Tyara menggerakkan tangan ke kiri dan kanan. Terhasil dua susuk ilusi sedang berdiri di sebelah badannya. Wanita berambut merah itu berserigai sebelum meluru kehadapan bersama dua susuk di kiri dan kanan.

Tiba-tiba, serangan bebola api hitam yang dilancarkan oleh Hayyat hampir saja mengenai badan Tyara. Namun, wanita itu sempat menghentikan larian dan menolak badan ke belakang dari terkena permukaan bebola yang akan terus meletup jika menyentuh apa sahaja. Bebola api meluru dengan kelajuan penuh bertembung tanah. Serentak itu terhasil letupan kuat betul di sebelah Tyara!

Kedua susuk 'Tyara' tidak mengendahkan apa yang berlaku di belakang. Satu 'Tyara' membuat beberapa bulatan air bercahaya biru di tangannya. Bebola tersebut semakin membesar sebelum ditembak kepada Gambit. Gambit mengelak sebiji bebola air seraya menghasilkan sebilah pedang hitam kilat di genggaman kiri. Dengan bilah-bilah pedangnya, Gambit membelah sebiji lagi bebola air yang meluru laju kearahnya.

'Tyara' satu lagi muncul di hadapan Gambit dan terus menghayun pedang.

Ktank!

Gambit menahan pedang milik 'Tyara' yang bergigi tajam sebelum berpusing ke belakang tatkala bebola air hampir mengenai sisi kiri badannya.

'Tyara' yang melancarkan serangan bebola air terus berlari laju dan menghayun pedang kepada Gambit yang sudah menghadang serangan pedang bergigi tajam milik 'Tyara' lagi satu. Lelaki itu menyeringai seraya berpusing satu tempat dan menghasilkan gelombang kuasa berwarna kelabu gelap. Badan kedua-dua 'Tyara' terus tertolak jauh kebelakang tatkala dihentam oleh gelombang kuasa.

Hayyat pula sibuk membidik Tyara dengan busur dan anak panah disaluti api. Sebanyak mana panah yang dilepaskan oleh lelaki itu, satu pun tidak mengenai susuk wanita itu. Hayyat tahu yang musuh sedang dihadapinya sekarang ini seorang yang kuat. Dahulu dia pernah nampak wanita itu duduk semeja bersama barisan ahli tertinggi Elder Creed ketika dia meminta bantuan dari Lord. Sudah semestinya tahap magisnya bukan sembarangan.

Tapi, kini wanita itu hanya mempunyai separuh dari kuasa asalnya. Mungkin dia tidak sekuat dahulu.

Gambit meluru kepada 'Tyara' yang bersenjata pedang bergigi dan terus melibas bilah pedang hitam kilat melepasi badan musuhnya. Badan klon wanita itu lantas pecah menjadi air. Dia berpaling ke belakang. Seorang lagi klon perlu ditewaskan.

"Marilah syaitan!" Jerkah Gambit seraya meluru laju.

'Tyara' berserigai sebelum turut meluru kepada ketua Gerakan Guling itu. Pedang dijulang tinggi.

Ktank!

Dua pedang bertembung! percikan api terhasil tatkala tetakan dan cantasan yang dihayun, bertembung sesama mereka.

Perlawanan pedang ini kelihatannya didominasi oleh Gambit dengan skilnya dalam mencuri setiap peluang yang hampir membunuh musuhnya. 'Tyara' pula cuba menahan asakan bertali arus dari dua pedang yang dimainkan oleh Gambit. Sekejap pedang hitam dan hijau yang melibas. Belum sempat dia membalas, pedang hitam pula mencelah dengan laju.

'Tyara' terundur beberapa tapak. Baru sahaja dia mendongak, Gambit sudah berada di hadapannya. Dengan jarak tidak sampai satu meter, ianya tidak menjadi masalah untuk Gambit melibas pedang ke musuhnya. Libasannya padu dan laju sehingga tidak ternampak dek mata kasar.

Shruu!

Serentak itu, terpisah kepala lawan Gambit dan jatuh bergolek di atas tanah sebelum pecah menjadi air.

Pemimpin Gerakan Guling itu berpaling menghadap pertembungan antara lagenda yang baru sahaja ditemui dan wanita berambut merah. "Berseronok tak ajak aku," ujar Gambit. Dia membongkok seketika sebelum menujah badannya ke hadapan dengan kelajuan penuh. Angin bertiup kencang, tanah menjadi kedap impak dari pecutan yang dilakukan oleh Gambit.

Tyara kini sibuk berlawan dengan dua susuk yang melancarkan pelbagai serangan ke arahnya. Wanita itu menaikkan tangan ke atas, serentak terhasil tujuh tentakel air bersaiz gergasi melibas-libas musuhnya. Hayyat melompat dan menjadikan permukaan tentakel sebagai tapak untuk melakukan tujahan tinggi ke atas.

