Bab 35

129 3 0
                                    

BINTANG tanpa sinarnya menjadikan cakerawala itu kelam. Hanya rembulan yang setia menerangkan malamnya. Affan berdiri serta memeluk tubuh.

Laptop di atas meja, dia biarkan seketika. Beberapa tugas sudah pun dia selesaikan. Hanya menunggu arahan daripada Ayden saja.

Sejuk angin malam menyapa tubuh. Namun tidak pula membuatkan Affan mahu masuk ke dalam rumah.

Sekadar jasad di situ manakala fikirannya sudah berkeliaran. Affan serabut.

"Termenung jauh nampak. Fikirkan tentang apa?"

Affan berpaling saat mendengar bicara itu. Dia lemparkan senyuman tipis kepada Puan Amena. Wanita itu sudah melabuhkan punggung di kerusi kayu.

"Fikir kerja, ma. Banyak nak kena siapkan," jawabnya lalu memasukan tangan ke dalam poket seluar. Nafas terhela perlahan.

Senyuman terlukis di bibir Puan Amena. Dia sangat mengenali sikap anak-anaknya. Mereka membesar di hadapan mata ini. Sekilas ikan di air, sudah tahu mana jantan betinanya.

Dia sudah terlebih dahulu makan garam. Jadi bila melihat tingkah seseorang saja, Puan Amena sudah dapat tahu.

"Mama perasan dah seminggu Affan macam tak okey. Kenapa? Gaduh dengan Qaseh?" duga Puan Amena. Dia bukannya nak menyibuk hal rumah tangga orang lain. Tapi ketara sangat tingkah Affan itu.

Bilamana Qaseh mendekat, anak lelaki itu akan menjauh. Pulang dari pejabat, sudah mahu pukul 12 tengah malam. Kadang-kala Affan akan tidur di pejabat.

Kasihan anak menantunya. Bukan Puan Amena tak nampak yang Qaseh berusaha mahu mendekati suami sendiri.

Gelengan diberikan. "Mana ada Affan dengan Qaseh gaduh."

Ya, dia dan Qaseh tidak bergaduh pun. Mereka baik-baik saja. Kecuali jika Qaseh ada melaporkan kepada mama bahawa mereka bergaduh.

"Affan, mama ni dah nak masuk 35 tahun dalam berumah tangga. Mama nampak sesuatu bila pandang Affan sekarang."

"Mama nampak apa?"

Affan pusingkan tubuh untuk menatap sang ibu. Wajah dikerutkan.

"Affan sedang jauhkan diri daripada Qaseh, kan."

Nafas dihembus perlahan. Affan tahu itu bukan soalan untuknya melainkan kenyataan yang harus ditelan. Sepandai mana dia menyorokkan emosi, Puan Amena tetap bijak meneka.

Perkara yang sama Affan lakukan sewaktu dia dan Qaseh baru sebulan berjumpa. Ketika dia mengajak wanita itu pergi ke gelanggang futsal dan bertemu dengan Taufiq. Dia masih ingat.

Seperti inilah Affan bila dilanda ketakutan. Ketakutan yang menjadi trauma buatnya. Ketakutan untuk hilang seseorang.

Dulu, Affan trauma saat ditinggalkan oleh arwah papa. Dia dan arwah papa sangat rapat. Ke mana arwah papa pergi, Affan akan mengikuti lelaki itu. Dan bukan Ayden. Ayden rapat dengan mama. Sebab itu nama Affan menjadi nama yang teratas dalam pemegang saham di syarikat arwah papa.

Tatkala arwah papa pergi, Affan jadi takut. Takut untuk ditinggalkan.

Puan Amena lepaskan keluhan panjang.

"Kenapa? Kenapa Affan buat Qaseh macam tu? Depan mama sendiri Affan kata Affan cintakan dia sangat. Tapi kenapa..."

"Affan takut Qaseh tinggalkan Affan nanti."

Mengucap panjang Puan Amena jadinya. Takut ditinggalkan tapi jalan penyelesaiannya begitu? Bukankah mudah untuk ditinggalkan lagi kalau begitu?

Dia tahu trauma itu sudah lama hadir dalam hidup anaknya. Hadir saat sang suami pergi meninggalkan mereka semua. Sudah 10 tahun berlalu. Cukup lama sehingga meninggalkan banyak kesan.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now