup. Aku tahu aku tidak ada niat untuk membunuh mereka, dan tentang perangkap itu... aduh! Aku dah tak ada idea nak pusing apa lagi dah. 

Dengan tidak semena-mena, Badrol melepaskan lagi kuasa elektrik itu. Aku berjaya mengelak lagi magik itu walaupun sipi-sipi mahu mengena. 

"Ikat Badrol tu. Geram pulak aku dia tak habis-habis nak serang Rifa," arah Melati. 

Tali yang ada di ruang kemudi diambil dan Kayu kembali untuk mengikat Badrol. 

"Lepaskan aku la! Yang bahaya sekarang ni adalah Rifa!" marah Badrol. 

"Jangan risau. Dengan Rifa sekali aku ikat kejap lagi." 

Aku rasa itu yang terbaik. Adil. Sambil itu, boleh la mereka mencari kebenaran. 

Sebelum giliran aku untuk diikat, Pelita dan Hayun pula naik. Pasti mereka sudah selesai membaiki bahagian kapal yang rosak itu. 

"Ni apahal pulak ni?" Pelita kepelikan. 

Sekali lagi, Melati menceritakan apa yang berlaku sepanjang kehilangan mereka. 

"Apesal kau nak bunuh Rifa pulak?" tanya Pelita, memandang tajam ke arah Badrol. 

"Sebelum dia bunuh kita semua, baik aku bunuh dia dulu." Kemudian, dia ketawa. 

Aku mengertap gigi, menahan segala rasa marah atas tuduhan itu. Aku kena tahan. Mungkin waktu senja sajalah yang mampu memecahkan sumpahan ini. Aku tengok matahari sudah semakin condong ke barat. Lagi setengah jam mungkin? Atau lebih. 

Aku mencampakkan beg yang selalu aku bawa. Senjataku juga diletak di sebelah beg. Pisau belati yang diberikan oleh Hadi M. Sulaiman yang sering aku gunakan sekarang juga aku letakkan di atas beg tadi. Mereka semua hanya memerhatikanku. Yang terakhir, jubah hud yang banyak berbakti apabila aku menjalankan tugas sebagai pencuri, juga apabila aku kedinginan malam turut dilucutkan. Batang besi yang diselitkan di dalam but aku, yang selalu aku guna untuk mengumpil kunci pintu pula aku hulurkan kepada Pelita. 

"Apa-apa jadi kat aku, kau ambil la. Kalau tak ada apa-apa, bagi balik kat aku." Aku sengaja bergurau begitu supaya tiada rasa kekok dan tegang di antara kami semua. 

Pelita tertawa kecil. "Hey~ mesti la!" Dia mengambil batang besi itu dan tersenyum kecil. 

Aku kembali berjalan dan berhenti di depan Kayu. "Aku nak buktikan yang aku tak ada niat nak bunuh korang semua dan semua yang berlaku ni adalah tuduhan semata-mata. Jadi, aku serah diri dengan sukarela dan..." Aku merapatkan kedua-dua belah tanganku. "...ikat aku sekarang." 

Waktu itu, aku pasti semua sedang berfikir, mana satu yang betul sebenarnya ni? Aku tak salahkan mereka. Kami semua jadi mangsa keadaan. 

*    *    * 

Macam tak percaya pulak... aku berada di dalam sel tahanan yang kami tempatkan Encik Zul sebelum ni. Aku ditempatkan di dalam sel yang sama dengan Badrol. Jelas akan wajahnya yang tidak berpuas hati. 

Aku berdiri di sudut penjuru, memikirkan berapa lama lagi permainan ini mahu habis tempohnya. Aku boleh saja melepaskan diri, tapi itu mampu menambahkan syak dan peratusan untuk mereka percaya pada tuduhan Badrol akan meningkat. Aku abaikan niat untuk melepaskan diri dan memandang ke luar melalui tingkap kecil. Remang cahaya senja sudah semakin meriah di luar sana, aku pasti. Dan aku hanya menunggu masa. 

Secara tiba-tiba, bahuku dipaut dan aku rebah kerana daya tolakannya yang agak kuat. 

