Bab 9

127 3 0
                                    

POKOK bunga yang berada di taman mini itu, Qaseh siram. Dia tersenyum melihat pokok bunga uminya yang mekar. Taman mini itu terletak di halaman rumah mereka.

Arwah abah yang buatkan untuk umi. Kata arwah abahnya, taman itu tersimpan dengan kenangan bahagia dan duka. Penuh dengan senyuman dan tangisan.

Di mana arwah abah akan membantu umi untuk menanam pokok-pokok bunga yang cantik. Semestinya umi bahagia kerana arwah abah menyokong minat umi itu. Dan taman mini itu pernah terbakar. Ada orang yang membuang puntung rokok. Masa itu umi sedih sangat tapi tak nangis.

Umi duduk seorang-seorang dalam bilik. Arwah abah pujuk, barulah keluar air mata umi. Arwah abah cakap, nanti dia bina taman mini yang baru.

‘Abah, doakan Qaseh dapat lelaki macam abah ya. Nak setia macam abah. Dan kacak macam abah juga.’

Pin! Pin!

Qaseh mengalihkan pandangan ke arah bunyi tersebut. Dahi dikerutkan. Rasanya dia tak ada pesan apa-apa barang. Nak tengok aplikasi Shopee pun malas, inikan nak buat pesanan.

Paip air dimatikan. Kaki melangkah mendekati pagar.

“Assalamualaikum, ini rumah Cik Qaseh?” soal lelaki yang masih berada di atas motor. Terdapat seorang wanita juga yang menggendong sesuatu.

“Waalaikumussalam, saya Qaseh. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?”

Kelihatan pasangan tersebut berpandangan sesama mereka. Qaseh tersentak apabila wanita itu membuka kain batik yang terletak di bahagian bahu.

“Hawa?”

Membulat mata Qaseh melihat anak buahnya yang sedang lena itu.

Mata naik menatap pasangan itu untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan. Adakah betul itu Hawa, anak Syafit?

“Saya kawan Syafit. Yang ini, isteri saya. Syafit minta kami serahkan anak dia kepada Cik Qaseh. Sebab itu kami ada dekat sini.”

Wanita itu turun dari motor lalu menghampiri Qaseh. Dia tersenyum sebelum menyerahkan bayi tersebut.

Dengan penuh berhati-hati Qaseh menggendong si kecil. Tapi fikirannya masih bercelaru. Kenapa Syafit berikan Hawa kepada dia?

“Ada apa-apa ke yang jadi dekat Abang Fit? Kenapa dia...?”

“Qaseh, siapa yang datang tu? Bawa dia orang masuk. Panas dekat luar tu.”

Qaseh menoleh ke belakang. Kelihatan umi yang sedang memandang ke arah mereka. Air liur ditelan dengan lambat.

Hawa di dalam gendongannya menggeliat kecil.

Shuuu, Hawa jangan risau ya. Mak su ada.”

Pasangan tersebut dipersilakan masuk. Harap uminya tidak marah dengan kedatangan kawan Syafit itu.

Duduk di ruang tamu dan menerima pandangan Puan Khadijah yang seperti meminta penjelasan itu, buatkan Qaseh menggigil perlahan. Anak mata wanita itu tidak lari dari menatap bayi kecil di dalam dukungannya.

Puan Khadijah tersenyum ke arah pasangan yang hanya mendiamkan diri itu.

“Boleh saya tahu kamu berdua ni siapa ya? Dan bayi itu...”

Sengaja dia menggantungkan bicaranya. Hairan juga dia bayi siapa yang berada di dalam dukungan Qaseh itu. Takkanlah anak perempuannya itu melakukan hal yang tidak senonoh pula? Astagfirullah-alazim.

“Macam ni puan. Saya Irshad, kawan Syafit. Dan ini isteri saya, Puteri.”

Lelaki yang bernama Irshad itu kelihatan sedikit gugup tatkala berhadapan dengan Puan Khadijah. Qaseh rasa aura uminya terlalu menakutkan. Lagi-lagi jika mendengarkan nama Syafit.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now