Bab 17

3.5K 133 4
                                    

Datin Aishah merenung cucunya yang hanya diam sahaja selepas balik dari rumah datuk saudaranya. Selalunya gadis cilik itu banyak mulut. Berbeza keadaan cucunya sebelum keluar rumah dengan selepas balik rumah.

" Sayang, kenapa ni?" soal Datin Aishah. Dia mengusap rambut halus Sofea. Nampak macam sedih raut wajah itu.

" Tok ma, kenapa nenek sebelah mummy tak suka Fea?" soal Sofea dengan jujur. Dia teringat tadi masa di rumah Tok Lang, dia tidak sangka akan berjumpa dengan Tok Timah. Rasa teruja mahu memeluk Tok Timah tetapi wanita tua itu cepat-cepat menepis tangannya.

" Kenapa cakap macam tu sayang?" soal Datin Aishah hairan. Memang dia ada berjumpa dengan bekas besannya tadi. Tetapi mereka kurang bertegur sapa. Hanya sekadar memberi senyum sahaja. Datin Aishah pun tidak faham kenapa bekas besannya itu seperti acuh tidak acuh sahaja dengan cucu sendiri. Sedangkan itu adalah darah dagingnya sendiri.

" Tok Timah tak layan Fea pun. Fea pergi duduk dekat dengan Tok Timah tadi tapi dia tak tegur Fea pun. Fea sedih Tok Ma." Sofea memeluk erat tubuh neneknya. Tiba-tiba sudah berlagu tangisan. Memang Sofea gadis yang cengeng!

" Laaa...kenapa menangis pula? Kan Tok Ma ada. Tok Pa pun ada."

" Tapi Fea sayang juga kat Tok timah walaupun Tok Timah garang dengan Fea."

" Fea sayang dengar sini. Tok Ma dengan Tok Pa sayang Fea sangat-sangat. kalau Fea nak Tok Timah sayangkan Fea, Fea kena selalu berdoa kat Allah. Minta Allah lembutkan hati To Timah sayang kat Fea. Ingat tu. Fea kena buat baik dengan dia. Nanti lama-lama dia sayanglah kat Fea. Macam Tok Ma dengan Tok Pa."

" Betul ke Tok Ma?"

" Iya sayang. Allah tu kan pemegang hati kita. In shaa Allah, nanti lama-lama Tok Timah mesti lembut hati dengan Fea. Percayalah cakap Tok Ma. Tok Ma tak pernah menipu Fea kan."

Sofea terasa lega mendengar kata-kata neneknya itu. Sebagai kanak-kanak yang berjiwa besar, dia seharusnya tidak boleh cengeng dan manja. Tidak boleh cepat sentap. Sentiasa percaya bahawa semua manusia harus berkasih sayang.

" Okey, Fea tak nak menangis dah. Fea kena berani. Nanti Fea nak doa minta kat Allah supaya Tok Ma dengan Tok Pa akan terus sayang Fea sampai bila-bila."

Datin Aishah terharu mendengar kata-kata cucunya itu. Ciuman dilabuhkan pada dahi gebu itu.

" Alhamdulillah. Tok ma tahu cucu tok ma ni bijak orangnya. Sudahlah cantik, pandai, bijak...hurmm...apa lagi yea?" jarinya sengaja diketuk pada dagunya. Saja mahu mengusik cucunya itu.

" Apa ni tok mak? Daddy selalu cakap Fea ni baik hati, sopan santun, manja, comel," tidak puas hati apabila dilihatnya Datin Aishah seperti mahu mengusiknya. Datin Aishah terus ketawa. Memang benarlah cucunya yang seorang ini persis seperti anak bongsunya. Pantang dipuji. Cemberut terus wajah itu apabila melihat neneknya mentertawakannya. Melihat wajah cucunya sudah masam mencuka, Datin Aishah lantas memeluknya dengan erat. Dicium-ciumnya dengan geram sehingga gadis cilik itu kelemasan. Terkapai-kapai Sofea mahu melepaskan diri dari pelukan erat neneknya itu. Selepas itu, dia juga turut ketawa mengekek apabila digeletek oleh neneknya.

