BAB 64

167 2 0
                                    

Angin bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, ditambah seri dengan bunyi kicauan burung membuatkan suasana pada petang itu sungguh damai.

Haura terkebil-kebil apabila mendengar ucapan kata maaf yang keluar dari mulut lelaki itu. Dia menyangkakan dirinya itu sudah tidak mungkin akan berbaik semula dengan lelaki yang bernama Luth Mikael.

          "Memang awak dah sakitkan hati saya. Bukan sikit tau tapi banyak sangat. Awak ingat senang-senang je ke saya nak maafkan awak." balas Haura separa merajuk.

          "Aku sendiri tak tahu kenapa aku buat kau macam tu. Fikiran aku bercelaru. Setiap kali aku tengok kau, dengar suara kau, aku rasa......"

Mikael cuba meluahkan rasa hatinya namun terhenti disekerat jalan. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk dia menyampaikan isi hatinya itu kepada Haura. Dia sendiri bingung dengan perasaan itu.

Haura menanti dengan penuh teruja apakah yang bakal disampaikan oleh lelaki itu. Namun penantiannya itu sia-sia apabila Mikael terus berdiam diri.

          "Saya call awak banyak kali tau. Tapi sekali pun awak tak jawab. Mesej saya satu pun awak tak balas. Saya ingat awak dah bencikan saya." balas Haura.

          "Tak, aku tak pernah benci kau. Aku cuma...."

          "Haura!"

Sekali lagi kata-kata Mikael terputus di tengah jalan. Hadir sosok seorang lelaki dari arah belakang Haura menyeru nama wanita itu. Serentak dengan itu Haura menoleh ke arah suara tersebut.

Tubuh Haura berubah menjadi kaku. Matanya terbuntang luas apabila melihat sosok lelaki yang mula menapak menghampirinya. Mikael berasa tidak senang dengan kehadiran lelaki itu.

          "Ish! Spoil betul la dia ni. Tapi siapa dia?" tutur Mikael di dalam hati. Matanya cerlung merenung lelaki yang telah pun berdiri di hadapan Haura.

          "Jannatul Haura. Tak sangka saya akan jumpa awak dekat sini." tegur lelaki tersebut.

          "E-Encik Badrul....." perlahan nama itu keluar dari mulut Haura. Lelaki itu tersenyum memandang Haura.

          "Dah lama kita tak berjumpa, kan? Lepas awak resign hari tu saya terus tak dapat jejak awak. Mana awak pergi?" ujar Badrul. Sempat dia melirik ke arah Mikael buat seketika.

Tangan Haura mula menggigil. Tubuhnya juga terasa kaku. Peristiwa gelap yang menimpa dirinya kembali bermain di kaca fikiran. Haura mula mengetap bibir.

Badrul kemudian menapak selangkah demi selangkah mendekati wanita itu. Semakin hampir lelaki itu dengan dirinya, Haura pula melangkah beberapa tapak ke belakang dek rasa takut yang mula menyelubungi dirinya.

Mikael rasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat wanita di hadapannya itu seperti di dalam ketakutan. Tingkah laku Badrul juga sangat meragukan baginya. Tanpa berfikir panjang Mikael terus mara ke hadapan. Tangan Haura dicapai lalu dia menarik wanita itu ke belakang.

Haura kaget.  Jantungnya seolah-olah terhenti buat seketika. Haura memandang Mikael yang sedang merenung tajam ke arah Badrul. Haura mengalihkan pula pandangan pada jemarinya yang sedang digenggam erat oleh lelaki itu.

          "Mikael......" bisik hatinya sebak. Detak jantungnya mula berirama kencang. Dia tidak pasti sama ada kerana dia terlalu gementar berdepan dengan Badrul ataupun kerana tindakan Mikael itu.

          "Siapa ni Haura?" soal Mikael tegas. Namun lidah Haura terlalu kelu untuk menjawab.

          "Badrul. Nama saya Badrul. Ex bos Haura." ujar Badrul selamba. Tangan dihulur untuk berjabat. Namun tidak disambut oleh Mikael.
 
          "Oh ex bos. So kau buat apa dekat sini?" tanya Mikael lagi.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz