"Jangan-jangan bos dah... Oh my... bos tak jatuh cinta dengan saya kan?"

"Awak ni memang perasan betul. Tahu tak comel lawannya apa? Nanti kalau saya cakap awak hodoh, awak marah pulak."

Lisa geram. Mulut! Rasa macam nak sumbat dengan cili saja. Nanti kau!

"Mmm... jadi bos tak jatuh cinta dengan saya kan?" tanya Lisa.

"Tentulah tak!"

"Hah, maknanya bos sukakan sayalah ya. Tak suka lawannya suka," balas Lisa.

Hah, rasakan! Jawab sendiri.

"Hisy! Awak ni! Kalau tak membalas tak boleh ke? Hormat sikit, saya ni masih bos awak dan kita masih di dalam ofis," Kali ini big boss pula geram.

"Tapi sekarang ni dah masuk waktu rehat. Sebagai pekerja saya pun ada hak tau nak rehat. Kalau bos nak jadi workaholic, tolonglah jangan heret saya sama."

"Dah rehat?" Zul Zafri melihat jam tangannya. Sudah pukul 12.30 tengah hari. Setengah jam waktu rehat sudah berlalu.

Lisa hanya mengangguk banyak kali. Selalunya bosnya memang suka langgar waktu rehat. Orang rehat, dia bekerja. Orang bekerja, dia barulah dia ingat nak turun makan.

"Kenapa awak tak beritahu saya?"

"Bos yang layan jiwang sampai tak ingat dunia nak salahkan saya pula."

Zul Zafri segera bangun. Bila bos bangun, Lisa pun bangun cepat-cepat. Dia sudah tak sabar lagi nak qada tidur malam tadi. Nasib baiklah syarikat ini memperuntukkan masa selama 2 jam rehat. Kalau sejam macam kebanyakan syarikat lain, memang tidur-tidur ayam sajalah.

"Bos nak keluar ke? Kalau macam tu saya keluar dululah ya." Lisa laju melangkah.

"Nanti," Zul Zafri memanggil. Automatik langkah Lisa terhenti.

"Kenapa bos?"

"Jom ikut saya," ajaknya.

"Hah? Sekarang? Nak ke mana?" Nampak gaya macam peluang nak tidur agak tipis.

"Lunch. Nazri dengan Saleha tengah tunggu kita di sana," jawab Zul Zafri yang sudah jalan ke hadapan.

"Hah? Kenapa saya tak tahu menahu pun? Sayakan PA bos. Sepatutnya semua jadual bos saya tahu termasuklah waktu dating bos!" soal Lisa. Musnah plan nak qada tidur!

"Sebab saya malas nak beritahu mesej Nazri tadi," selamba saja Zul Zafri menjawab.

Lisa menepuk dahi. Bos kalau datang punya malas, nak bersuara pun malas!

"Jadi, saya wajib pergi ke?" tanya Lisa langsung tak bersemangat.

"Wajib. Awak tetamu kehormat. Saleha nak jumpa awak sangat."

"Kalau saya tak nak pergi?"

"Saya potong gaji."

"Cis!" Automatik kaki Lisa laju melangkah seiring dengan bos.


****


Seperti yang bosnya cakap tadi, Nazri dan Saleha sudah menunggu kehadiran mereka berdua di sebuah restoran tidak jauh dari ofis mereka. Saleha menyapanya dengan gembira. Makin berseri-seri wajah Saleha. Maklumlah, tak lama lagi akan menjadi isteri orang. Kahwin. Siapa yang tak gembira.

"Lisa nak pesan apa? Kami dah order tadi. Jangan risau, hari ini kami belanja," kata Saleha.

"Betul?" Lisa begitu teruja. Bukan senang orang nak belanja makan di restoran yang mewah begini.

"Mmm... jangan risau. Order saja," kata Saleha lagi.

"Baik!" Pantas tangan Lisa mengambil buku menu. Bila dia buka buku menu, bagaikan ada satu cahaya terang keluar dari buku menu itu.

"Oh my..." Meleleh air liurnya melihat menu-menu yang tertera.

Stik! Stik! Stik!

Perutnya seakan-akan menjerit inginkan stik dalam menu itu. Tengok harga... Ya Allah, tak tertelan air liur. Tapi Saleha kata boleh order apa sahaja. Mereka yang akan bayarkan untuknya. Jadi, tak salah kut pilih stik yang mahal begini. Lagipun, masa makan dengan Nazri dulu, dia langsung tak dapat makan stik. Semuanya bos punya pasal!

Oh my... bos! Bos tak bagi makan stik! Bos suruh diet!

Perlahan-lahan Lisa memandang ke arah bosnya yang ralit memerhati buku menu. Agak-agak, kalau dia order stik, bos akan rampas stiknya macam tempoh hari ke? Kalau bos rampas lagi macam mana? Nak makan stik! Sekali pun jadilah.

Lisa, tak ada cara lain lagi. Kalau kau nak makan stik, cepat goda bos sampai dia bagi makan stik! Seru hatinya dengan penuh semangat.

"Ehem... bos," panggil Lisa dengan suara lemah gemalai.

"Hah!" Zul Zafri terkejut. Bukan setakat terkejut tapi meremang bulu romanya apabila mendengar suara Lisa memanggilnya tadi.

"Kenapa?" soalnya cuak. Serius, dia tak pernah rasa gementar seperti ini.

Serentak itu, Lisa mengukir senyuman. Kali ini buat jantungnya berdegup kencang.

"Awak ni kenapa?" Zul Zafri cuba menyembunyikan perasaan gemuruhnya itu.

"Bos... boleh tak kalau saya nak makan stik?" tanya Lisa juga dengan suara lemah gemalai.

"Tak boleh!" balas Zul Zafri tegas lalu mengelap peluh yang mula timbul di dahinya. Aduhai budak ni, nak makan stik pun janganlah buat suara menggoda macam tu. Tension aku!

"Ala... bolehlah. Saya makan untuk kali ini saja... ye?" pujuk Lisa lagi sekali dengan pakej kelip-kelip mata dengan harapan bosnya akan tergoda dengan pujuk rayunya.

"Bagi sajalah Lisa makan, Zul. Kau ni suka mendera sangatlah," celah Nazri pertahankan Lisa.

Oh my... terasa macam jadi heroin sekejap! Encik Nazri bagaikan hero yang berani mempertahankan hak seorang heroin!

"Yalah," jawab Zul Zafri terpaksa menewaskan ego sendiri.

"Yes! Terima kasih bos. Saya sayang bos dunia dan akhirat!" Lisa bersorak gembira.

"Tapi dengan syarat..."

Senyuman Lisa mati tiba-tiba. Ada syarat pula!

"Berani makan, berani tanggung!"

"Demi stik yang sedap mestilah saya berani tanggung!" jawab Lisa penuh yakin sambil mengenyit mata.

Dan sekali lagi, meremang bulu romanya.

"Ah, panas betul tempat ni..." keluh Zul Zafri sambil berkipas. Tiba-tiba saja dia rasa tidak selesa. Tiba-tiba juga badannya rasa seram sejuk. Bahaya sungguh si Lisa ni!

Nazri hanya sekadar memerhati gelagat mereka berdua. Macam biasa, dia tak mahu masuk campur. Nanti lain pula jadinya. Lebih baik duduk diam di tepi dan doakan yang terbaik untuk kawannya itu...


PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSWhere stories live. Discover now