Bab 41

221 8 1
                                    

TALI leher dilonggarkan sedikit. Sebelah tangan menurunkan tandatangan pada sebuah fail kerja di atas meja.

Setelah siap, dia buka muka surat yang lain. Setiap ayat yang dibaca dengan teliti. Tidak mahu ada maklumat penting yang terlepas pandang nanti.

Tok! Tok! Tok!

"Masuk," arah Affan bernada tegas. Seketika kemudian, dia mengangkat kepala.

Kelihatan setiausahanya yang bernama Hazrin itu sedang berdiri tegak sebelum kepala menunduk.

"Tuan ada mesyuarat dalam pukul empat petang nanti. Tuan akan gantikan tempat Tuan Ayden memandang dia pergi ke luar negeri."

Kemudian, Hazrin meletakkan beberapa fail kerja di atas meja lelaki itu. Bibir melontar senyuman kepada majikannya.

"Ini fail yang Tuan Ayden minta tuan semak sebelum mesyuarat bermula. Fail ini berkaitan dengan projek yang akan dibincangkan nanti," jelas Hazrin seperti mana Tuan Ayden berkata semalam.

Dia sebenarnya bekerja menjadi setiausaha Tuan Ayden. Namun, disebabkan Tuan Affan masih lagi baru dalam pejabat itu, jadi Hazrin diarahkan untuk membantu lelaki itu. Kadangkala dia akan berurusan dengan Tuan Ayden juga.

Affan mengangguk. Fail tersebut ditarik dan dibuka. Dia sudah tahu yang dia bakal menggantikan Ayden untuk mesyuarat kali ini. Jadi, Affan telah membuat banyak carian tentang apa yang akan dibincangkan nanti.

"Tuan nak saya beritahu pihak sana yang mesyuarat akan berhenti sekejap pada waktu asar? Sebab tuan mesti nak..."

"Tak perlu."

Bibir dikemamkan. Belum habis kata-kata yang keluar dari mulutnya, lelaki itu pantas memintas. Hazrin jatuhkan kepala.

Mungkin Affan sendiri yang akan beritahu nanti. Dia berfikiran positif terlebih dahulu.

Selalunya memang begitu. Jika berlaku pada waktu petang, mesyuarat akan diberhentikan seketika. Ingin memberi laluan kepada sesiapa yang ingin solat.

Sudah semestinya dua orang majikannya itu.

"Kau dah boleh keluar."

Hazrin tunduk sebelum berlalu keluar. Dia pelik. Kenapa Tuan Affan lebih dingin daripada Tuan Ayden?

Pen di tangan dilepaskan ke meja. Affan gerakkan kepalanya sehingga berbunyi. Hilang sedikit lenguh di leher.

Sudah sering kali dia menggantikan tempat Ayden dalam mama-mana mesyuarat. Namun setiap itu juga dia rasa gelisah.

Bagaimana jika dia tidak dapat projek yang dimahukan itu?

Risau dengan tanggapan Ayden kepadanya. Bimbang jika dia hilang jawatan dalam syarikat arwah papa.

Kepala digerakkan ke kiri dan kanan. "Fokus Affan, fokus. Kalau kau nak jawatan tu, kau kena fokus."

Pen kembali diraih dan menyemak maklumat-maklumat tersebut. Affan tak boleh terlepas satu patah perkataan pun.

Pantas masa berlalu, kini Affan sedang berada di dalam bilik mesyuarat. Duduk diam dan memerhati wakil daripada syarikat lain membuat pembentangan.

Hazrin yang duduk di sisi Affan, menoleh ke arah lelaki itu. Jam telah menunjukkan waktu asar sudah hampir.

Namun tiada tanda-tanda majikannya itu mahu berhenti seketika. Bukankah Affan selalu mengutamakan waktu solat?

Kepala yang tak gatal, digaru. Hendak menegur tapi Hazrin takut mengganggu mesyuarat itu pula. Dia selalu ikut solat berjemaah sekali dengan lelaki itu walaupun tidak selalu solat lima waktu.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now