bab 8

154 25 3
                                    

MEREKA bertiga bertemu di bilik perjumpaan yang suram. Hanya diterangi beberapa glob cahaya di dinding yang seperti segan untuk hidup. Andrew di sebelah kiri Valdire, mengikat rambutnya menjadi kemas. Manakala seorang lelaki tua di belah kanan sekadar tersenyum penuh rahsia di meja panjang itu.

"Ilmuwan Hatta. Aku perlukan askar yang lebih kuat." Valdire merenung garis kedutan pada wajah lelaki yang beriak sinis.

Ilmuwan Hatta. Seorang pakar magis yang terkenal. Ketika zaman mudanya, beliau pernah meredah kesejukan melampau di Gunung Rao demi menuntut ilmu dengan Ilmuwan Zain. Sepanjang menjadi anak murid Ilmuwan Zain, dia sering digembar-gembur menjadi perintis lelaki itu kerana kemampuannya sama seperti gurunya masih muda. Namun, segalanya berubah hanya kerana hawa nafsu untuk menguasai kedudukan lebih tinggi. Ilmuwan Hatta sanggup menyertai pihak Raja Sirius setelah dikelabukan dengan pangkat yang tinggi dan dihormati.

"Macam mana operasi pembersihan pemberontak?" soal Ilmuwan Hatta.

"Kebanyakan askar aku berjaya menggempur puak pemberontak di kampung-kampung wilayah Selatan. Aku yakin tiada lagi pemberontak yang akan berani menentang lagi. Tapi, pasukan aku kalah di tangan bangsat-bangsat itu! Kini, mereka sudah bergabung. Aku pasti mereka akan mengumpul kekuatan penuh sebelum menyerang Kapital Diraja. Sebab itu aku mahu askar yang lebih kuat!"

Semalam, Maliq dan Frouq yang berjisim bayang pulang kepadanya dalam keadaan cedera parah, Turak pula menemui ajal. Hampir semua askarnya di barat tumpas dalam pertempuran selama empat jam itu.

"Patutlah Mergastua tewas dengan mereka. Hahaha anak muda. Semangat masih membara." Ilmuwan Hatta tertawa kecil.

Tidak semena, Vardile menumbuk meja. Lantas mengejutkan dua susuk di sebelahnya. Dia kemudian memandang tepat anak mata Andrew.

"Kau! cari saki baki askar yang ada, bawa ke mari dan rawat, sebulan lagi kau perangi gabungan sampah itu!" arahnya tegas.

Andrew menunduk, menurut segala arahan yang diberi.

"Sebelum itu, kau ambil ni. Kau pasti akan suka dengan pemberian aku." Ilmuwan Hatta menyerahkan gelang biji kayu berwarna ungu gelap kepada Andrew.

Pemberian Ilmuwan Hatta disambut lalu disarung pada pergelangan tangan kanan. Ketika itu, dia dapat merasa aliran magis yang semakin tersebar ke seluruh badan. Keadaannya seperti dilahirkan semula dengan kekuatan yang lebih kuat.

"Aku takkan kecewakan tuan." Andrew menghaibkan diri bersama percikan kilat.

Vardile melepas nafas berat sebelum bangkit menuju pintu bilik. Tombol dipulas sebelum terhenti dek panggilan daripada Ilmuwan Hatta. Dia menoleh kepada lelaki separuh abad itu.

"Ingat, jangan sampai dua Batu Zuan kau hilang. Itu adalah kekuatan kita untuk memerangi lawan.." Ilmuwan Hatta mengangkat tangan, menghalang Vardile dari berkata-kata.

"Pasal askar itu, kau tak perlu risau. Bantuan teknologi akan tiba tidak lama lagi. Ketika itu, kau pula yang akan memijak mereka seperti semut," tuturnya seraya bertukar menjadi asap sebelum perlahan-lahan hilang ditiup angin.

Vardile mendengus kasar seraya menarik pintu dan keluar dari bilik tersebut.

'Kau orang memang cari maut!' teriaknya di dalam hati.

Istana Langit, Kota Awan

"Attention!"

Keriuhan di sebuah meja panjang yang dihuni oleh beberapa penghuni, langsung terdiam dan menoleh kepada lelaki tua berjubah merah yang bersuara lantang dari kerusi hadapan. Di belakangnya, tergantung lambang 'Y' bersaiz besar dan berkilat keemasan pada dinding. Setelah yakin semua penghuni meja senyap daripada berkata-kata, dia menarik nafas.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now