bab 19

167 20 2
                                    

Di dalam magis pelindung hemi-sfera ungu di hujung kem pertahanan. Molot yang tidak berbaju, ralit melancar serangan magis aura ungu ke udara mengenai sfera-sfera hitam, sebelum melancarkan serangan api ungu kepada puluhan patung batu yang pegun di atas tanah sehingga lebur separuh. Dia kemudiannya berlari laju seraya menyilang dua lengan lalu dilibas. Beberapa patung batu yang masih elok langsung terbelah dua dek terkena serangan Molot.

Molot menerpa laju ke arah patung yang tinggal separuh. Dengan tangan bersalut aura ungu, dia menumbuk patung- patung yang menghalang laluannya menjadi batuan kecil. Dia memecut merapati dinding pelindung sehingga menapak beberapa langkah dipermukaan magis pelindung dan melompat balik kuang lalu mendarat.

Molot membuka kekuda. Bulatan magis bersaiz besar muncul pada bawah tapak kaki. Dia menepuk tapak tangan kanan di atas tanah. Serentak itu, terhasil gelombang kuasa setinggi tiga meter melalui permukaan tanah dan patung-patung batu meletup menjadi debu tatkala digempur gelombang kuasa tersebut.

Keadaan sekeliling dipenuhi kepulan asap dan debu. Molot menegakkan badan yang dibasahi keringat. Dia membaca sesuatu, serentak itu pelindung berwarna ungu lesap bersama sapaan angin waktu petang yang meniup pergi kepulan debu.

Cuaca agak redup ketika itu dek pancaran matahari lewat petang dihadang dengan awan tebal hitam yang perlahan-lahan bergerak bersama tiupan angin dan pancaran cahaya kilat yang terlindung di sebalik awan.

"Dah tiga hari hujan," omel Molot sambil menghampiri pohon-pohon rendang.

Beginilah rutin hariannya selepas hampir sebulan peperangan berlalu. Berlatih bersendirian atau bersama Caki, Jakal dan Ayu. Pasukan ini telah kehilangan sebilangan besar askar ketika perperangan menentang Askar Maut. Lebih kurang tiga ribu nyawa askar tergadai ketika berdiri mempertahankan kem ini.

Molot mengelap peluh yang mula tersejat dek sapaan angin sejuk.

Tapi, Mona dan Gambit boleh menghela nafas lega setelah ramai penduduk dari wilayah barat dan kejiranan sanggup mengikut panji mereka. Setelah hampir sebulan berlalu, pasukan ini sudah berjaya mengumpul sebilangan besar askar baru yang perlu dilatih dan diasah sebelum menggempur Raja Sirius kelak.

Selain daripada menajamkan skil askar, dia dan orang-orang penting juga sentiasa berlatih bersama dan mula menggunakan gerakan magis duo yang lebih berkesan ketika bertempur dengan musuh yang jauh lebih kuat.

Pancaran cahaya kilat berserta dentuman guruh membuatkan Molot tersentak. Dia mendongak, awan tebal mula berarak perlahan di atasnya.

"Alamak, janganlah hujan dulu." ujar Molot sambil menyarung baju lengan pendek berwarna coklat. Setelah memasukkan botol air, tuala kecil dan jaket yang digunakan ketika berkawal di dalam beg sandang dan mengikat tali beg, Molot langsung memecut laju meninggalkan kawasan tersebut.

Di kawasan lapang yang berdekatan dengan rumah penginapan askar, Caki dan Muda saling berbalas tumbukan dan serangan magis. Muda melempar enam pancaran kilat yang meluru laju di dalam bentuk bulatan menuju sasaran. Caki membuka kekuda lalu menghasilkan pelindung hemi-sfera hitam. Serangan kilat meletup kuat tatkala mengenai permukaan pelindung.

Caki tertolak sedikit dek impakan magis letupan dari Muda. Dia tersenyum di sebalik hemi-sfera tersebut. Ajaran Molot ternyata paling berguna untuk bertempur. Pelindung dilesapkan seraya Caki melompat dan melempar sepuluh bilah keris hitam bersaiz besar.

Pedang pusaka diseru. Muda meluru laju ke arah sepuluh bilah keris besar yang bertentangannya. Caki menggerakkan telapak tangan kanan, serentak itu keris hitam sepanjang setengah meter terhasil dan digenggam erat, kemudian dilibas-libas menetak angin. Dia mendongak seraya menolak badannya menuju Muda bersama sepuluh keris besar dihadapan yang tinggal tiga.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now