#PCUBB-Part 10

8.3K 352 11

HARI ini aman sedikit. Big boss yang selalu cari pasal tak ada di ofis sejak jam 10.00 pagi tadi. Ada meeting katanya. Huh, nak tipu pun janganlah nak menipu PA sendiri. Mana ada meeting dalam tempoh itu. Semua jadual aktiviti Encik Zul Zafri, dia yang uruskan. Dalam tempoh itu, jadual memang sengaja dikosongkan. Entah macam mana pula tiba-tiba boleh ada meeting.

Tambah lagi, kali ini bosnya tak suruh dia ikut. Biasanya, kalau nak pergi ke bangunan sebelah untuk meeting pun, pasti dia akan ditariknya. Tapi kali ini memang pelik. Baru pertama kali dia diarah duduk diam-diam di ofis.

Jangan-jangan bos ada kekasih rahsia? Teka Lisa. Tapi kalau bos ada kekasih, kenapa tak terus-terang sahaja dengan neneknya? Bukan ke senang. Bukan payah pun. Mungkin ada sebab lain. Contohnya, kekasih rahsia bos itu tidak diiktiraf nenek dia kut. Percintaan terhalang!

Mmm... macam best aje idea ini. Kisah percintaan terhalang. Selalunya kalau situasi begini mesti nenek bos macam watak antagonis yang lain. Nenek bos sudah ada calon menantu yang dia suka sebab calon nenek dia itu jenis yang gedik-gedik.

Atau... girlfriend bos yang gedik? Mungkin juga. Lelaki sekarang kebanyakan pandang rupa paras. Tambah pula orang banyak kaya macam bosnya. Sudahlah kaya. Ada empayar perniagaan yang besar. Handsome pula. Cukup pakej. Perempuan pisau cukur pasti keliling pinggang!

"Lisa!" panggil Kak Wahida.

"Yes!" Lisa terkejut apabila Kak Wahida berdiri di hadapannya. Lama benar agaknya dia mengelamun sampai tidak perasan langsung Kak Wahida menghampirinya.

"Mengelamun apa tadi?" tanya Kak Wardah dengan pandangan 'ini mesti tengah mengelamun fikirkan pasal big boss'.

"Kenapa Kak Wahida?" tanya Lisa sudah tak tahan lagi bila dipandang sebegitu.

"Tak turun rehat ke?" tanya Kak Wahida.

"Hah? Dah rehat ke?" Lisa tengok jam pada komputernya. Sudah pukul 12.00 tengah hari. Memang sudah masuk waktu rehat. Patutlah dia rasa lapar semacam.

"Ini kunci bilik bos. Kalau Lisa turun rehat, pastikan pintu bilik bos dah kunci tau," pesan Kak Wahida.

"Eh, Kak Wahida nak ke mana? Jomlah rehat sama. Hari ni saya tak ada kawanlah. Suhaila pula tak balik ofis lagi..."

"Maaflah. Anak akak tak beberapa sihat. Demam. Sekarang akak nak bawa dia ke klinik. Kita rehat lain kali ye," Kak Wahida terus serahkan kunci sebelum berlalu pergi. Tinggal Lisa seorang diri.

"Ah, rehat seorang dirilah aku hari ni."

Selepas kunci pintu bilik bos, dia menapak keluar. Perut sudah berbunyi. Kalau dulu, dia tak kisah bila-bila pun dia boleh makan tapi sejak bekerja, perutnya sudah pandai set masa makan. Tepat jam 12.00 tengah hari, mesti meragam. Lagi satu, tepat jam 4.00 petang. Gerenti mahu kunyah-kunyah.

"Selamat tengah hari Encik Nazri," ucap Lisa apabila masuk ke dalam lif. Encik Nazri berada di dalamnya. Tapi ucapannya langsung tak diendahkan oleh lelaki itu. Senyum pun tak ada.

Lisa berasa pelik. Suhaila kata Encik Nazri memang terkenal dengan sikap ramahnya dengan pekerja perempuan. Pernah juga dia lihat, lelaki itu bergaul mesra bergelak ketawa dengan pekerja perempuan yang lain tapi bila dia tegur, lelaki itu sombong melangit. Macam tadi. Langsung tidak senyum. Period ke apa!

Bila Encik Nazri tidak mahu melayan, dia pun malas malu melayan. Agaknya, orang macam Encik Nazri hanya melayan perempuan-perempuan yang cantik-cantik saja kut.

Lif berhenti di tingkat 14. Encik Nazri berlalu keluar. Tapi bila pintu lif hendak tertutup, tangan Encik Nazri menahannya. Terkejut Lisa dibuatnya.

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!