bab 16

141 20 0
                                    

CAKI dan Dara yang jauh di belakang medan perang dapat merasai sisa gegaran dan sapaan angin kuat dek pertembungan dua manusia dihadapan sana. Caki tidak menghiraukan. Terus-menerus mara dengan gerakan lincah menumpaskan kelompok Askar Maut yang menyerang.

Keris hitam miliknya yang mampu bertukar saiz menjadi kecil dan besar sesuka hati diguna dengan baik. Dengan pantas Caki menusuk bilah keris ke perut askar. Dari dalam, bilahnya membesar. Memotong dua badan askar dari dalam. Darah merah merecik ke merata kawasan. Dia berpusing dan melompat, seiring melakukan tekniknya berulang kali. Dara hampir termuntah. Loya melihat darah yang memancut dan cebisan organ dalaman musuh bersepah di tanah.

"Kepala hotak ah." Dara bingkas berlalu kepada kakaknya yang sibuk menentang gerombolan musuh secara berseorangan.

Ayu menghayun mata pedang katana. Seperti halilintar ia menuju leher. Lalu, kepala musuh bercerai dari badan. Kemudian mara kepada mangsa seterusnya dan begitulah seterusnya sehingga darah merah mengotor seraut wajah dan tubuh.

Aroma darah semerbak dari pelbagai arah sehingga merapatkan saluran pernafasan. Jeritan, jerkahan dan lolongan sakit jelas kedengaran di cuping telinga. Dara mula pening dengan pemandangan yang disajikan. Kalau tahu sebegini teruk situasi peperangan, dia tak mahu ikut berperang. Dia lebih rela dikurung bersama Muda.

"Dara!"

Dara tersentak. Desiran angin menghampirinya dengan pantas. Dia berpusing, secara automatik menegakkan katana. Menahan libasan pedang dari mengenai badannya. Namun, tubuh kecilnya tertolak ke belakang kerana tidak bersedia.

Askar di hadapannya lengkap dengan perisai perak serta topeng besi yang menutupi muka. Musuh melangkah setapak. Kemudian, meluru bersama libasan pedang yang berjaya ditahan oleh Dara dalam kedudukan kurang stabil. Askar tersebut menarik pedang sebelum menyerang secara bertali arus.

Muka Dara berkerut menahan serangan-serangan yang agak sukar untuknya. Namun, dengan sedaya upaya dia cuba melawan balik. Walaupun dia tahu bahawa serangannya dapat dikilas dengan mudah.

Dengan satu libasan kuat dari musuh, pedang di genggaman Dara terlepas. Berputar di udara dan jatuh tercacak agak jauh. Dia yang leka memandang pedangnya, ditujah dengan tapak kaki musuh. Dara jatuh terlentang di atas tanah sambil menahan sakit. Serentak itu, mata pedang dihala hampir dengan kulit lehernya. Jika dia bergerak sedikit sahaja pasti luka akan terhasil.

Dada Dara berombak kencang. Matanya memincing topeng muka askar yang berdiri melihatnya. Perasaan takut mula meresap jiwa. Membuatnya terketar-ketar.

"Kenapa? Takut? Hahaha!"

Dara terbuntang. Dia pasti itu adalah suara askar di hadapannya. Tapi, itu tidak penting. Yang penting sekarang ialah bagaimana mahu mengelak daripada mata pedang musuh yang mampu merobek nyawanya bila-bila masa sahaja.

Dalam keadaan genting itu, Ayu menerjah dari sisi. Menolak badan askar sehingga mereka jatuh berguling. Sebagai kakak, pantang baginya melihat Dara disakiti. Dara yang agak terkejut dengan tindakan Ayu bangkit mengesot ke pokok berhampiran dan bangun perlahan-lahan.

'Ktang!!'

Tahu-tahu sahaja mereka berdua sudah bangun dan saling menyerang sesama mereka. Libasan pedang Ayu ditepis. Musuh menjarakkan diri. Ayu bingkas melompat, menjunam mata pedangnya kepada musuh dengan laju. Musuh sempat menolak badan ke kiri. Serangan sekadar membelah angin.

Ayu di dalam keadaan membongkok sempat menoleh kepada musuh yang mengambil peluang menghayun pedang kepadanya. Refleksinya pantas menolak tubuh ke hadapan, berguling di atas tanah beberapa kali dan pantas bangkit semula.

Musuh tidak memberi ruang untuk berehat lalu mara dan menyerang. Ayu dengan tenang bertahan, menangkis setiap cubaan dan serangan yang membunuh. Mereka melompat sambil melibas pedang. Sesekali magis dilancar. Ayu dan askar bertembung dengan libasan-libasan padu. Untuk seketika mereka bertarung sebelum berhenti bersama bahu naik turun dengan laju.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now