It Will Never Be

2.2K 156 110
                                    

BAB 50 : TAK AKAN


Olive segera berjalan pulang. Dia sudah letih menjadi penonton setia setiap kali latihan. Kadangkala, dia rasa kecewa kerana kuasanya langsung tidak membenarkannya untuk berlawan. Dia rasa cemburu melihat semua kawan-kawannya menjadi semakin mahir selepas latihan setiap hari.

Tapi, dia juga rasa bersyukur kerana nyawanya tidak berada di hujung tanduk seperti yang lain. Setidak-tidaknya dia tidak terancam. Sheronica menjadi idola kepada mereka yang tidak boleh berlawan. Gadis itu tidak pernah menyertai perang atau perlawanan, tapi dia sentiasa diperlukan malah pernah menjadi salah satu penaung. Ini membuatkan rasa kecewanya hilang serta-merta.

Langkah lelaki berwajah selamba itu terhenti apabila terpandang kelibat seseorang. Cska sedang duduk sendirian di ruang markas itu sambil melakukan sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Tidak semena-mena Olive mengerutkan dahinya. Memikirkan apa yang kawan-kawannya katakan sebelum ini. Bahawa gadis pemalu itu suka padanya. Menyimpan perasaan terhadapnya.

Pada mulanya, dia tidak percaya dan menganggap semua itu hanya gurauan atau kawan-kawannya yang tersilap menilai perkara tersebut. Akan tetapi, dia tidak dapat menahan dirinya daripada memikirkan perkara tersebut. Jika difikirkan semula, Cska hanya ingin bercakap dengan selesa hanya kepadanya. Kepada orang lain, gadis itu akan jadi pemalu dan seolah-olah akan lari menyembunyikan diri pada bila-bila masa sahaja selepas itu. Sepertinya terlalu banyak perkara yang membuatkan dia rasa takut.

Olive menarik nafas panjang kemudian berjalan perlahan-lahan mendekati gadis itu. Mencuba sedaya-upaya untuk tidak mengeluarkan bunyi derapan kaki. Dia juga menahan nafasnya tanpa dia sedari. Dia ingin melihat apa yang gadis itu lakukan kerana dia tahu Cska tidak akan mahu menunjukkannya.

"Buku warna??"

Cska tersentak serta-merta. Sepantas kilat dia menyembunyikan buku yang dipegangnya sambil membesarkan mata.

"Awak serius??" Olive mengangkat keningnya.

Cska hanya mengalihkan pandangannya dengan wajah yang merah padam menahan malu.

"Saya tak gelak lah." Olive mendengus perlahan kemudian segera duduk berhadapan dengan gadis itu. "Saya cuma tak sangka je."

Cska berkerut sedikit. "Khairul belikan untuk saya masa dia keluar membeli-belah kelmarin."

Olive mengangkat keningnya lagi. "Awak yang pesan pada dia, atau... Dia belikan untuk awak?"

Cska mengangkat bahunya. "Dia belikan. Katanya saya akan suka dengan benda ni. Sebab tu dia beli."

"Awak suka??" Tanya Olive lagi.

Cska mengangguk bersemangat. Matanya yang bulat cantik dikelipkan dengan wajah yang suci. "Saya suka."

Olive tersengih kemudian menggelengkan kepalanya. "Pelik awak ni."

"Bukannya saya tak biasa dengar perkataan tu." Cska menggumam dengan nada perlahan bagaimanapun dapat didengar oleh lelaki itu.

"Awak jangan salah faham." Olive mengukir senyuman manis. "Pelik awak adalah perkara yang baik."

Cska tidak membalas. Dia hanya memeluk erat buku warna itu sambil tunduk memandang ribanya.

"Sejujurnya..." Olive masih memandang gadis itu. "Perkara tu membuatkan awak lebih comel."

Cska berani bersumpah yang jantungnya kini hampir meledak mendengar perkara itu diucapkan tanpa berselindung. Matanya kini tidak berkelip bagaimanapun kepalanya masih tidak diangkat.

Huruf II (Sequel) ✔Where stories live. Discover now