Kedua telapak tangan Hayyat dirapatkan. Terhasil percikan api dan kilat sebelum bertukar menjadi bebola api dan kilat yang bergabung menjadi satu. Dia menghala tangannya kepada Tyara yang turut memandang tajam ke arahnya.

Gambit dipukul oleh tentakel air dan terus melayang jauh ke belakang. Dia terpusing di atas tanah sebelum mendarat dengan melutut satu kaki. Bahunya naik turun dengan laju. Gambit tersenyum. Ini baru separuh kuasa yang dia tunjukkan. Bunyi letupan dan pancuran kuasa api daripada Hayyat yang terapung di udara kelihatan kecil dari kedudukannya.
Gambit menghela nafas berulang kali dan langsung meluru laju ke arah kawasan pertempuran.

Mulut Hayyat terkumat-kamit sebelum mengaju jari telunjuk dan hantu kehadapan. Percikan kilat terhasil di hujung jari dan terus memanjang kepada Tyara. Tyara menolak kedua tapak tangan ke hadapan, terhasil beberapa bebola air sebelum meluru ke serangan kilat Hayyat.

Gambit terus menerus mara sambil mendongak tatkala bunyi letupan kuat singgah ditelinganya. Dia berpusing dan melompat tatkala mencatas satu demi satu tentakel air. Cebisan tentakel yang terputus, pecah menjadi air.

Hayyat melancar magis kilat dan bebola api kepada Tyara. Tyara mulai bengang dengan sifat tidak mahu mengalah musuhnya. Setiap kali dia menyerang, dua lelaki tersebut pasti membalas walaupun sudah terkena serangannya.

"Jangan cabar aku!" Teriak Tyara seraya menaikkan tapak tangan ke atas sebelum menjatuhkannya ke bawah dengan laju.

Serentak itu, badan Gambit dan Hayyat dihempas oleh ombak kuat yang entah datang dari mana dan membuatkan mereka ditenggelami dengan air seperti berada di dalam lautan. Gambit berenang ke atas. Tiba-tiba, air yang banyak, mula surut dengan laju dan membuatkan dua susuk tersebut tertarik sehingga ke tanah.

Gambit terbatuk-batuk seraya bangkit duduk bersila setelah air surut sepenuhnya. "Banyak sial air aku telan," getusnya.

Tiba-tiba, bayu sejuk menerpa lembut badannya. Gambit mendongak. Hatinya berasa tidak senang akan perkara ini. Dari jauh, kelihatan kabus tebal kian menghampiri dan terus menerpa Gambit seiring keadaan sekeliling menjadi beku.

Tangan dan keseluruhan badan Gambit terkunci di sebalik ais putih. Dia mengetap gigi. Sial! Getusnya di dalam hati. Sudahlah tengah duduk. Semakin lama, ais tersebut menjalar sehingga leher. Gambit menggeleng ke kiri dan kanan. Dari mulut, ais terus menutupi hidung, mata dan menjalar ke seluruh kepala Gambit.

Hayyat yang berada tidak jauh dari situ turut terkunci pergerakannya setelah kabus tebal melepasi tubuhnya. Dia cuba menggerakkan badan, namun tidak boleh. Magisnya pun tidak boleh dihasilkan. Ah, payah kalau begini.

Di sebalik kabus, seorang wanita berambut merah melangkah perlahan dengan mulut yang tersenyum sinis di wajah. Di genggaman kirinya terdapat trisula berwarna biru muda.

"Kau ingat aku boleh di ayam-ayamkan?"

Soal Tyara sambil terus melangkah ke arah susuk Gambit yang sudah membeku sepenuhnya. Dia berhenti dan merenung tajam patung ais Gambit yang sedang duduk bersila. Tanpa ragu, trisula langsung dihayun kepada patung ais sehingga pecah menjadi batuan kecil dek impakan hentakannya!

"Orang macam ni nak lawan dengan aku ? Huh," perli Tyara sambil menyepak batuan kecil milik patung ais Gambit.

Kemudian, patung ais Hayyat didekati oleh Tyara.

○○○

Praangg!!

Cawan kaca yang berada di tangan Mona terlepas lalu menghentam permukaan lantai dan berselerakan menjadi serpihan kecil tajam. Mona tersentak. Tiba-tiba dia teringat akan Gambit.

Mona lekas membersihkan serpihan kaca supaya tiada yang tercedera kerana serpihan tajam ini. Ketika dia sedang ralit menyapu, pintu hadapan rumah penginapannya diketuk berkali-kali. Mona meninggalkan kerjanya lalu melangkah ke pintu. Daun pintu dikuak, kelihatan wajah panglima Qodi yang bermandi peluh.

"Kenapa panglima Qodi?" soal Mona.

"Ini pasal Gambit,"

"Kenapa dengan dia?"

Panglima Qodi memandang wajah Mona yang beriak risau. Wanita di hadapannya perlu tahu perkara yang telah berlaku supaya tidak mengundang sebarang persoalan. Atau setidaknya, Mona mungkin boleh membantu.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now