bab 17

138 19 0
                                    

MUDA terlentang di atas katil bersaiz king. Merenung siling tinggi yang tidak tergapai tangannya. Kini, dia terkurung di dalam sebuah ruangan empat segi sama tanpa pintu mahupun tingkap. Sekelilingnya, cuma dinding merah tua yang kusam dan beberapa perabot lama serta langsir polka dot yang tidak diketahui apa fungsinya tergantung.

Muda menukar posisi mengiring ke kiri. Baru beberapa ketika kebosanan melanda diri. Sekali tubuh di pusing ke kanan. Menghadap dinding. Terkedip-kedip kelopak matanya merenung permukaan cat merah yang bertompok mengelupas.

"Kau tak bosan ke dinding? Duduk diam-diam, lepas tu tak buat apa. Kalau aku dah jadi gila." Wajahnya seperti berharap dinding kusam itu membalas.

"Setiap kali perang kak Mona mesti sisihkan aku. Cuma dia yang berhak menentukan kata putus. Kalau tidak, maka tidaklah yang perlu aku terima. Haih bosan betullah macam ni." Muda kembali terlentang. Mengeluh untuk kesekian kali

'Sedikit masa sahaja lagi, kau akan dapat bertempur bersama mereka yang lain,'

Muda lekas bangun tatkala suara bisikan memenuhi ruangan tersebut.

"Siapa tu?" Matanya melilau. Dia melompat turun dari katil.

'Aku adalah jiwa yang terkunci di dalam badan kau.'

"Haa?" Muda tercengang. Berpusing satu tempat mencari punca suara.

'Tapi. Sebelum pergi berperang, aku perlu menguji sama ada kau sudah layak atau belum.'

"Kau nak uji apa? Bagilah! Aku tak takut!" jerkah Muda. Pedang pusaka muncul di genggaman kiri. Bersiaga sambil melangkah mengelilingi pelusuk bilik.

'Kau berani. Sama macam keturunan kau.'

Muda berpusing sambil melibas jitu pedangnya. Serangan kilat berbentuk sabit sekadar membelah angin lalu menghentam dinding yang meninggalkan belahan besar.

'Licik. Tapi lambat.'

Muda tersengih. Tapi, hatinya mendidih dikutuk oleh suara tersebut.

"Kau tunjukkan rupa kau. Kita lawan depan-depan," cabarnya tanpa berfikir panjang.

'Aku risau kau terkejut. Kekuatan kau belum tentu mampu menumpaskan aku,'

Muda ketawa besar seketika. Semakin mengelegak dirinya setelah direndahkan sebegitu rupa. Dia pantang dicabar atau tercabar.

"Belum cuba belum tahu. Jangan bongkak sangat." Suaranya tertahan-tahan dengan gelodak amarah yang menguasai.

Tidak jauh daripada Muda, muncul bulatan ungu florosent bersaiz besar di udara bersama pancaran cahaya yang menyilaukan. Di sebalik silauan cahaya sesusuk tubuh melompat keluar.

Muda yang bersiaga sedari tadi memincing mata ke arah individu misteri tersebut. Bersiaga akan sebarang bentuk serangan daripada seseorang yang membuatnya terbakar api amarah. Nafas diatur semula. Genggaman di hulu pedang dipererat. Kakinya membuka kekuda seperti pendekar yang sudah bersedia menentang segala halangan.

Serangan api meluru ke arah Muda yang lekas menolak badan ke tepi. Api yang disasar kepadanya menghentam katil dan terbakar. Muda melancar serangan kilat ke arah cahaya yang semakin pudar. Kemudian, bebola merah dilepas ke arah yang sama. Lalu pecah menjadi enam piring terbang yang tajam.

Katil yang terbakar dikerling. Muda mendecit kasar. Apa yang hendak dijawab dengan Mona nanti.

'Krak.'

Bunyi sesuatu patah memaksa Muda fokus semula serentak normanya membulat. Susuk tadi menerpa dengan keris panjang di genggaman. Muda sempat menolak bahu kirinya ke belakang daripada mengenai libasan keris yang terlampau laju. Dia menoleh kepada susuk misteri yang melompat balik kuang dan mendarat dengan melutut satu kaki. Matanya tidak lepas memandang kepala susuk misteri yang tetap menunduk ke bawah.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now