"Haura, kenapa tergesa-gesa keluar ni? Dah jumpa dengan Mikael?" Tegur Datin Norlie kepada wanita itu namun Haura tidak membalasnya. Dia sekadar menganggukkan kepalanya beberapa kali sebelum beredar dari situ. Datin Norlie mula rasa tidak sedap hati. Dia segera melangkah masuk ke dalam bilik anaknya itu.

Datin Norlie pada mulanya ingin menyoal Mikael mengenai Haura. Tetapi selepas melihat keadaan anaknya yang terbaring lemah di atas katil itu dia segera membatalkan niatnya itu. Dia tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada Mikael. Bagi menghilangkan rasa gelisahnya itu Datin Norlie mencapai sebotol air mineral yang terdapat di atas meja kecil di sisi katil Mikael.

Namun lain pula yang terjadi apabila Dato' Rizal dengan selamba badaknya bertanya kepada anak lelakinya itu mengenai wanita yang baru keluar dari biliknya sebentar tadi.

          "Kamu dah jumpa dengan Haura?" Tanya Dato' Rizal. Mikael berkerut seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu.

          "Haura? Siapa Haura?"

Hampir tersembur air mineral yang baru diteguk oleh Datin Norlie sebentar tadi. Matanya terbuntang luas mendengar jawapan dari Mikael itu. Dia segera memandang ke arah suaminya.

          "Kamu jangan melawak dengan mama Mika. Tunang kamu sendiri takkan kamu tak kenal." Balas Datin Norlie.

          "Hah? Tunang Mika?" Soal Mikael kembali. Hampir serentak Datin Norlie dan Dato' Rizal menganggukkan kepala mereka. Mikael tiba-tiba melepaskan tawa yang kecil.

          "Mama tunang Mika ada seorang je, Sophia."

*****

          "You sebenarnya punca semua ni berlaku. Apa yang terjadi pada Mikael semuanya disebabkan kedegilan you. You memang tak berguna Haura. You hanya pembawa nasib malang dalam hidup Mikael."

Kata-kata yang dilemparkan oleh Rissa terhadap dirinya sentiasa bermain di fikiran Haura. Kata-kata itu bagai menghantui hidupnya kini. Sejak pertemuannya di dalam bilik Mikael dua hari yang lalu Haura tidak lagi menjejakkan kakinya ke sana. Dia hanya memencilkan dirinya di dalam biliknya itu. Datin Norlie pernah datang untuk bertemu dengannya tetapi dia menolak.

          "Betul ke kamu tak nak pergi jumpa Mikael dulu." Tanya Puan Hafizah untuk kesekian kalinya. Namun jawapan Haura masih sama. Wanita itu menggelengkan kepalanya.

          "Haura dah jumpa dengan dia jadi rasanya tak perlu nak jumpa dia lagi buat masa ni. Haura tak nak ganggu emosi Mikael." Balas Haura lemah. Puan Hafizah sekadar mengeluh pendek.

Beberapa ketika kemudian Encik Zamzuri muncul di muka pintu. Haura kini telah dibenarkan untuk pulang. Segala urusan untuk keluar dari wad sudah diselesaikan oleh Encik Zamzuri. Mereka bertiga kemudian berlalu pergi meninggalkan bilik wad tersebut.

Sejak berita tentang kemalangan yang menimpa Haura, Datin Safiah dan suaminya turun ke Kuala Lumpur dari Terengganu. Apabila wanita itu dibenarkan untuk pulang dia berkeras untuk membawa cucunya itu pulang ke kediaman anak dan menantunya itu.

Pada awalnya Haura menolak. Dia tidak mahu menyusahkan orang tuanya itu. Tambahan pula Mona akan tinggal bersama-sama dengannya di rumah sewa tersebut. Jadi tiada masalah untuk dia terus tinggal di sana. Namun Datin Safiah tetap berkeras dan menyuruh Haura balik ke rumah ibu dan bapanya.

Oleh kerana tahap kesihatan Datin Safiah yang semakin merosot Haura tidak mahu wanita itu bertambah sakit disebabkan kedegilannya. Jadi dia terpaksa akur dan bersetuju demi menjaga hati opahnya itu.

*****

Puan Hafizah dan Datin Safiah dilihat sedang berbual-bual di ruang tamu setelah usai bersarapan pagi bersama-sama. Mereka saling mengungkapkan kerisauan masing-masing terhadap Haura yang langsung tidak mahu keluar dari biliknya itu. Makan minum juga jarang dijamahnya.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now