Bab 40

214 7 1
                                    

Beberapa bulan kemudian...

TANGAN diletakkan di bawah perut bersama dada yang turun naik. Termengah-mengah Qaseh berjalan mengikut langkah Helena.

Sesekali perut dielus perlahan bilamana sang anak menendang-nendang. Aktif betul kandungannya itu.

"Eh, Qaseh okey? Kalau tak okey, kita berhenti sekejap." Prihatin Helena bertanya. Wajah sudah berlapis-lapis. Risau dengan keadaan bakal ibu itu.

Qaseh tersenyum dengan gelengan.

"Qaseh okey je. Cuma adik terlebih aktif hari ni dalam perut. Mungkin teruja nak sambut hari jadi abi dia," balas Qaseh.

Hari ini, mereka nak sambut hari jadi Affan yang ke-28 tahun. Qaseh minta Helena tempahkan satu tempat untuk mereka sambut hari jadi nanti. Saat dia hulurkan duit, wanita itu berkata tak payah sebab dah ada orang bayar.

Rupa-rupanya Puan Amena yang tolong bayarkan. Ya Allah, rasa bersalah pula Qaseh. Dia yang minta tempahkan, orang lain pula yang bayar.

Helena tunduk sehingga paras mulutnya sama dengan perut wanita itu.

"Awak jangan aktif sangat adik. Satgi umi awak penat, hah. Kasihan dia. Nanti abi awak marah dekat awak," katanya seraya mengusap perut di sebalik baju abaya Qaseh.

Awal-awal lagi Affan sudah berpesan kepada dia. Nak bawa Qaseh pergi mana-mana, jangan buat wanita itu penat. Ini kerana usia kandungan Qaseh sudah memasuki tujuh bulan.

Dengan rela hati, Helena menurut perintah itu. Jika tidak diturut, mahunya dia mengundang kemarahan Affan. Lelaki itu sekarang, sesiapa yang buat isterinya penat atau sakit, memang akan dapat bebelannya.

Ayla lah yang selalu kena bebel. Namun bila dah namanya budak degil, kanak-kanak itu tetap saja nak dekat dengan Qaseh.

"Okey kita sambung jalan. Kalau Qaseh dah tak larat, beritahu akak. Kita berehat sekejap."

Kepala dijatuhkan. Mereka melangkah kembali. Setelah itu, mereka tiba di satu tempat makan. Tak ramai juga orang di situ.

Meja yang telah dipesan, Qaseh dan Helena cari. Mereka bernasib baik tatkala melihat Ayla bersama Puan Amena duduk di meja tersebut.

"Haip, mama tu baru nak duduk. Penat pun tak hilang lagi. Jangan ganggu mama, Ayla." Helena melarang anaknya dengan mata yang dibesarkan.

Ingatkan larangan itu berkesan kepada Ayla. Rupanya tidak. Semakin kanak-kanak itu mendekati Qaseh adalah.

"Tak apalah akak."

Rambut Ayla dikemaskan oleh Qaseh. Puan Amena dan kanak-kanak itu datang dulu daripada mereka. Mama nak pilih menu yang sedap-sedap. Itu yang datang awal bersama Ayla.

"Mama, adik noti tak hari ni?" Jemari Ayla menyentuh perut Qaseh. Dia lukiskan sesuatu di perut yang besar itu.

Hampir Qaseh hendak tergelak mendengar pertanyaan tersebut.

"Mana ada adik noti hari ni. Dia aktif sikit je. Main tendang-tendang dekat sini," ujar Qaseh lalu membawa tangan Ayla ke bahagian yang ditendang oleh si adik.

Membulat mata kanak-kanak itu sebelum menarik tangannya. Mulut yang terbuka, ditekup dengan pantas.

Puan Amena dan Helena yang melihat itu, hanya mampu tergeleng. Sudah terbiasa dengan reaksi Ayla itu. Terlebih drama!

"Adik, kakak beritahu papa yang adik tendang-tendang mama. Habislah adik nanti. Papa tu kuat membebel tau." Ayla cuba menakutkan sang adik. Dia sendiri pun sakit telinga mendengar papanya membebel.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now