Bab 29

142 5 0
                                    

TANGAN itu dipegang dengan erat. Hati terasa berat untuk meninggalkan sang nenek dan atuk. Entah bila pula Qaseh akan dapat pulang untuk melawat kampung itu.

"Dah jangan sedih-sedih. Insya-Allah, ada masa, nenek dengan atuk akan lawat Qaseh dan Affan dekat sana," pujuk Hajah Rodziah tatkala melihat cucunya itu seakan tak mahu melepaskan pegangan tersebut.

Qaseh bila dah balik kampung, wanita itu akan berat hati untuk meninggalkan. Hajah Rodziah tahu itu salah satu sebab kenapa cucunya jarang pulang atau ikut Puan Khadijah balik. Terlalu banyak memori wanita itu di situ.

Di tempat inilah Qaseh membesar bersama kedua orangnya. Di sinilah Qaseh bermain kejar-kejar dengan sang abah. Dia masih ingat lagi.

Betapa gembiranya dia saat itu.

Bibir tersenyum nipis.

"Nenek jaga diri ya. Kalau ada nak apa-apa, boleh call Qaseh atau umi. Jangan segan nak minta apa-apa dekat kami, ya," ujar Qaseh sebelum memeluk tubuh yang sudah dimamah usia itu. Mata dipejamkan.

Masih tertanya-tanya. Berpeluang lagikah dia untuk menjejakkan kaki ke kampung itu?

Hajah Rodziah membalas pelukan tersebut.

Affan di sisi hanya tersenyum melihat adegan itu. Tahu yang Qaseh seperti tidak mahu kembali ke bandar. Dia juga sama. Suasana kampung yang terlalu tenang, membuatkan Affan ingin terus menetap di situ.

Namun hendak buat bagaimana kalau kerja di bandar sana terlalu banyak. Semuanya memerlukan kehadirannya.

Dia tersedar apabila bahu terasa ditepuk oleh seseorang. Kepala mendongak ke hadapan.

"Pandu kereta tu dengan hati-hati. Kalau mengantuk atau penat, singgah mana-mana tempat dulu. Rehatkan diri. Tak perlu paksa. Kamu tu nak jalan jauh."

Haji Yasir menyampaikan pesanan kepada cucu menantunya itu. Bibir tergaris senyuman lebar.

"Baik atuk. Ni kalau atuk dengan nenek nak pergi rumah sana, call je Affan. Insya-Allah Affan boleh datang sini untuk ambil atuk dengan nenek," bicara Affan lalu mendakap tubuh tua itu.

Haih rindu pula kepada atuk dan neneknya yang sudah lama pergi. Untung Qaseh masih mempunyai kedua-dua itu. Bahkan masih sihat lagi.

Kematian itu tidak menjemput kepada sesiapa yang sakit saja. Yang sihat juga akan pergi jika tiba masanya.

"Jaga cucu aku tu baik-baik, Affan. Aku nampak dia sayangkan sangat dekat kamu. Jangan hampakan dia. Kalau ada apa-apa, bincang elok-elok dengan Qaseh. Itu kunci setiap rumah tangga."

Kepala turun dan naik bagi membalas ujaran itu.

"Insya-Allah, Affan takkan hampakan Qaseh. Atuk doakan rumah tangga kami diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Dan doakan kami diberikan zuriat yang baik," kata Affan sebelum meleraikan pelukan.

Mereka perlu bergerak sekarang. Bimbang andai jalan sesak. Mahu waktu malam mereka tiba di rumah sana.

Qaseh berdiri di sisi Affan. Bibir mengorek senyuman lebar.

"Kami gerak dulu. Assalamualaikum."

Setelah itu, mereka masuk ke dalam perut kereta. Qaseh buka tingkap kereta lalu tangan naik melambai. Affan pula menekan hon kereta sebagai tanda pamit.

Qaseh kembali duduk dengan tenang selepas tingkap kereta ditutup. Mata jatuh merenung jari-jemari yang saling bermain.

Tak semena-mena, ada tangan kasar yang menggenggam tangannya. Nafas ditarik walaupun dada terasa sesak.

"Dah jangan sedih. Insya-Allah, ada masa kita lawat atuk dengan nenek lagi." Affan cuba memujuk sang isteri. Dari raut wajah itu, dia faham yang Qaseh rasa berat untuk meninggalkan kampung tersebut.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now