Bab 15

3.7K 153 9
                                    

" Penatlah ayah. Lama tak buat kerja macam ni," Nasuha mengesat peluh di pipinya menggunakan tuala Good Morning. Haji Mior hanya tersenyum. Sudah beberapa bulan ini, dia yang mengerjakan kebun pisang ini. Dalam masa yang sama, pokok getah juga mahu diuruskan. Berikutan kesihatan Pak Don yang tidak mengizinkan, terpaksalah dia yang turun tanah untuk melakukan kerja-kerja itu sementara mencari orang yang sanggup melakukan kerja-kerja kampung ini.

" Dah lama sangat Suha tak tolong ayah. Memanglah penat," balas Haji Mior kepada satu-satunya anak perempuan yang dia ada.

" Ala ayah ni...," Nasuha menjeling manjanya. Haji Mior hanya ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Dia meneguk air teh yang dibawa oleh Nasuha tadi. Menghela nafas untuk melegakan kepenatan.

" Ayah ni sebenarnya tak berapa nak kuat sangat nak buat kerja-kerja ni. Nak cari orang kampung yang boleh buat kerja macam tak ramai. Yang muda-muda banyak sekarang ni kerja kat bandar. Tinggallah orang tua tak berdaya macam kami ni kat kampung."

Nasuha hanya diam sahaja. Abang-abangnya juga semuanya bekerja di luar kampung. Balik kampung apabila musim perayaan ataupun bila ada hal keluarga sahaja. Seperti Along dan Angah, mereka memang bekerja di Bandar Kuala Lumpur sama seperti Nasuha. Alang dengan Achik pula walaupun bekerja dekat dengan kampung, namun kekangan dengan masa bekerja mereka juga jarang balik kampung. Harapkan hujung minggu, mereka juga ada komitmen dengan keluarga masing-masing. Sesekali menjengah juga muka mereka di rumah Haji Mior dan Hajah Azian.

" Tak apa ayah. Suha ada. Suha pun boleh buat kerja-kerja macam ayah ni. Setakat nak angkat parang cantas daun pisang Suha pun boleh buat." Ujar Nasuha sambil ketawa, sekadar mahu memujuk hati ayahnya yang seperti berjauh hati dengan anak-anak.

" Larat ke? Nak angkat kayu pun ayah tengok tadi macam tak larat, ada hati nak cantas pokok pisang."

Nasuha ketawa. Sebetulnya dia memang jarang sekali membuat kerja-kerja kasar sebegitu sebab abang-abangnya memang melarang keras. Kata mereka, adik perempuan mereka seorang sahaja. Rasa dilindungi sangat-sangat.

" Assalammualaikum..." Haji Mior menghentikan kerjanya apabila terdengar orang memberi salam dari jalan besar. Untungnya Haji Mior kebunnya terletak dekat dengan jalan besar, jadi dia tidak perlu susah untuk mengangkut hasil kebunnya keluar. Hanya perlu meletakkan di tepi jalan sahaja. Apabila musim buah semakin rancak orang berhenti membeli. Tambahan pula dia ada menanam pokok durian. Pembeli dari luar banyak yang singgah membeli. Kadangkala ada juga yang berhenti menyinggah di pondoknya. Kebanyakannya yang datang singgah membeli datangnya dari pengunjung lata. Kebetulan ada lata di kampung Nasuha. Kedudukan kebun Haji Mior terletak di laluan tersebut. Itu juga merupakan kelebihan buatnya.

Nasuha terpinga-pinga memandang ayahnya. Haji Mior mengelap peluh di mukanya.

" Waalaikumussalam. Aku kat sini," balas Haji Mior. Dia sudah tahu gerangan yang datang itu.

Disambut baik kedatangan lelaki berusia itu dengan seorang lelaki muda. Opps...lelaki muda itu menarik pandangan mata Nasuha. Dikebil-kebilkan matanya supaya tidak tersalah orang. Namun lelaki hitam manis yang segak bert-shirt merah itu menyusun langkah ke arah ayah Nasuha.

" Omar, lama tak nampak hang. Sibuk ka?" sapa Haji Mior

" Aku dok ada ja kot sini. Cuma ada keja la sikit nak kena urus. Dah lalu kot sini, saja aku singgah." Pak Omar tersenyum

" Oh, nak beli pisang ka?" soal Haji Mior.

