bab 37

124 13 4
                                    

Andrew bingkas bangun sambil memincing tajam. Dia mula mengatur langkah tapi semak tersebut berhenti bergoyang. Seperti sedang dipermainkan, semak lain pula bergerak. Andrew masih tenang, langkahnya bertukar arah dan berhenti di hadapan rimbunan semak yang berhenti bergoyang. Riaknya berubah menyampah.

Sekelip mata, seekor haiwan bersaiz arnab melompat keluar lalu menerkam Andrew yang sudah leka. Andrew tidak sempat berbuat apa melainkan menadah terkaman haiwan tersebut.

"Cilaka kau Orenx!" jerkah Andrew ketika belakang badannya menghempas tanah dek haiwan bernama Orenx.

Andrew mendesis sakit sambil cuba untuk bangun. Ketika itu juga kedengaran derapan kaki menuju kepada Andrew, dia berpaling.

"Comelnya," komen Tyara ketika menghampiri Andrew yang terbaring. Di atas badan Andrew terdapat seekor binatang seperti arnab cuma berkaki agak panjang, telinga pendek dan runcing, seluruh badannya berwarna oren kecuali tompok hitam di bahagian mata dan ekornya berbentuk bulat.

"Masa kecil memang comel. Nanti dah besar, dialah pemangsa," balas Andrew seraya bangun dan menghulurkan Orenx kepada Tyara yang ingin benar untuk melihatnya.

"Bukan kau tidur ke tadi?" soalnya lagi.

Tyara yang ralit menggosok perut Orenx, mendongak. "Aah, tapi terjaga masa awak bangun nak periksa semak," jawabnya.

Andrew hanya mengangguk sambil menepuk belakang seluar yang dipenuhi debu dan rumput. Dia melihat Tyara membelai serta menggosok badan Orenx sehingga berguling manja binatang oren itu di atas tanah. Suasana sekeliling juga sudah senyap daripada bunyian beast. Ianya sangat sunyi sehinggakan hanya kedengaran gelak tawa dan dengkuran manja Orenx yang dikendong Tyara. Bahkan hilaian cengkerik dan unggas juga tidak lag melatari keadaan. Perasaan Andrew kuat mengatakan ada sesuatu yang kurang enak sedang berlegar berhampiran.

Keadaan gelap menyukarkannya untuk melihat lebih jauh. Pandangannya agak terbatas dek kehitaman malam yang terlalu kelam. Andrew kembali memandang Tyara. Dua mahluk ini kelihatan serasi bersama. Dua-dua comel dan sedap mata memandang.

Groahhh!!

Suara jerkahan daripada seekor haiwan yang turut berwarna oren menarik perhatian Andrew untuk berpaling. Matanya terbuntang melihat Orenx bersaiz dewasa yang jauh lebih besar dari manusia sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Anak mata merahnya menikam mereka berdua, atau lebih tepat ke arah Tyara yang sedang merangkul Orenx kecil di tangan. Barangkali itu adalah anaknya.

Groaahh!!

Sekali lagi Orenx dewasa menjerkah sebelum bersedia untuk menerkam manusia yang memeluk anaknya. Orenx kecil pula hanya memandang Orenx dewasa tanpa mahu turun dari Tyara.

"Lepaskan binatang tu, Tyara!" jerit Andrew seraya menarik tangan Tyara untuk melarikan diri.

Orenx tidak akan mengejar sasarannya setelah dapat apa yang diingini melainkan sasaran tersebut adalah juadah untuk mengisi perut. Tyara sempat meleraikan rangkulan terhadap haiwan tersebut dan mengikut larian Andrew. Tapi Orenx kecil yang tadinya terduduk di tanah terus berlari membuntuti Tyara. Barangkali Orenx kecil mahu bermain lagi. Tapi, itu membuatkan Orenx dewasa yang berada di belakang turut mengejar anaknya bersama deraman kasar.

"Sial," keluh Andrew sambil menghampiri khemah. Cuma Algojo yang boleh bantu mereka. Tapi bayang Algojo pula tiada di tapak unggun api atau khemah. Andrew tercari-cari di mana lelaki yang sentiasa berpakaian serba hitam sebelum berpaling semula menghadap dua Orenx semakin menghampiri.

Dalam kekalutan itu, Algojo muncul di hadapan Orenx kecil lalu merangkulnya. Dia sempat menayang haiwan kecil tersebut kepada Orenx dewasa sebelum berlari laju menuju hutan. Orenx dewasa bingkas menukar arah larian kepada manusia yang sedang membawa lari anaknya. Bahu Andrew dan Tyara naik turun agak laju seiring bunyi jerkahan Orenx kian sayup kedengaran di sebalik pepohon hutan. Keadaan sekeliling kembali hening, hanya kedengaran deruan nafas kencang daripada dua manusia yang berdiri pegun secara statik membelakangkan unggun api.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now