Caki mendengus.

Muda dengan mudah mencantas serangan keris besar terakhir milik Caki yang mampu mengikut ke mana sahaja musuhnya pergi. Sekilas, matanya menangkap imej pergerakan dari sisi kiri. Dia menoleh, kelihatan Caki melompat tinggi dan menjunam bilah keris hitam ke arahnya. Muda mengilas pedang merintang di atas muka yang mendongak.

Tanah dibawah tapak kaki Muda retak seribu dan termendap kedalam. Dia menolak pedang ke atas. Caki yang masih terapung di atas angin, membalikkan badan lalu mendarat sebelum meluru dengan laju.

Bunyi dentingan besi, silih berganti dengan suara jeritan dari dua susuk yang tidak mahu mengalah di dalam pertempuran ini. Muda menghayun pedang, Caki melibas keris. Dua senjata yang diperbuat dari besi bertembung, sehingga menghasilkan percikan api. Mereka berundur setapak sebelum menyerang semula.

Pedang pusaka di genggaman kiri dihayun kepada bilah keris hitam yang tidak goyah menahan serangan darinya, malah menyerang ketika menghidu peluang yang terbuka. Caki melompat dan melancar lima piring terbang yang sisinya dipenuhi bilah tajam ke arah Muda. Muda melempar pancaran kilat. Bunyi letupan jelas kedengaran berulang kali tatkala pertembungan serangan mereka.

"Cis, budak ni boleh tahan." omel Caki setelah mendarat.

Muda membuka kekuda dan merendahkan badan sambil mengumpul kuasa api dan kilat di kedua telapak tangan di sisi tubuh. Serentak itu Caki menghasilkan partikel-partikel kecil hitam pada dua telapak tangan yang diaju ke arah Muda.

"Hiarghh!!"

Pekik dua remaja tersebut.

Molot yang baru sahaja tiba di tempat Muda dan Caki berlatih, hanya berdiri bercekak pinggang memandang dua susuk yang bersedia untuk melancarkan serangan. Terdetik dihatinya untuk melihat sejauh mana kekuatan pewaris Raja Merah.

Muda melancar serangan api yang kemudiannya bertembung dengan pancuran kuasa berwarna hitam dari tapak tangan Caki. Kuasa api kilat dan pancuran hitam saling bertolakan untuk seketika, sebelum meletup kuat. Impak yang terhasil dari letupan, membentuk kawah besar serta menaikkan debu-debu yang ditiup angin kencang.

"Muda!" suara teriakan Mona kedengaran jelas dari bahagian belakang rumah penginapan. "Kalau nak berlatih bukan kat sini, pergi tempat lain!" teriaknya lagi sebelum menghampiri Molot.

"Kenapa kau tak suruh diorang berdua berhenti tadi?" soal Mona.

"Malas."

Mona mendengus kasar dengan jawapan ringkas Molot. Dia menghampiri kepulan asap yang meliuk ditiup angin kencang. Awan hitam kian menghampiri.

"Kau berdua pergi masuk dalam!!"

Badan Molot terangkat sedikit dek suara tinggi Mona. Di sebalik kepulan asap, tiga susuk berjalan keluar dengan telinga Muda dipiat sebelah.

"Adeh, adeh, sakit kak," keluh Muda.

Caki pun turut menerima nasib seperti rakannya. Dia meminta bantuan dari Molot yang memandang sambil ketawa. Molot membuat isyarat bagus sambil mengikut masuk ke dalam rumah penginapan dengan ketawa yang berbaki.

..

Awan hitam sudah memenuhi segenap ruang angkasa, bila-bila masa sahaja ia akan menumpahkan isinya yang sarat dengan air. Dentuman guruh bersilih ganti pancaran cahaya kilat yang menerangi alam untuk seketika waktu.

Gambit mendarat berdekatan kaki bukit. Kepalanya mendongak sebelum lesap bersama deruan angin.

Di puncak bukit yang lapang tanpa sebarang pokok melainkan rumput hijau yang tumbuh melata, Gambit memunculkan diri. Dia melangkah menuju batu segi empat tempat bersaiz sederhana yang terpacak pedang bilah kuning hitam di atasnya.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now