" Ada ka?" Pak Omar tersenyum. Dengan Haji Mior dia sudah berkawan lama. Sejak dari sekolah rendah. Selepas pencen sebagai guru besar, Pak Omar terus balik kampung dan menetap di sini bersama-sama isterinya. Anak-anaknya yang seramai empat orang itu semuanya bekerja di Kuala Lumpur.

" In shaa Allah ada. Eh, ni sapa pula?" soal Haji Mior apabila menyedari susuk tubuh tegap yang berdiri di sebelah sahabat baiknya itu.

" Anak menakan aku. Anak Kak Aishah," jawab Pak Omar.

" Apa khabar pak cik. Saya Amsyar," sopan sekali tutur katanya sambil tangan dihulur.

" Alhamdulillah, tak apalah. Tak payahlah salam, tangan pak cik kotoq ni," pekat benar loghat Kedah Haji Mior.

Amsyar hanya senyum. Matanya melekat pada anak perempuan Haji Mior yang ketat sahaja mukanya. Tidak pernah dia melihat wanita itu berwajah sebegitu. Hilang sudahlah raut penuh keibuan yang ada kini hanya raut penuh rasa menyampah terhadap lelaki itu.

" Suha, sihat?" sapa Pak Omar.

" Alhamdulillah sihat. Lama tak nampak pak cik," ramah Nasuha.

" Pak cik dok ada ja kat kampung ni. Kamu tu yang pak cik dah jarang nampak."

" Suha dah kerja pak cik. Itu yang pak cik dah lama tak nampak Suha. Mak cik sihat?"

" Mak cik kamu tu sihat. Eh, nanti ada masa lapang mai la rumah pak cik. Mak cik kamu mesti suka. Dia pun ada juga dok sebut-sebut nama kamu."

" In shaa Allah. Ada masa Suha pi melawat."

" Baguslah kalau macam tu. Ni pak cik nak tanya Suha kenal ka anak menakan pak cik ni?"

Nasuha tercengang. Tidak sangka soalan maut itu ditanya oleh lelaki seusia ayahnya itu. Sekadar menganggukkan kepalanya sahaja. Amsyar mahu menegur namun seperti ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Melihat kedinginan wanita itu, membuatkan Amsyar rasa serba salah.

" Suha kenal?" tegur Haji Mior pelik. Jarang-jarang anaknya itu mengenali lelaki lain selain arwah suaminya sahaja.

" Kenal. Ayah Sofea." Nasuha membalas soalan ayahnya. Haji Mior memandang Amsyar.

" Patutlah pak cik rasa macam nak kenal muka kamu. Ada iras-iras Cik Pia kat muka kamu," Haji Mior memang suka memanggil Sofea dengan gelaran Cik Pia sepanjang anak kecil itu tinggal di rumahnya. Kanak-kanak itu juga pandai membawa diri dan mudah bergaul. Amsyar hanya ketawa mendengar nama yang disebut Haji Mior. Sudah tentu lelaki tua ini dibuli anaknya.

" Ya, saya ayah Sofea. Saya tak tahu pula yang Cikgu Nasuha ni satu kampung dengan pak cik saya. Kalau macam tu taklah saya risau sangat kalau anak saya mengikut Cikgu Nasuha balik sini lagi," ujar Amsyar selamba. Sebenarnya dia mahu menarik perhatian Nasuha untuk bercakap dengannya. Dia mahu memohon maaf. Bukan sifatnya mahu menyakitkan hati orang. Terutamanya perempuan. Yang peliknya perempuan itu adalah Nasuha Amina.

" Boleh, mai ja bila-bila masa. Pak cik senang hati menerima tetamu. Boleh mengeratkan silaturrahim."

Ketiga-tiga lelaki itu ketawa. Nasuha yang terasa seperti terpinggir, perlahan-lahan membawa diri ke tepi parit kolam. Mahu melihat ikan tilapia belaan ayahnya. Malas mahu bercampur dengan mereka. Entah kenapa kata-kata ayahnya bagaikan seperti sesuatu. 



Nota : Saya mohon maaf sebab lambat update cerita ini disebabkan kekangan bekerja. In shaa Allah, cerita ini akan disambung lagi. Terima kasih pada yang sabar menanti. Teruskan membaca cerita ini...

My Lover Daddy CoolWhere stories live. Discover now