Begitulah sifat Raihan Sofea Binti Ahmad Amsyar. Mudah terpujuk jika kena caranya. Tidaklah keras hati. Mungkin kerana didikan keluarga yang tidak menggunakan kekerasan apabila menegur ketika melakukan kesalahan. Hanya nasihat dan bimbingan sahaja yang diberi sebagai panduan.

" Mak, tadi datin tu tak tegur mak ke masa kat rumah Puan Zue?" soal Marsya, adik arwah Yasmin.

" Ada juga dia tegur mak. Tapi mak yang malas nak layan."

Marsya hanya menggelengkan kepalanya dengan perangai ibunya. Bukan dia tidak nampak tadi bagaimana ibunya menepis pelukan Sofea.

" Sya tak faham dengan mak ni. Yang buat salah arwah Kak Min. Tapi dengan cucu sendiri pun mak buat musuh," balas Marsya.

" Engkau tak tahu apa-apa Sya. Jangan nak salahkan mak."

" Tak tahu apanya. Dah terang-terang Kak Min tu yang tak setia dengan Abang Am. Yang mak nak bela sangat arwah kenapa?. Sya bukan nak aibkan arwah Kak Min. Tapi itu kenyataan mak. Jangan sampai satu hari nanti, budak Sofea tu pula bencikan mak. Apa sangatlah budak lima tahun tu faham mak. Bukan dia punca mak dia mati. Tapi mak dia sendiri yang curang dengan suami sendiri."

" Cukup Sya! Kau jangan nak naikkan darah aku. Buruk baik itu tetap anak aku. Pasal budak tu biar saja dia dekat dengan sana dengan bapa dia. Hati aku tenang tak payah fikir pasal budak tu."

Marsya mendengus geram. Emaknya memang seorang yang keras kepala. Sama seperti arwah kakaknya. Emaknya selalu manjakan Yasmin. Di kalangan mereka tiga beradik, selalu kakaknya juga dimenangkan walaupun kesalahan yang dibuat olehnya.

" Tenangkah hati mak sekarang? Baik Sya nak tengok sampai bila mak nak sombong berlagak dengan cucu sendiri. Jangan bila dah jatuh sakit terkedang atas katil baru terhegeh-hegeh nak suruh cari budak tu," dek kerana sakit hati dengan emaknya, Marsya lantas lancang mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguriskan hati seorang ibu.

" Marsya, kau jangan kurang ajar dengan mak. Mak yang besarkan kau orang adik beradik selama ini, sedangkan bapa kau orang mana menghilang. Jadi jaga mulut kamu tu. Jangan lancang sangat."

Marsya hanya diam. Malas mahu berbalah kata dengan ibunya, dia terus masuk ke dalam biliknya. Di dalam bilik, suaminya hanya memandang wajahnya dengan hairan.

" Kenapa? Bergaduh dengan mak?" soal Adli.

" Sya tak tahulah abang. Mak tu pilih kasih sangat."

" Biarlah mak tu. Jangan melawan cakap mak."

" Kadang-kadang Sya rasa macam nak pindah dari sini. Sya rasa tertekan kalau terus macam ni. Mak bukan sayang anak-anak dia. Bagi mak, Kak Min tu seorang anak mak. Sya dengan Aya terasa macam anak angkat saja."

Adli memeluk isterinya. Dia memang sudah maklum akan keadaan keluarga isterinya. Bukan dia tidak mahu pindah namun kasihankan ibu mertuanya yang tinggal keseorangan di rumah. Dia tidak mahu dilabelkan sebagai menantu yang tidak tahu menghormati mertua.

" Sabar ya. In shaa Allah, satu hari nanti mak pasti berubah. Kita sama-sama doa untuk mak."

Adli sering memujuk Marsya jika isterinya bergaduh dengan ibunya. Memang kalau hendak diikutkan hati yang geram, sudah lama dia mengajak isterinya pindah. Namun mengenangkan Puan Fatimah tinggal seorang diri, Adli tidak tergamak. Biarlah selalu disindir oleh mertuanya, dari mereka membiarkan dia hidup keseorangan.

My Lover Daddy CoolWhere stories live. Discover now