"Badrol!" 

"Aku kena bunuh kau sekarang atau aku gagal. Maafkan aku, Rifa." 

Lalu, dia mencekik aku. Entah bila dia melepaskan diri daripada ikatan tangannya pun aku tak sedar. Aku banyak termenung tadi. Leka. Cengkaman tangannya agak kuat. Aku tak dapat nak berlawan dengan Badrol dengan tangan yang berikat begini! 

Aku hampir putus nafas sebelum cengkaman Badrol tiba-tiba meregang dan dia terlentang di sebelahku. Terbatuk-batuk aku dibuatnya untuk mencekau nafas semula. Aku lihat Pelita memegang bahu Badrol sambil terkumat-kamit sesuatu. Pasti dia menggunakan apa-apa magik yang mampu melumpuhkan Badrol buat beberapa minit. Aku pernah nampak bapak aku dulu guna magik ini untuk melemahkan sebelum dia membunuh lawannya itu. 

"Kau okey?" 

Aku mengangguk. Menegakkan semula badan dengan daya yang bersisa dan bersandar ke dinding. 

Dia kembali kepada Badrol. "Aku tak nak ada sesiapapun mati. Walau macam mana kau kata Rifa ni rancang nak bunuh kita, aku takkan percaya." 

Badrol tertawa. Dia masih mahu berlawan dengan aku dan aku pasti dia masih ada rancangan lain untuk membunuhku. Aku mendiamkan diri. Aku dah malas nak melawan lagi. Lambat-laun, mereka pasti sedar. 

Dalam waktu itu, Hayun datang menjenguk kami. "Apa jadi?" 

"Badrol buat hal lagi." 

Hayun mencemik. Dia berjalan masuk ke dalam sel dan menyentuh Badrol. Semerta Badrol kelemahan. 

"Aku terpaksa buat ni kat korang," katanya sebelum menyentuh bahuku dan tiba-tiba aku berasa seperti keletihan dan segala sendiku lemah. 

Tapi aku redha. Dengan cara ini saja kami takkan berlawan, mungkin? 

Aku mengerling tetingkap sel. Remang senja semakin menebal. Tugasan Hayun hampir selesai. AKu tak tahu tugasan yang lain bagaimana. Aku dah boleh ukir senyum. Dengan harapan, semuanya akan baik-baik saja. 

Shriiuuuuu-dam! 

Shriiuuuuuukk-dammm!! 

Bunyi gegak-gempita itu dari atas. Aku pasti itu tanda yang permainan ini sudah tamat. Aku mengerling ke tetingkap sel lagi. Cahaya senja semakin menggelap. Kini giliran aku pula tertawa kecil. Ia adalah ketawa lega sebenarnya. Tak perlu lagi kami bertikam sesama sendiri lepas ini. 

"Pelita, bawak diorang ni naik ke atas!" arah Hayun. 

Pelita mengangguk seraya memegang aku dan Badrol, kemudian kami seperti menghilang masuk ke dimensi lain sebelum muncul semula ke atas dek. Kali pertama aku merasakan kuasa teleportasi seperti ini. Selalunya menggunakan pintu portal. 

Di atas dek, sekeliling dikepung oleh kabus, langit pula gelap dengan dentuman seperti guruh dan ada pancaran kilat tapi tidak menyabung. Tak jauh dari kami, ada kabus yang berbentuk seperti manusia menghampiri kami dan wajah kabus itu seperti tersenyum lebar. 

"Amacam, semua?" 

Melati dan Kayu dah bersedia dengan senjata dan jurus masing-masing. Aku dan Badrol masih kelemahan secara temporari. Pelita dengan wajah kebingungan, manakala Hayun memandang kabus itu dengan pandangan tajam. 

"Seronok aku tengok korang bermain," katanya. 

"Mana ganjarannya?" celah Hayun. "Aku yakin semua dah jalankan tugasan masing-masing." 

Kabus itu ketawa. 

"Korang memang bagus! Bersemangat! Aku suka korang," puji sosok itu. Kemudian, dia memandang aku dan Badrol. "Oh, kesiannya korang!" 

