Bab 6

151 6 0
                                    

QASEH menggelengkan kepalanya ke kiri dan kanan saat memandang si abang. Duduk termenung, entah apa yang lelaki itu fikirkan. Nasib baik si kecil sudah tidur di tangannya.

"Abang, kenapa tak makan lagi? Tengok, dah sejuk semua lauk. Tak baik tau membazir," kata Qaseh setelah melabuhkan punggung pada bangku. Tangan menepuk perlahan paha si kecil.

Alhamdulillah, Qaseh sudah boleh memegang bayi itu walaupun tangannya sedikit menggeletar. Bermacam-macam yang bermain di fikiran. Bimbang jika si kecil tiba-tiba menangis. Atau pun tiba-tiba terjatuh.

Mereka berada di luar rumah. Makan di restoran. Sudah lama Qaseh tidak keluar bersama abangnya. Hari ini, dia berbesar hati ingin membeli apa sahaja yang lelaki itu mahukan.

Namun melihat lelaki itu termenung, hati dihambat kerisauan. Teringatkan siapa? Teringat pada si dia yang jelas sekali tidak mempedulikan suami dan anak?

"Abang ingatkan Kak Nuha?"

Mendengar nama yang meniti di bibir Qaseh, Syafit kembali ke realiti. Dia berdeham perlahan. Bagaimanalah dia boleh tidak perasan dengan kehadiran gadis itu? Ralit sangat memikirkan si dia yang di sana.

Kepala digelengkan.

"Abang dah tak ingat fasal dia."

'Abang hanya imbas kembali kenangan kami,' ucap Syafit sekadar di dalam hati. Wajahnya mungkin nampak okey tapi tidak pada hatinya. Sudah lama berkecai.

Qaseh turut menggeleng. Dia tidak percaya semudah itu abangnya akan lupa.

Syafit sudah ceritakan semuanya kepada dia. Sedih sangat bila dengar cerita daripada lelaki itu. Sampai macam tu sekali Kak Nuha buat kepada abangnya. Mulut katakan cinta tapi diri mengkhianati.

"Abang mungkin boleh tipu diri sendiri. Tapi abang tak boleh tipu Qaseh. Qaseh yang membesar sama-sama dengan abang. Kalau rindu, cakap rindu. Hawa pun mesti rindukan ibu dia."

Rambut si kecil yang tertidur di lengannya, Qaseh usapkan perlahan. Tak tersentuh ke hati Kak Nuha tatkala menatap wajah si kecil ini? Si kecil yang tak tahu tentang dunia lagi.

Terbit senyuman tipis di bibir Syafit. Sejauh mana dia menepis sangkaan itu, adiknya tetap mengetahui. Dia terlupa seketika. Qasehlah teman sepermainannya dulu.

"Walau hati ini merindu, adakah nama yang terukir di dalamnya akan kembali? Akankah dia hadir semula untuk menjadi pelengkap jiwa ini?"

Qaseh tak tahu nak cakap dan buat apa lagi. Terpancar kaca-kaca hangat di birai mata itu. Dia tak tahu seberapa dalam luka yang telah menggores hati abangnya.

Setelah beberapa minit mendiamkan diri, mereka akhirnya beredar dari restoran tersebut. Perut sudah tidak menerima makanan lagi meskipun sudah berdendang lapar.

Saat mereka lalu di kaki lima, Qaseh menyedari langkah abangnya berhenti. Mata terus melihat ke arah yang dilihat oleh lelaki itu. Dia terpegun dan dalam masa yang sama si kecil mula mengeluarkan tangisan.

Qaseh nampak Syafit sedikit lain. Jelas kelihatan urat di leher lelaki itu menanda amarah sedang memuncak naik. Tangan abangnya juga terketap rapat.

Dia tak tahu apa perasaan Syafit sekarang ini. Marah saat terjumpa sang isteri yang dahulunya meninggalkan dia? Atau gembira dapat melepas rasa rindu terhadap gerangan itu?

Sang kakak iparnya pula, Qaseh perhatikan. Jelas wajah itu tak mahu melihat mereka. Terutama si kecil yang berada di dalam dukungannya.

"Shuu.. ya sayang. Mak su ada ni," ucap Qaseh untuk menenangkan anak saudaranya. Semakin lama semakin kuat tangisan itu. Mesti bayi itu berasa panas dan tidak selesa kerana dibedung dengan kain.

Tak semena-mena, Syafit peluk bahu dia sebelum mereka beredar menuju ke tempat letak kereta. Qaseh menoleh, dan-dan dia terpandang Nuha yang juga menatap mereka.

