"Aku dekat mana ni?" Bisik Mikael di dalam hati.

Bebola matanya mula ligat menari memerhatikan sekeliling. Matanya kemudian menangkap kelibat Datin Norlie yang sedang duduk di sofa sambil berbual dengan Dato' Rizal sambil tangannya tidak duduk diam mengupas kulit buah. Mikael tersenyum nipis apabila melihat wajah kedua orang tuanya itu.

Beberapa ketika kemudian Datin Norlie bangkit dari kerusinya untuk pergi membuang sisa kulit buah-buahan yang dikupasnya sebentar tadi. Meskipun dia berjalan merentasi katil Mikael namun dia masih lagi tidak sedar bahawa anaknya itu telah mula membuka matanya.

        “Mama...” Panggil Mikael lemah. Sayup-sayup panggilan itu singgah di telinga Datin Norlie. Dia segera berpaling ke arah Mikael yang sedang terlantar di atas katil. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri anaknya itu.

Di saat dia melihat mata Mikael yang berkedip memandang ke arahnya Datin Norlie tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya itu.

        “Abang! Mari sini cepat. Alhamdulillah kamu dah sedar sayang.” Datin Norlie meninggikan suara memanggil suaminya. Dato Rizal segera bangkit dari kerusi dan menuju ke katil yang di diami Mikael. Datin Norlie mengusap serta mencium kepala anaknya itu berkali-kali dengan penuh kasih sayang. Mulutnya pula tidak berhenti mengucapkan kalimah syukur.

Mikael cuba untuk mengangkat tubuhnya namun tidak berdaya. Tubuhnya terasa sangat lemah dan kepalanya juga terasa berat sekali. Mikael berkerut. Kepalanya tiba-tiba sahaja berdenyut. Dia kemudian menyentuh bahagian kepalanya yang masih berbalut itu. Air mukanya mula berubah.

          "Mika kamu tu belum sembuh lagi, jangan banyak bergerak." Ujar Dato' Rizal bagi menenangkan anaknya yang mula kelihatan panik itu.

       “Apa yang dah jadi ni mama, papa? Macam mana Mika boleh ada dekat sini?” soal Mikael bingung. Matanya silih berganti memandang wajah ibu dan bapanya itu.

Datin Norlie dan Dato' Rizal saling berpandangan sesama sendiri. Mereka berdua agak terkejut dengan pertanyaan dari Mikael itu.

       “Mika tak ingat ke apa yang dah berlaku?” soal Datin Norlie kembali sambil memegang tangan Mikael lalu digosok lembut. Mikael berfikir sejenak sebelum menggelengkan kepalanya.

Sekali lagi Dato' Rizal dan Datin Norlie saling berbalas pandang. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan anak lelakinya itu Dato' Rizal mengambil keputusan untuk tidak memberitahu apa-apa kepada Mikael sehingga dia mendapatkan pengesahan dari pihak doktor.

          "Sekarang ni kamu rehat dulu nanti mama panggilkan doktor. Lepas tu baru kita berbual." Balas Datin Norlie. Riak wajahnya yang kelihatan bimbang itu cuba disorokkan dari dilihat oleh Mikael.

Datin Norlie kemudian mula menapak untuk keluar. Sempat dia memberi isyarat mata kepada suaminya untuk keluar bersama. Dato' Rizal yang memahami isyarat tersebut mengekori isterinya itu ke arah pintu keluar. Datin Norlie kelihatan sangat resah. Usai sahaja suaminya menutup rapat pintu bilik tersebut dia segera mencapai tangan suaminya itu.

          "Abang, anak kita tu okay ke tak? Kenapa dia tak ingat pasal kejadian tu? Anak kita tu dah hilang ingatan ke?" Tanya Datin Norlie  cemas. Dia benar-benar risaukan keadaan anaknya itu.

          "Ish, kenapa awak cakap macam tu Nor. Kata-kata tu ibarat satu doa tau. Awak nak sangat ke Mikael tu hilang ingatan?" Balas Dato' Rizal yang agak terkejut dengan kata-kata yang meluncur keluar dari mulut isterinya itu. Datin Norlie terdiam buat seketika.

         "Macam-macam dugaan yang menimpa anak kita tu bang. Nor bukan apa, Nor cuma dah tak sanggup nak tengok anak kita tu menderita." Balas Datin Norlie perlahan.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now