Gambit menilik wajah Mona yang muram tanpa senyuman. Tidak pernah Mona berkelakuan begini sepanjang dia mengenali wanita ini. Malah ketika Lord Asdtal mangkat, Mona kelihatan seperti biasa walaupun sekali-sekala tersedu. Ternyata, Muda membawa pengaruh yang besar dalam hidup Mona walaupun secara zahirnya dia kelihatan garang tatkala bersama Muda.

"Jangan risau Mona. Dia baik-baik sahaja. Saga sendiri cakap, barangkali badan Muda sedang cuba membiasakan kuasa yang baru diperolehnya. Sekarang kau makanlah dahulu." pujuk Gambit lagi tanpa mengalah.

Mona kekal muram. Dia berkalih memandang luar tingkap. "Aku tak boleh bayangkan kalau Muda cedera parah ketika perperangan berlaku. Atau lebih teruk, dia pergi tinggalkan aku.."

"Mona!" potong Gambit dengan tegas. Mona tersentak.

"Aku tahu kau sayangkan Muda lebih dari kami. Tapi kau kena ingat, ada orang yang sayangkan kau lebih dari dirinya sendiri. Kau tak boleh terus macam ni. Kesihatan kau perlu dijaga. Kita ada misi besar, Mona. Jika ujian sebegini kau sudah terduduk, apatah lagi ujian yang lebih besar nanti." luah Gambit.

"Sementara ini, kita biarkan Muda berehat. Aku akan letak pengawal untuk mengelak sebarang perkara buruk berlaku. Dan kau, Mona, bangkit. Bila Muda sedar, dia pasti lebih bersedia untuk peperangan ini."

Gambit menyentuh dagu Mona supaya memandangnya.

"Aku minta maaf sebab tertinggi suara kepada kau. Aku terpaksa, aku tak nak kau terus hanyut dengan perasaan yang boleh mengancam kesihatan kau. Bangkit Mona. Aku tahu kau kuat, kau bukan wanita lemah."

Mona terus menerus diam sambil membiarkan Gambit mengelus jemarinya bersama kata-kata semangat sebelum sepi daripada berbicara. Gambit menyuruhnya mendongak. Dia memandang bibir lelaki itu menuturkan perkataan. Tapi, telinganya tidak dapat menangkap butir percakapan Gambit seiring pandangannya bertukar kabur.

Riak Gambit berkerut memandang Mona yang kian lemah sebelum jatuh ke dalam pelukannya. Dia langsung mendukung Mona yang semakin tidak berdaya menuju luar bilik memanggil Healer yang bertugas di rumah sakit kem. Beberapa pembantu bingkas mendekati lalu memasuki sebuah bilik rawatan. Perkara yang dirisaukan oleh Gambit telah berlaku. Inilah akibat jika tidak makan selama dua hari.

"Aku sayang kau, Mona. Tolong jangan buat macam ini dekat aku."

○○○

Roar bersila sambil melirik kepada Muda yang sedang mengawal aliran kuasanya kepada sebiji telur agar tidak berlebihan. Dia harus memasak telur ini dengan auranya. Namun, usahanya menemui kegagalan. Setiap kali mencuba, telur itu akan pecah.

"Kuasa ini ibarat aliran sungai. Jangan menongkah arus, biarkan dia mengalir bebas dalam tubuh kau. Tapi jika terlampau deras, kau akan hanyut." pesan Roar.

Muda mengangguk. Dia menghela nafas lalu memegang sebiji telur. Ketika itu, dia dapat merasa auranya meronta-ronta ingin keluar sehingga dia hilang kawalan dan telur tersebut pecah. Dia melepas keluhan berat.

"Kau kena tenangkan fikiran. Jangan biarkan emosi merajai pemikiran." ujar Roar lagi.

Tapi Muda seakan bosan dengan perguruannya. Semua cara yang dilakukannya tidak menjadi. Sudah lama dia tersangkut di dalam latihan yang sama sebelum boleh melangkah ke latihan seterusnya. Dia menghampiri anak sungai yang jernih. Anak-anak ikan yang berenang jelas kelihatan pada dasar sungai. Kadang-kala anak ikan tersebut mengalami kesukaran ketika cuba melawan arus.

"Melawan arus." bisik Muda sambil memikir sesuatu. "Iya!" riaknya seperti tersedar akan kesilapannya.

Muda bingkas berlari menuju Roar yang masih bersila bersama mata terpejam.

"Aku dah tahu macam mana." ujarnya pada Roar.

Roar membuka sebelah mata. "Tunjukkan kepada aku." Pintanya.

Muda berdiri tegak sambil menghela nafas sedalam mungkin. Dengan perlahan, deruan nafas dilepas melalui mulutnya. Dia memejam mata sambil mengalir aura kuasanya. Dahinya berkerut menahas asakan kuasa yang terus menerus ingin menerjah keluar. Dia mula membuka langkah bertarung seni warisan turun temurun bangsawan Malagemalai. Tangan serta kakinya lincah bergerak dengan mata terpejam seperti sedang menyebatikan diri dengan aura kuasanya yang kian memancar daripada segenap tubuh. Geraknya semakin lincah membuka satu persatu langkah persis pahlawan dan ditamatkan dengan satu tumbukan pada tanah.

Roar sekadar memandang.

Muda menegakkan badan sebelum berlalu mengambil sebiji telur. Telapak tangan Muda menggenggam erat telur.

"Seperti yang kau cakap. Kuasa ibarat aliran sungai yang mengalir. Tadi aku baru tersedar yang aku terlampau ingin menyelesaikan latihan ini tanpa memikirkan apa sebab kau suruh masak telur dengan aura aku sendiri."

"Jangan menongkah arus, biarkan ia mengalir bebas. Di sini aku faham yang sebenarnya aku perlu belajar mengawal terdahulu kuasa ini sebelum menggunakannya."

Muda membuka telapak tangan dan melempar telur pada pokok berhampiran. Telur tersebut tidak pecah seperti biasa, ianya sekadar retak. Roar tersenyum. Matlamat latihan ini adalah untuk menguji pemikiran Muda, ternyata remaja ini suka membuat keputusan terburu tanpa memikir kesan yang berlaku. Tapi, Muda telah sedar dan menamatkan latihan pertama dengan baik.

"Kau lupa sesuatu. Jangan berlebihan gunakan kuasa itu, ianya mengundang bahaya." celah Roar. Muda hanya menurut kata-kata penjaganya.

"Bagus. Mari kita bergerak ke latihan seterusnya." ujar Roar sebelum bangkit berdiri.

"Baik!" Balas Muda bersemangat.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now