Bab 18

136 3 0
                                    

Dua hari kemudian...

QASEH kacau minumannya menggunakan straw. Sedang menanti kedatangan seorang wanita.

011-251*****

- Hai Qaseh. Saya Helena.
- Boleh kita jumpa esok?
- Saya nak cakap sesuatu berkaitan dengan Affan. Urgent!

Mesej itu dibaca berkali-kali. Hati rasa tak tentu arah. Berkaitan dengan Affan? Apa dia? Dia tak pernah mengambil tahu pun tentang lelaki itu.

Mungkinkah Helena itu isteri Affan? Qaseh telan air liur yang terasa kelat itu. Alamak!

Isteri Affan nak serang dia ke? Tapi dia tak buat apa-apa dengan Affan. Hanya keluar berdua saja.

Bibir diketap rapat. Keluar berdua-duaan dengan suami orang juga adalah satu kesalahan. Dan Qaseh tak nak digelar sebagai perampas.

Dia cuba menenangkan diri. Okey, Qaseh akan terangkan apa yang sebetulnya kepada wanita itu.

"Hai, dah lama tunggu?"

Mendengar suara seseorang dan bunyi kerusi ditarik, Qaseh panggung kepala. Sekali dia menelan air liur.

Wanita di hadapannya ini berkali lebih cantik daripada dia. Dengan senyuman manis. Buatkan Qaseh rasa nak berambus dari kafe itu juga.

Bagai enggang dengan pipit.

"Erm, Qaseh kan?"

Tersentak Qaseh jadinya. Dengan pantas dia mengangguk. Malu pula sebab terleka tadi.

Mata dialihkan ke arah seorang kanak-kanak yang sedang duduk di hadapannya. Kanak-kanak yang dia nampak bersama Affan di dalam mall hari itu.

"Akak order minuman untuk kami berdua dulu, ya. Baru kita cakap fasal yang dekat WhatsApp tu."

Qaseh jatuhkan kepalanya. Dia tak sibuk pun memandangkan semua tempahan baju kurung, dia sudah siapkan. Jadi, dia ada waktu lapang sedikit.

Beberapa minit kemudian, pelayan menghantar minuman yang telah dipesan oleh Helena. Pelayan itu menunduk sebelum kembali ke bahagian dapur kafe.

Diperhatikan gelagat dua orang itu. Qaseh hanya tersenyum sebelum senyumannya mati saat mengingatkan tentang tujuan utama mereka berjumpa.

"Okey, akak rasa akak patut cerita hal sebenar sebelum keadaan jadi lebih teruk."

Helena memulakan perbicaraan mereka. Sudah serupa politik, seriusnya.

"Sebenarnya akak ni, bekas kakak ipar Affan. Dan ini anak akak dengan Ayden Iffan, abang Affan. Ayla Najilah nama dia," beritahu Helena sambil mengusap rambut Ayla. Bibir tersenyum lebar. Satu-satunya anak mereka.

Qaseh terkejut mendengar itu. Tubuhnya menjadi kaku. Dia seakan tidak percaya dengan bicara wanita itu.

Sebelum ini, dia juga tahu yang Affan mempunyai seorang abang. Affan sendiri yang beritahu. Tapi tidak pula Qaseh tahu yang lelaki itu mempunyai anak dan isteri yang sudah berpisah.

Otak Qaseh cuba menganalisis semua maklumat itu. Itu bermaksud... Affan belum berkahwin.

"Ya, Affan belum berkahwin. Dia tak pernah berkahwin sebelum ini. Dan untuk pengetahuan Qaseh, Affan tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Rapat pun tak lebih daripada seorang kawan. Qaseh perempuan pertama yang Affan layan lebih dari itu." Seakan tahu apa yang bermain di mindanya, wanita itu bersuara.

Helena tersenyum melihat Qaseh yang hanya mendiamkan diri itu. Barangkali gadis itu sedang memproses kata-katanya tadi.

Dia belum buta lagi untuk menilai kelakuan Affan itu walaupun sangat kontra dengan Ayden. Mungkin disebabkan mereka sudah lama kenal.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