Sosok kabus itu mengangkat tangannya dan semerta rasa lemah dan lumpuh yang membelenggu kami tadi hilang. Kami berdiri perlahan-lahan dan aku memandang mereka yang lain. 

"Jadi... Melati! Kau tahu siapa di antara rakan-rakan kau yang membelot kumpulan kau?" 

Melati tergugup. Teragak-agak untuk menjawab. "Aku tak tahu. Rifa atau Badrol... aku..." Tergeleng-geleng dia tidak dapat menjawabnya. Aku tahu. Dilema. 

"Tapi aku kena bunuh Rifa sebelum matahari terbenam, atau aku sendiri yang mati!" jerit Badrol. "Aku tahu aku dah tipu korang yang kononnya Rifa berniat jahat kat korang tapi itu tugasan aku." 

Sosok itu ketawa lagi. 

"Apa kata kita dengar Rifa... apa yang aku bagitahu kau malam tadi?" 

Aku memandang mereka setiap seorang. Aku menelan liur. Dan aku berkata, "Dia tipu korang semua. Dan aku tak boleh bongkarkan rahsia ni." 

Waktu itu, aku dapat lihat wajah Pelita kelegaan, dan yang lain pula ternganga tidak percaya. Aku berasa lega setelah meluahkan rahsia ini. Aku tahu sudah terlambat, tapi aku lagi lega kerana aku tidak dibunuh oleh Badrol dan kami semua selamat. 

Sosok kabus itu menepuk tangannya. "Aku sebenarnya nak uji persahabatan korang. Dan aku sendiri tak tahu ada bilik rahsia kat dalam perpustakaan tu, Kayu." Dia ketawa lagi. "Korang ni memang hebat!" 

Aku tengok, ada wajah kesal, penat, kecewa dan marah pada riak mereka. 

"Aku akan kembali lagi... untuk berhibur dengan korang, semestinya!" Jeda sekejap. "Korang boleh berehat la sekarang. Boleh kembali ke Temasek, kalau nak. Aku mungkin akan perlukan pertolongan korang satu hari nanti. Jadi untuk itu, aku akan beri setiap seorang satu ganjaran."

Kami agak gembira mendengarnya kerana kami sudah mengharungi satu hari yang agak panjang dan macam-macam yang telah berlaku. Dari tujuan pelik Kayu ke perpustakaan, kemudian berlawan dengan makhluk Abyss, mencari bilik rahsia lagi, kemudian kembali ke kapal dan ada bahagian yang rosak, diserang oleh Badrol secara tiba-tiba, dan akhirnya... permainan pun tamat. 

"Kau ni sebenarnya siapa?" tanya Kayu. 

"Siapa aku, tu bukan persoalan yang penting buat masa ni." 

Lalu, sosok kabus itu mengangkat tangannya dan semerta itu, sauh kapal turun dengan sendirinya, membuatkan kapal terhenti dengan mendadak dan kami kurang keseimbangan badan lalu terbongkok duduk. Kemudian, sosok itu terbang menghala kami dan apa yang aku nampak setelah itu, seorang demi seorang rakan-rakanku tumbang, diikuti oleh aku. 

Continue Reading

You'll Also Like

3K 405 18
"Aku nak pergi ke dimensi yang ada versi abang aku penyayang, selalu jaga aku dan yang boleh bahagiakan aku" jawab Fang dengan nada yang sayu Cerminb...
106K 3.5K 28
Sambungan 'My Feeling With You 2' Ada satu kejadian yang menyebabkan Boboiboy dkk sesat di sebuah bandar dimensi asing. Dia sana Boboiboy dkk mesti m...
180K 16.2K 48
Aella, seorang Special Agent rank-S yang mahir dalam semua jenis seni mempertahankan diri. Seorang yang dihormati dan digeruni oleh ramai orang keran...
17.1K 1.2K 33
Tahun 2020 (Covid-19 xder dalam ni faham) 7 elemental sedang melakukan perkara yang biasa mereka lakukan tetapi pada suatu hari telah berlakunya per...