Bab 33

102 2 0
                                    

PINTU tandas dirempuh dengan kasar. Affan mencari figura seseorang bersama dada yang turun naik. Mata tajam memerhati sekeliling.

"Wo-wo, kenapa kurang ajar sangat ni bila masuk tandas awam?"

Sebatang rokok yang berada di celah bibir, dibaling ke lantai tandas lalu dipijak sehingga hilang apinya. Zip seluar ditarik ke atas. Bibir tersenyum sinis.

Taufiq tahu ada maksud kedatangan lelaki itu sehingga sanggup mencarinya di tandas.

Besar langkah Affan merapati lelaki itu. Taufiq, lelaki yang telah lama dia tidak jumpa.

Namun di setiap pertemuan mereka, pasti ada masalah lain yang lelaki itu timbulkan.

Sedetak, kolar baju Taufiq dicengkam. Merapatkan jurang di antara mereka berdua. Affan tidak pedulikan rakan-rakan Taufiq yang sudah menahan bahunya.

Taufiq menggerakkan tangan agar yang lain tidak masuk campur. Sekali lagi hujung bibirnya melengkung membentuk senyuman tajam.

"Kau rasuah pengadil tu supaya dia bagi kemenangan untuk team kau, kan?" tanya Affan dengan nada yang perlahan. Gigi diketap rapat. Amarah dalam diri sedang meluap-luap.

Dia sedar hal itu bilamana pengadil tersebut selalu berpihak kepada kumpulan Taufiq. Setiap kali ada pergaduhan yang terjadi, seseorang daripada kumpulannya yang akan dikenakan rehat selama empat minit. Walhal kumpulan lelaki itu yang mulakan dulu.

Dan paling menyakitkan hati, Taufiq diberikan sepakan gol kerana salah seorang ahli kumpulannya tercedera.

Yang jadi masalah adalah cedera itu, cedera yang dibuat-buat. Bukan salah dari kumpulan Affan pun!

"Lah sebab itu je ke kau meroyan sampai cari aku dekat sini? Weh, guys ada orang tak puas hatilah kita menang!" balas Taufiq sebelum melepaskan tawa yang kuat.

Rakan-rakannya yang lain turun ketawa. Ada yang siap memegang perut lagi.

Affan mendengus geram. Cengkaman pada kolar baju lelaki itu semakin dikuatkan. Geram dengan sikap Taufiq. Ikutkan hati, mahu saja dia pecahkan wajah lelaki itu.

Tangan Taufiq meleraikan pegangan Affan itu dengan kasar. Riak wajahnya berubah dingin seperti wajah lelaki di hadapannya itu.

Seketika kemudian, Taufiq menaikkan dua jari. Jari telunjuk dan jari hantu. Sekonyong-konyong, ada sepotong rokok yang telah menyala diletakkan pada celah jari tersebut.

Mata hanya merenung pergerakan lelaki itu. Affan masih menunggu pengakuan daripada Taufiq sendiri. Lelaki itu tidak boleh lepas tangan begitu saja.

Asap dilepaskan ke udara. "Kalau betul, apa yang kau nak buat?" Sinis nada itu berbicara kepada Affan.

Kaki Affan mara selangkah.

"Aku nak kau terus terang dekat semua orang yang kau dah rasuahkan pengadil tu."

Mata mereka saling bertemu. Taufiq yang bersandar pada dinding tandas itu, kini menghampiri Affan semula. Dia menepuk-nepuk bahu Affan. Sengaja.

Taufiq tersenyum apabila lelaki itu menepis tangannya.

"No hallah, bro."

Rakan-rakan Taufiq yang lain sudah mengerutkan wajah. Bukan mereka saja, Affan juga. Namun dia tahu, Taufiq bukan lelaki yang senang untuk dibawa berbincang. Pasti ada ulah lelaki itu lagi.

"Apalah sangat hadiah tadi tu, kan? Setakat piala, pingat tak seberapa nak emas dan hamper makanan dekat kedai dua ringgit. Tak seleralah aku."

Tak semena-mena, asap rokok dilepaskan ke sekeliling Affan. Dia masih tidak mempedulikan renungan membunuh milik lelaki itu.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now