BAB 16

118 3 0
                                    

SYAFIT tidak menoleh sewaktu pintu biliknya terbuka. Mata fokus melihat Hawa yang berada di atas katil.

“Kan abang dah kata, nanti abang turun. Susahkan adik saja,” katanya tanpa mengalihkan perhatian daripada si kecil itu.

Perasan tiada balasan, Syafit mengalihkan pandangannya dengan senyuman lebar di bibir. Namun, hanya seketika sebelum dia mula menundukkan kepala.

Air liur ditelan perlahan.

Tidak menyangka Puan Khadijah turut berada di dalam bilik itu bersama Qaseh. Dia ingatkan hanya adiknya saja.

Qaseh melangkah masuk dengan gembiranya. Dia duduk di birai katil lalu bermain dengan Hawa. Mulut kanak-kanak itu terbuka luas kerana tertawa.

“Boleh umi masuk?” tanya Puan Khadijah yang sedang menatang dulang.

Kepala dijatuhkan berulang kali. Syafit mengiakan pertanyaan uminya. Masakan dia berkata tidak sedangkan rumah itu milik Puan Khadijah. Mahunya dia kena halau lagi.

Bibir mengulas senyuman lebar. Qaseh nampak abangnya takut dengan kehadiran wanita itu.

Puan Khadijah menuju ke meja kecil yang terdapat di dalam bilik itu. Dia meletakkan dulang dengan perlahan-lahan. Punggung dilabuhkan ke atas sofa.

Suasana sepi di antara mereka bertiga. Masing-masing mengarahkan mata kepada Hawa yang tersenyum itu.

“Kaki tu dah okey?”

Mendengarkan soalan itu, membuatkan Syafit tertunduk sekali lagi. Dia tidak percaya yang uminya akan berkata dengan nada yang lembut.

Nada seorang ibu yang prihatin terhadap anaknya.

Tatkala terasa lengan dicuit, Syafit mengangkat wajah. Dipandang Qaseh dengan pandangan kenapa.

Qaseh menggerakkan bibirnya ke arah Puan Khadijah sebagai isyarat kepada Syafit untuk menjawab soalan tersebut.

Syafit berdeham kecil.

“Dah... Kaki Fit dah okey sikit. Alhamdulillah,” balas Syafit dengan nada gugup yang tidak dapat disembunyikan.

Tergeleng Qaseh jadinya. Tiba-tiba saja lelaki itu tak boleh berbicara.

Puan Khadijah tersenyum memandang Syafit. Lelaki itu seperti takut dengan dia. Nafas dihela panjang.

“Fit tak nak duduk sebelah umi?” Ruang di sebelah, ditepuk perlahan. Meminta Syafit untuk duduk di sebelahnya.

Takut-takut dia menatap sang umi.

“Bo... Boleh ke?”

Kepala yang tak gatal digaru tatkala wanita itu tertawa kecil. Qaseh pun tertawa juga. Ada yang salah ke dengan bicaranya?

“Mestilah boleh. Fit kan anak umi. Meh sini, umi ada masakkan makanan kesukaan Fit,” ujar Puan Khadijah dengan senyuman yang setia menapak di bibir.

Syafit rasa nak tampar muka sendiri. Sebab dia masih tak percaya. Ini mimpi atau realiti?

Tak semena-mena, matanya berkaca-kaca. Wanita itu sudah memaafkan dia? Sudah menganggapnya sebagai anak lagi? Dan masih ingat dengan makanan kegemarannya?

“U... mi dah... tak ma... rahkan Fit lagi?” soal Syafit tanpa menyembunyikan perasaan terharunya. Kalau betul, terima kasih ya Allah.

Melihat wanita yang dia sayangi itu mengangguk, dengan segera Syafit berdiri. Berjalan dengan berhati-hati, merapati sang ibu.

Duduk di sebelah Puan Khadijah, Syafit tak dapat halang air mata lelakinya daripada mengalir. Hati rasa terharu.

Allah SWT telah mendengar suara hatinya.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now