Bab 5

166 7 0
                                    

HUJAN lebat di luar rumah, membuatkan Qaseh hanya berbaring di atas katil. Jari bergerak di atas skrin telefon. Membaca mesejnya bersama Affan.

Qaseh tak tahu kenapa lelaki itu tiba-tiba berubah. Sejak dari peristiwa tiga minggu lalu, Affan sudah tak balas mesejnya.

Nak call?

Tak, sebab dia tak suka menghubungi orang lain. Kadang dia terfikir juga. Affan marah dekat diakah? Lelaki itu tak nak diganggu?

Nak jumpa lelaki itu tapi nampak macam Qaseh yang beria sangat. Akhirnya, dia hanya menunggu tanpa tahu bila penghujung penantian itu.

Qaseh membuat keputusan turun ke bawah. Ingin memeriksa jika lampu di bahagian dapur dan ruang tamu sudah dimatikan atau belum.

Tiba di anak tangga terakhir, langkah Qaseh terhenti. Sunyinya rumah itu. Hanya kedengaran bunyi hujan di luar rumah.

Puan Khadijah tak ada di rumah. Bermalam di rumah mak saudaranya di kampung. Qaseh tak ikut sebab banyak sangat tempahan baju kurung.

Masuk ke bahagian dapur, dia meneguk air kosong. Nasib baik pukul tujuh petang tadi, dia ada buat pesanan makanan dengan Grab. Tinggal dipanaskan saja lauk itu jika dia hendak makan.

Tuk!

Qaseh mendiamkan diri sebaik mendengar bunyi itu. Gelas dibawa ke singki lalu dibasuh. Setelah selesai, dia bergerak ingin naik menuju ke biliknya semula.

Tuk!

Sekali lagi telinganya menangkap bunyi tersebut. Air liur ditelan perlahan. Jangan macam-macam. Sudahlah Qaseh seorang saja dekat rumah. Tambahan lagi hujan. Fuh, meremang bulu roma dia.

Tuk!

Ternaik bahu Qaseh. Dia memutuskan untuk melihat ke luar rumah. Manalah tahu jiran sebelah ada nak minta tolong ke?

Langsir ditarik perlahan. Kepala menjenguk sedikit melalui cermin kaca. Mata dipicingkan.

"Abang Fit?"

Kelihatan figura seorang lelaki berdiri seraya memegang payung di depan pagar rumah mereka. Di mata Qaseh, tangan lelaki itu seperti memegang sesuatu.

"Baby ke tu?"

Tudung sarung di atas sofa dicapai dengan segera. Tak lupa juga payung. Kunci yang tergantung di dinding, Qaseh ambil.

'Tapi macam mana kalau perompak?' bisik Qaseh dalam hati. Dalam masa yang sama, dia rasa curiga. Bagaimana kalau itu bukan abangnya?

Tapi pula, ada bayi di tangan lelaki itu. Tak banyak bunyi, Qaseh melangkah keluar.

"Abang Fit!" teriak Qaseh, cuba untuk melawan bunyi hujan.

Tatkala lelaki itu mengangkat wajah, Qaseh terkelu. Ya Allah, sudah basah kuyup lelaki itu. Lagi menyayat hatinya, bayi di dalam dukungan itu menangis. Mungkin terkejut mendengar bunyi hujan.

"Adik, tolong abang."

"Jom kita masuk dalam rumah dulu. Ya Allah," ucap Qaseh lalu membenarkan abangnya masuk ke dalam rumah mereka.

Beg yang dipegang oleh lelaki itu telah bertukar tangan. Mesti pakaian dalam beg tersebut sudah basah.

Pintu dikunci tatkala mereka berada di dalam rumah. Tangisan bayi itu masih tidak berhenti. Tubuh sudah berubah pucat.

"Ya sayang, ayah minta maaf. Ayah gantikan baju ya."

Syafit meletakkan bayi itu ke atas sofa. Tangannya lincah menukar pakaian bayi itu. Sempat dia letakkan minyak angin di bahagian perut. Qaseh dipandang sekilas.

"Adik, boleh tolong buatkan susu untuk Hawa? Dalam beg tu ada botol susu. Letakkan dua sudu susu je. Air pula, jangan terlalu panas dan jangan terlalu sejuk," kata Syafit. Sambil memakaikan lampin, sambil mulutnya mengarah.

