"Orang-orang Sirius berlagak!" komen seekor Dejin yang memunculkan diri dari bayang-bayang hitam. Wajahnya seperti gorilla dan berbadan kekar coklat kehitaman.

"Tapi mereka ibarat dewa," seekor lagi muncul dari atas sambil mengibas sayap hitamnya yang besar. Paruh coklatnya kelihatan berkilat ketika disapa biasan cahaya obor api yang menerangi ruangan balairung istana Zaktabur.

"Hitam. Kau dengan Ung pergi intip pergerakan mereka. Beritahu aku jika ada perkara yang tidak menyenangkan berlaku. Jangan bertindak melulu, mereka bukan orang sembarangan. Lagi-lagi wanita itu. Dia ada aura Saga.."

Hitam yang menyerupai gagak kelihatan tersentak.

"Sumpah tinggalkan jasad. Janji, sudah jadi batu api." Zaktabur mendesis sendirian.

Hitam menyembah perintah Zaktabur dan diikuti Ung sebelum melangkah keluar meninggalkan raja mereka yang kelihatan seperti menungkan sesuatu.

○○○

Keesokan harinya, Lian tiba di kem pertahanan Gambit. Namun dia sekadar berhenti hampir dengan kem tersebut sambil termenung jauh sebelum melepaskan keluhan yang terlampau berat.

Molot. Satu-satunya lelaki yang hampir membuatnya curang dengan kekasihnya. Tapi, Molot sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perasaan dan melayannya seperti kawan baik perempuan. Dia sahaja yang terbawa dengan perasaan disebabkan ketiadaan Zorro ketika itu serta layanan Molot yang sudi menurut tingkahnya.

Wajah Lian merah padam. Namun, itu kisah 10 tahun lalu, ketika mereka masih muda. Sebelum dia mengikut keluarganya berpindah ke Kota Shinsin. Dan bertemu semula dengan Zorro yang terpaksa menyambung persekolahan di kota besar itu.

'Ah, aku dengan dia kawan je.'

Lian kelihatan bersemangat semula lalu merentap tali fierce dan menghampiri kem.

..

Muda yang terbaring di atas katil, diperhatikan Mona dengan wajah sugul. Sudah dua hari Muda berkeadaan begitu sejak pengsan tempoh hari. Itupun setelah dia berjaya memujuk Muda dengan mudah.

Apa yang diberitahu Saga, ini ialah petanda bahawa kuasa ulung Muda sudah terbuka sepenuhnya. Setiap pemilik kuasa unggul akan mengalami keadaan yang berbeza tatkala kuasa mereka bebas setelah dikunci dalam tempoh tertentu. Puteri Mawar membuka kuasa ulungnya selepas bertapa selama 70 hari di pergunungan Rao, tiada apa yang berlaku ketika itu. Kuasa Raja Merah pula terbuka ketika sedang tidur. Gegak gempita keadaan istana menghadapi amukan bakal raja mereka secara tiba-tiba pada malam itu. Nasib baik Roar ada untuk menjernihkan suasana. Jika tidak, Istana Seri Gelam hanya tinggal sejarah.

Mona melepas keluhan. Itu apa yang diceritakan Roar malam semalam ketika dia datang melawat. Walau begitu, hatinya tetap berasa galau memandang Muda begini. Muda seorang yang aktif, jika sakit pun dia tidak gemar terperap dalam bilik. Paling lama pun sehari, esoknya dia sudah keluar bermain atau berlatih seperti biasa. Mona tersenyum nipis tatkala memori ketika Muda membesar bermain di kepala. Dulu kecil sahaja, sekarang sudah hampir menyamai ketinggiannya.

Bunyi ketukan daun pintu mematikan lamunannya. Gambit menjengul sebelum melangkah masuk. Dia menghampiri Mona yang sekadar membatu.

"Mona."

Mona tidak membalas, sekadar memberi lirikan mata yang mempunyai seribu persoalan.

"Jangan macam ni Mona. Aku risau tengok kau diam memanjang. Kalau Muda tahu pun dia mesti tak suka. Kau sudah makan belum?" pujuk Gambit yang risau akan kondisi rakannya.

"Aku tak ada selera Gambit. Bila aku tengok Muda, luluh hati ini bila teringat perkara yang terpaksa dihadapinya. Hidup dia jauh lebih pedih daripada aku. Dia tak pernah rasa kasih sayang mak bapa dia. Tapi dia masih kuat menghadap liku-liku kehidupan yang tidak pernah adil kepadanya." balas Mona sambil mengusap kepala Muda.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now