BAB 100

189 1 0
                                    

Tiga bulan kemudian.

Datin Norlie sekeluarga sedang sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Akhirnya impian untuk melihat anak lelakinya itu berkahwin tercapai jua.

Rissa Ariana pula telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Sophia 6 tahun yang lalu. Selepas kejadian di gudang tempoh hari, hampir tiga minggu Mikael tidak sedarkan diri. Sepanjang tempoh itu Haura sentiasa ada di sisinya. Lebih-lebih lagi apabila doktor memberitahu kemungkinan untuk dia sedarkan diri sangat tipis kerana lelaki itu bagaikan tidak mahu untuk bangun dari lena. Dia seolah-olah tidak melawan untuk sedarkan diri.

Sehelai tuala kecil serta satu jeluk air diletakkan di atas meja di sisi katil. Sudah menjadi rutin harian Datin Norlie untuk "memandikan" anaknya itu. Haura juga hampir setiap hari akan menemani Mikael serta berbual-bual dengannya. Dia yakin lelaki itu dapat mendengarnya meskipun dalam keadaan yang sedemikian.

Tidak lekang senyuman dari bibirnya tatkala mengimbau kembali segala kenangan manis mereka berdua. Ada ketika matanya berkaca kerana terlalu rindu jejaka itu. Datin Norlie yang melihat kesungguhan serta keikhlasan wanita itu turut berasa sebak dan terharu. Tidak henti dia memohon doa kepada yang Maha Esa supaya kurniakan kebahagian buat dua insan tersebut.

Berkat kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil. Mikael sudah mula menunjukkan tindak balas yang positif. Dua hari kemudian dia sudah mula membuka mata dan sedar sepenuhnya. Cuma badannya masih tidak cukup gagah untuk bergerak .

Usai sahaja mendapat berita tersebut Haura terus bergegas ke hospital. Tidak putus lafaz syukur keluar dari mulutnya. Betapa teruja dan gembiranya dia untuk bersua kembali dengan lelaki itu.

Namun kegembiraan mereka itu tidak kekal lama kerana sikap Mikael yang telah berubah 180°. Dia seolah-olah tidak selesa dengan kehadiran wanita itu tetapi Haura tidak mudah berputus asa. Hari-hari wajahnya akan terpampang di situ untuk membantu Datin Norlie dalam menguruskan Mikael. Sehinggalah suatu hari lelaki itu meluahkan isi hatinya.

"Maaf, aku tak dapat tunaikan janji aku untuk sarungkan cincin ni di jari manis kau. Carilah lelaki lain yang lebih layak dan lebih menghargai kau. Lepas ni tolong jangan jumpa aku lagi."

Tutur Mikael mendatar tanpa reaksi. Haura tergamam seketika. Tangan Mikael cuba dicapai namun ditepis lembut oleh lelaki itu.

"T-tapi kenapa?" Soal Haura sebak.

"Aku dah ingat semuanya pasal kau. Dan aku masih tak dapat lupakan..." Mikael mengetap bibir. Dia tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya.

"Aku harap kau faham. Lagipun hubungan kita sememangnya sudah berakhir." Tambahnya lagi.

Tanpa sebarang suara Haura bingkas bangun lalu melangkah keluar. Hatinya benar-benar terguris. Dikesat airmata yang mengalir laju di pipinya. Beberapa ketika kemudian Datin Norlie pula melangkah masuk bertemu mata dengan lelaki itu.

"Mana Haura?" Tanya Datin Norlie pelik. Baru sebentar rasanya dia meninggalkan mereka berdua. Namun tiada sebarang jawapan dari anak lelakinya itu.

*****

Kereta yang dipandu oleh Pak Wahid tiba diperkarangan rumah Puan Sri Normah. Hampir kesemua ahli keluarga sedang menantikan kepulangan Mikael yang baru sahaja keluar dari hospital. Baru dua minggu sedarkan diri dia sudah meminta untuk pulang ke rumah. Bukan main marah lagi Datin Norlie dengan sikap anaknya itu.

Luka bekas tembakan di dadanya masih belum sembuh sepenuhnya. Kecederaan di kepalanya akibat kemalangan yang terdahulu masih dalam rawatan. Tetapi dia sudah berkeras untuk pulang. Naik pening kepala ibunya itu. Namun setelah berbincang dengan doktor yang merawatnya akhirnya Mikael dibenarkan untuk pulang.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now