Kamilia Hazel mencebik. Mulalah tu nak guna kuasa dia.


"ASSALAMUALAIKUM sayang..." Sewaktu dia sedang menyiapkan beberapa kerja sekolah yang diberi gurunya, tiba-tiba dia dapat panggilan FaceTime daripada orang tuanya yang berada di luar negara.

Tak cukup tangan dia menggapai telefon. Jelas kelihatan di skrin telefon terpapar wajah umi dan daddynya. Keadaan di situ seperti mereka sedang berehat di dalam bilik. Mungkin mereka tinggal di hotel sekarang.

"Waalaikumussalam umi. Hye, daddy!" Lambai Kamilia Hazel.

Dia tersenyum. Rindunya pada mereka berdua walaupun sejak Datin Harsyifah dan Dato Kusyairi pergi, mereka selalu buat video call.

"Macam mana sekolah?" soal Dato Kusyairi.

"Okey aje. Macam biasa. Trial dah nak dekat," maklum Kamilia Hazel sambil menjuihkan bibir menandakan dia belum bersedia.

"Baguslah macam tu. Buat elok-elok. So, duduk dengan mom and dad macam mana? Okey? Ada bergaduh dengan Harraz?" Datin Harsyifah pula bertanya.

Dia memang runsing memikirkan kehidupan anak gadisnya dengan menantunya yang memang suka bergaduh. Lagi-lagi, tak dapat nak tengok depan mata. Kalau bukan disebabkan mereka di luar negara sekarang, memang sudah dipantau 'anjing dengan kucing' itu.

"Harraz tu memang tiap-tiap hari ada aje stok nak cari gaduh dengan Haz. Entah apalah masalah mamat tu. Otak dah mereng agaknya." Kamilia Hazel menjeling.

Sungguh menyampah bila nama Ungku Harraz menjadi topik bualan mereka.

"Ish apa Hazel cakap macam tu. Suami kan tu," tegur Datin Harsyifah. Mahu saja dia cubit mulut anaknya itu.

"Umi dengan daddy apa khabar? Lama lagi ke nak duduk sana?" Dia mengubah topik.

"Lagi beberapa bulan aje sayang. Nanti dah siap urusan kami di sini, kami baliklah ye," jawab Dato Kusyairi tersenyum.

"Hmmm..." Muncung Kamilia Hazel ditarik sedepa.

Harap-harap kedua-dua orang tuanya dapat balik awal sikit dari yang sepatutnya. Dia dah tak tahan duduk di rumah ini. Bukannya dia tak suka cuma keberadaan Ungku Harraz yang buat dia tak selesa.

"Umi call ni sebenarnya ada benda nak beritahu," kata umi Kamilia Hazel.

"Ha kenapa umi?"

"Abang Raziq kan baru habis belajar. Mak long minta tolong umi carikan tempat tinggal untuk si Raziq tu. Katanya nak biasakan diri dulu. Dia nak cari kerja di Kuala Lumpur. Umi cadangkan dia untuk duduk rumah mom and dad. Umi dah tanya dah keluarga Harraz, mereka okey," terang Datin Harsyifah.

Kamilia Hazel terus ternganga.

Abang Raziq? Tiba-tiba dadanya berdebar kencang. Seriuslah, abang Raziq nak datang KL?

"Ab... abang Raziq? Abang nak datang sini?" soal Kamilia Hazel hampir tidak boleh mengawal riak wajahnya yang gembira dan tidak sabar untuk berjumpa semula dengan lelaki itu.

"Ya," balas uminya.

Wajah Raziq terus dibayangkan berada di hadapannya. Dia bayangkan lagi mereka sedang berpegangan tangan sambil pusing-pusing, melepaskan rindu setelah lama tidak berjumpa. Hampir 4 tahun jugalah mereka tidak bersemuka. Rindunya Kamilia Hazel terhadap jejaka idamannya itu.

Sedar dirinya terlanjur berangan tanpa menyedari keberadaan umi dan daddynya yang masih di panggilan, Kamilia Hazel terus buat-buat kurang senang dengan topik itu. Padahal, hanya Tuhan saja tahu betapa dia tidak sabar menunggu ketibaan Raziq ke Kuala Lumpur.

Cinta Yang Kau Benci✔️Où les histoires vivent. Découvrez maintenant