Wajah wanita itu kelihatan sugul. Qaseh percaya bahawa dalam hati Nuha masih ada perasaan kasih terhadap si kecil. Terhadap abangnya? Qaseh tak tahu dan tak mahu masuk campur dalam urusan hati wanita itu.

°
°
°
°
°

AFFAN duduk menghadap ke arah tingkap biliknya. Di tangan kiri, terdapat berut cat bersaiz kecil. Dan sebelah lagi memegang tempat khas untuk warna air. Sentuhannya yang berseni, dipindahkan ke atas kertas lukisan.

Tok! Tok! Tok!

"Masuk," kata Affan tanpa mengalihkan pandangan dari kertas lukisan tersebut. Hujung minggu ini dia tidak mempunyai kerja di pejabat. Hanya Ayden saja yang berada di pejabat pada waktu begini.

"Lah dekat sini rupanya anak mama ni. Puas cari satu rumah, ingatkan pergi pejabat."

Senyuman terlakar di bibir Affan tatkala mendengar bicara mamanya. Adalah tu yang Puan Amena hendak bualkan. Jarang wanita itu masuk ke bilik itu kecuali ada yang hendak disampaikan.

Biasanya orang gaji mereka saja yang akan naik ke tingkat atas untuk memanggil sama ada makanan sudah siap atau ada barang yang sampai.

Puan Amena melihat sesuatu yang lelaki itu telah lukiskan. Tak semena-mena dia mengulum senyuman lebar. Alahai, si bongsu dan lukisan memang takkan terpisah.

"Sejak bila suka lukis macam ni? Lukis tikar lepas tu ada makanan. Yang tu... mama tak faham."

Jari dituding ke arah satu imej yang Affan lukiskan. Seorang jejaka dan juga seorang gadis sedang berkelah di tepi pantai. Si gadis menutup muka manakala jejaka pula, duduk dengan melipat kaki ke dalam. Gayanya seperti melutut.

Dan yang Puan Amena suka, jejaka itu memegang kotak baldu berwarna merah. Dia boleh tafsirkan bahawa jejaka itu ingin melamar gadis tersebut.

Sekali lagi Affan mengulas senyuman lebar sehingga barisan gigi hadapannya kelihatan. Ketara riak teruja pada wajah lelaki itu. Hati dilanda rasa bahagia dengan tiba-tiba.

"Lah mama tanya, dia boleh senyum pula. Ini mesti ada sebab, kan?" tanya Puan Amena diakhiri dengan tawa yang kecil. Geli hatinya melihat wajah si anak bongsu yang sudah merah padma.

"Mama ni..." Affan mengusap belakang lehernya. Malu apabila mendengar ucapan wanita itu.

Tak tahu bagaimana dia boleh melukis seperti itu. Tahu-tahu idea tersebut muncul lalu tangan dia laju menyentuh kertas lukisan. Sebabnya dia tak dapat kenal pasti apa.

'Mungkin ada seseorang yang sedang kau rindu? Kau rindu momen-momen kau orang berdua?'

Riak wajah Affan terus berubah tatkala mendengar bisikan hatinya. Sudah tiga minggu bisikan itu dia dengar. Namun dia sendiri menidakkan. Siapa pula yang harus dia rindu? Buah hati pun tak ada.

Sepantas kilat nama seseorang hadir di fikiran Affan.

Qaseh Awliya.

"Hah ini dah kenapa pula? Senyap saja."

Kepala digelangkan. Affan tak mahu Puan Amena tahu yang dia dan Qaseh sudah tidak bertemu selama sebulan. Kali terakhir mereka bertemu di gelanggang futsal hari tu. Hari di mana dia marah dengan Taufiq kerana mengganggu Qaseh. Itu sahaja.

"Erm... kenapa mama masuk bilik Affan ni? Nak minta tolong ke?" tanya Affan setelah meletakkan berus ke atas meja. Badan terus berpusing melihat sang ibu.

"Oh ya, lupa pula mama nak cakap. Tadi Ayden ada telefon tapi kamu tak jawab. Dia telefon mama, beritahu yang dia tak dapat ambil Ayla dekat rumah pengasuh. Dia suruh kamu ambil lepas tu bawah jumpa dengan Helena."

Mendengarkan itu, pantas tangan Affan mencapai telefon. Dia lupa pula nak hidupkan telefon. Tadi bateri telefonnya habis, itu yang dia cas. Tapi tak sangka pula yang Ayden akan hubungi dia.

"Allahu... Affan lupa nak hidupkan telefon tadi. Okey Affan siap sekarang. Thank you, mama," ujarnya sebelum masuk ke ruangan almari.

"Jangan bersiap lama sangat. Nanti anak buah Affan tu menunggu lama. Merajuk satgi."

"Aip-aip captain!"

TBC

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