bab 4

243 30 20
                                    

Kota Lycans, Wilayah Selatan

CAKI berlari-lari di celahan manusia yang bersesakan di pasar utama kota yang membekalkan segala jenis barang harian. Sepasang matanya melilau. Namun, agak sukar baginya mencari satu individu di kalangan ratusan manusia yang pelbagai ragam.

Suara peniaga-peniaga kedengaran melaung sambil mempromosi barang jualan dengan pelbagai kata manis. Si pembeli pula ada yang cuba tawar-menawar. Ditambah suara rengekan anak kecil dan bentakan yang berkecamuk, membuatkan fikiran Caki terasa serabut. Lariannya terhenti di sebelah pedagang yang menjual pelbagai bentuk cincin.

"Apa yang buru-buru itu cu?"

Caki menoleh kepada seorang lelaki tua berpakaian serba hitam yang duduk tenang di sebuah kerusi malas. Mata lelaki tua itu redup memandang Caki bersama ukiran senyuman yang mendamaikan.

"Cari kawan cu ya?"

Caki mengangguk walaupun berasa hairan. Manakala, lelaki tua itu memejamkan mata. Dahinya berkerut seperti sedang melihat sesuatu yang buruk.

"Dia... lelaki gagah. Terlalu banyak kisah lampau sadis yang pernah berlaku kepadanya."

Caki memberi pandangan hairan kepada lelaki tua itu.

"Atuk cakap pasal Molot eh?" soalnya.

Lelaki tua itu berpaling memandang Caki dengan sayu.

"Itu nama anak muda itu? Sungguh tabah hatinya."

"Err... kalau atuk cakap pasal lelaki rambut kerinting, dialah tu."

Lelaki tua itu mengangguk. Wajah Caki terpancar sinar harapan.

"Haa. Atuk tahu dia dekat mana?"

Namun, riak Caki bertukar hampa setelah menerima gelengan kecil. Dia mengeluh panjang dan menyambung langkah dengan malas. Sesekali batuan kecil disepak perlahan.

Lelaki tua itu tersenyum sinis memandang Caki. Tubuhnya beransur berdiri sambil bertukar menjadi lelaki muda. Tangannya menggapai sesuatu lalu menaruh topi fedora hitam yang menutupi separuh wajahnya. Selajur itu dia mula mengatur langkah ke dalam lautan manusia.

SATU nafas berat dilepaskan Caki ketika berhenti di sebuah jambatan. Dia bersandar pada penghadang sambil mendongak memandang kepulan awan. Memainkan semula memori sebelum ini.

Setelah semalaman mereka berempat berehat di kampung Jorga. Perjalanan diteruskan semula menuju Kota Lycans. Mereka tiba setelah dua hari berjalan kaki dan menumpang sesiapa yang sudi menghulur bantuan bagi melepasi sempadan wilayah Emas-Selatan. Jika menunggang haiwan lebih cepat, tapi kos yang ditanggung akan bertambah. Lagipun, lebih banyak kelebihan berjalan kaki bagi pengembara seperti mereka.

"Caki!"

Caki yang sedang menyedut air oren, menoleh. Ayu dan Dara sedang berlari anak menghampiri jambatan.

"Ayu. Kau nampak Molot?" soal Caki.

"Tak. Aku pun tengah cari dia juga ni," jawab Ayu sambil melilau keramaian manusia yang bersesakan.

"Jomlah cari. Kau berdua cari belah situ. Aku sana. Lepas setengah jam kita kumpul balik dekat jambatan ini." Cadangan Caki dipersetujui, lalu mereka berpisah memulakan pencarian.

Caki kembali mencari seorang diri. Mulutnya menyedut air berkarbonat perisa oren di dalam botol kaca sambil mengerutu tentang Molot yang menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Ayu dan Dara berjalan di tengah-tengah kesesakan sambil terdongak-dongak. Begitu juga Dara. Namun, dia lebih gemar memandang lelaki-lelaki tampan yang seolah bertugas menarik hati pelanggan di hadapan gerai. Mukanya berona merah tatkala senyuman yang diberikan dibalas seorang lelaki yang elok paras rupa.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now