Qaseh mengangguk dengan laju. Semuanya jadi tak tentu arah, lagi-lagi apabila si kecil sudah hampir hilang suara.

Beberapa minit kemudian, Qaseh keluar dengan botol susu di tangan. Disuakan ke mulut si kecil. Tak semena-mena, bibirnya tersenyum tipis. Haus betul bayi itu.

"Kasihan anak ayah ni. Ayah minta maaf ya." Rambut bayi itu diusap perlahan. Tak disedari, air mata Syafit mengalir. Dikucup dengan lama wajah si kecil.

Syafit hanya melihat figura adiknya yang berlalu ke tingkat atas. Seketika kemudian, dia tersedar sesuatu. Air liur ditelan kesat.

Dia memerhati sekeliling. Jam dinding dipandang. Sudah pukul 10 malam. Hujan lebat masih belum reda lagi.

"Nah, abang baringkan baby dekat toto ni. Selesa sikit dia nak tidur. Lepas tu, ini ada baju hoodie adik, tapi tak tahu muat tak dengan abang. Abang gunalah."

Toto dan baju hoodie diserahkan kepada lelaki itu. Tak sampai hati dia melihat bayi itu tidur di atas sofa. Bahaya pula kalau terjatuh nanti.

Beg pakaian abangnya sudah basah. Pakaian bayi saja yang masih elok. Tapi Qaseh tak tahulah, muat atau tak baju hoodie itu untuk Syafit.

"Terima kasih adik. Erm, umi mana? Dia tak marah ke abang masuk dalam rumah ni?"

Qaseh tersenyum tipis. "Tak, umi mana ada dekat sini. Dia pergi rumah mak ngah. Minggu depan nanti dia balik. Abang dengan baby tinggallah sini dulu."

Kepala dijatuhkan. Syafit meminta diri ingin menukarkan baju di tandas bahagian dapur. Sebenarnya, dia ada bilik di tingkat atas. Bersebelahan dengan bilik Qaseh. Tapi disebabkan kejadian dulu, dia sudah tak tinggal di rumah itu.

Bayi yang sedang lena itu dipandang. Comelnya, selepas menyusu terus tidur. Qaseh mengambil peluang mengucup pipi yang gebu itu. Wangi!

Bibir tersenyum lebar. Seraut wajah itu serupa sangat dengan wajah abangnya. Copy paste!

"Eee, comelnya awak ni..." Pipi gebu itu dicubit dengan perlahan. Geram Qaseh melihat anak abangnya itu.

Qaseh termenung seketika. Apa agaknya reaksi Puan Khadijah saat bertemu dengan lelaki itu? Sudah lama dia dan uminya tidak bertemu dengan Syafit.

"Adik kenapa tak tidur lagi?"

Soalan Syafit mengejutkan Qaseh. Dia bergerak ke tepi sikit. Memberikan ruang kepada lelaki itu untuk duduk.

"Adik siapkan tempahan baju kurung tadi." Tipu Qaseh, padahal dia sedang menunggu orang di sana untuk membalas mesejnya.

"Abang dah makan?"

Syafit menggeleng perlahan. Pandangan dialihkan ke arah anaknya.

Qaseh tersenyum tipis. Dia perasan dengan tubuh abangnya yang sedikit kurus setelah sekian lama tidak bertemu.

"Kalau macam tu, Qaseh pergi dapur sekejap. Panaskan lauk untuk abang."

Belum sempat dia melangkah ke ruangan dapur, lengannya dipegang. Qaseh menoleh dengan wajah yang dikerutkan.

"Terima kasih sebab sudi terima abang lagi. Abang... minta maaf sebab dah musnahkan kepercayaan adik dengan umi. Abang minta maaf," ucap Syafit dengan pilu. Kepala ditundukkan kerana tak mahu melihat wajah yang pernah dia kecewakan.

Bibir dikemamkan. Qaseh tak tahu nak balas apa. Dia bukan kecewa. Hanya terkilan sedikit. Tapi benda sudah lepas, rasa tak elok untuk diungkit kembali.

"Tak apalah abang. Mungkin ini ujian Allah untuk keluarga kita. Dia nak tengok sejauh mana tahap kesabaran kita. Insya-Allah, adik akan pujuk umi untuk terima abang semula."

Senyuman tipis dilukiskan. Harap hal itu tidak berpanjangan setelah dia memujuk Puan Khadijah.

TBC

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now