Siapa sangka ada kecelakaan lain yang bakal berlaku pada malam itu? Dia bukan TUHAN. Mustahil dia dapat menghidu musibah yang bakal berlaku.

"Bos!" Seperti orang kerasukan dia menghubungi bos sebaik saja melihat kegemparan yang berlaku di rumah teres itu. Matanya yang mengantuk terbuka luas.

"Mati, bos! Ada masalah besar." Segera dia mengkhabarkan berita itu. Takut tetapi dia perlu menghadapinya. Sesungguhnya kelalaian malam tadi bakal mengakibatkan petaka, mahu tak mahu dia perlu bersedia.

Seketika setelah panggilan mereka berakhir, bosnya tiba bersama dengan seorang lelaki tua. Amin nampak dengan jelas mata bosnya yang berkilat menahan amarah. Dia tertunduk menunggu habuan apa yang akan didapatkannya.

Sewaktu hangat darah merah mengalir keluar dari hidungnya, Amin hanya berdiam diri menahan kesakitan. Dia tidak melawan. Bukan kerana dia takut tetapi dia tahu perlawanannya akan berakhir dengan sia-sia. Apatah lagi dia begitu menghormati lelaki itu.

Dia, Mohd Amin bin Zulkifli, seorang remaja lelaki yang pernah hidup terumbang-ambing. Jika bukan disebabkan lelaki yang sedang meremuk- redamkan tulang-belulangnya, Amin tidak akan berjaya seperti sekarang. Dia terhutang budi dan berhutang nyawa pada lelaki ini.

"Sudah, bos. Sudah! Mati budak Amin ni nanti.” Susah payah Encik Abu menarik bos mereka yang gelap mata. Tanpa suara tangannya membelasah Amin di sebalik kereta yang menjadi pengadang pandangan orang terhadap mereka.

Bos mereka sedang marah. Sungguh-sungguh marah! Rahang yang mengeras, tangan yang terbuku kejap yang disimbahi darah Amin adalah bukti kemarahan bos.

Amin meringis. Pipinya masih terdapat lebam yang belum sembuh. Hidungnya juga masih terasa nyeri. Sesekali Amin akan mengaduh kesakitan tatkala tangannya menyentuh perut yang beberapa kali menjadi habuan buku lima bosnya.

"Wei, kau menung apa?"

Amin nyaris hendak menumbuk manusia yang menepuk belakangnya. Sebaik saja dia terpandangkan wajah Diana yang sedang tersenyum ayu ala-ala tomboi Melayu terakhir, dia menarik semula buku lima yang sudah terhala ke wajah Diana. Sipi-sipi mengena sasaran.

"Amboi, garangnya!” Dia duduk di sebelah Amin. Diana santai membelek muka Amin. Amin mengaduh kesakitan sewaktu dia menekan lebam tersebut dengan kuat.

"Sakitlah, bodoh!"

Diana tanpa belas menepuk kepala Amin, "Kaulah yang bodoh! Masa pak su pukul kau, kenapa kau tak melawan? Terlebih bebal," bebel Diana menolak kepala Amin.

Amin menggosok-gosok kepalanya yang dibantai Diana. Anak saudara dengan bapak saudara sama saja. Dua-dua suka adu otot. Patutlah Diana tiada langsung ciri-ciri wanita Melayu terakhir. Semuanya menurun daripada bapa saudaranya yang sedang mendekam di dalam bilik.

"Kau rasa pak su okey tak?" Tanya Diana sambil menopang dagu. Tudung putihnya yang senget dibiarkan tanpa dibetulkan. Depan Amin tak payah nak cantik-cantik sangat. Dia selamba badak pun Amin takkan kompelin lebih-lebih.

Amin diam tidak menjawab. Matanya memandang bilik  bos  yang  tertutup  rapat.  Entah  apa yang sedang dilakukan oleh pak su Diana itu. Sedang merenung kenangan silam ke?

KUUKIR HANYA NAMAMUWhere stories live. Discover now