#PCUBB-Part 15

7.6K 323 16

"KENAPA mesti aku?" tanya Nazri bengang.

"Apa?"

"Apa salah aku sampai aku kena temankan kau pergi dating ni?" tanya Nazri sangat tidak puas hati. Habis punah rancangannya mahu pergi memancing hari ini. Tak pasal-pasal juga dia kena temankan kawannya itu pergi dating.

"Sebab kaulah aku boleh sangkut dengan Nazurah. Jadi, kau kena bertanggungjawab. Lagipun daripada kau buat kerja yang tak berfaedah lebih baik kau teman aku. Lagipun aku tak ada driver." Puas hatinya. Jadi driver itu hanya alasan. Mana boleh dia biarkan kawan baiknya itu bersenang-lenang menunggu mata kail dimakan ikan.

"Suruhlah setiausaha kesayangan kau tu. Bukan ke dia selalu angkut kau ke sana ke mari?"

"Dia pergi ambil perempuan tu."

Nazri mengeluh panjang.

"Kau kena buat sesuatu dengan fobia takut sesat kau tu. Sekarang, aku masih single. Kalau aku dah kahwin nanti, jangan harap aku nak jadi driver kau. Orang suruh cari driver tak nak. Padahal kerja kau tu memang patut kena ada driver." Nazri sudah mula membebel.

"Kau ni macam Lisa. Ada saja benda kau nak jawab. Aku kahwinkan kau dua orang baru tahu!" gertak Zul Zafri.

"Nak kahwinkan diri sendiri pun tak layak lagi, kau nak kahwinkan aku dengan Lisa? Huh, cermin diri tu sikit. Lagi satu, aku dah lama kenal kau, tahu tak? Bukan sehari dua. Setiap keputusan kau mesti ada makna tersirat. Sekarang ni aku nak tanya, apa fungsi aku sampai kau paksa aku jadi driver kau? Untuk kacau dating kau ke? Atau kau nak declare depan bakal isteri kau tu yang kau tu gay dan aku ni boyfriend kau?" teka Nazri. Kawannya itu bukan boleh percaya sangat. Sanggup buat apa sahaja demi Nazurah.

"Hah, bagus cadangan tu. Lepas tu, tersebarlah satu dunia, cucu Dinasti Group seorang gay. Tak lama lepas tu, nenek dan atuk aku pun bakar aku hidup-hidup!"

"Habis tu? Apa muslihat kau?"

"Mana ada muslihat. Aku cuma tak nak berdua-duaan dengan orang yang aku tak kenal. Itu saja."

"Bukan ke kau paksa Lisa pergi jugak?"

"Lisa tu bukan boleh harap sangat."

"Habis tu aku ni boleh haraplah? Apa harapan kau terhadap aku hari ni?"

"Berempat lagi baik daripada berdua dan bertiga. Lagipun kalau terserempak dengan orang yang aku kenal, dia orang takkan fikir macam-macam bila tengok aku berdua-duaan dengan seorang perempuan. Macam mana kalau Nazurah ternampak aku makan berdua-duaan dengan perempuan tu? Satu masalah lagi aku kena selesaikan."

Nazri mengeluh lagi. Kawannya itu memang terlampau setia sangat. Setiap tindak tanduknya, dia akan fikirkan tentang perasaan Nazurah terlebih dahulu. Kalau Nazurah tidak hargai lelaki seperti ini, memang rugi!


*****


LISA memandang jam tangannya. Sekarang sudah lebih pukul 11.00 pagi. Gertak orang awal-awal pagi jangan lambat tapi dia pula yang lambat. Hampir berkulat dia dengan Saleha duduk menanti tuan putera yang banyak songeh itu. Air pula sudah banyak kali dituang. Nasib baik belum pesan makanan lagi.

"Maaf ya. Mungkin jalan raya sesak kut," kata Lisa kepada Saleha. Dia pula malu bila bosnya buat perangai begini.

"Tak mengapa. Orang macam Encik Zul memang sibuk. Saya faham," jawab Saleha tenang.

Memang Lisa kesian dengan Saleha. Orangnya baik dan sopan budi pekertinya. Tapi keluarganya mahu jodohkan dengan lelaki yang cerewet dan menjengkelkan. Kalau betul-betul mereka kena kahwin, apalah yang akan berlaku?

Harap-harap ada satu keajaiban berlaku. Harap-harap jodoh mereka tidak kesampaian. Bukan apa, orang seperti Saleha hanya untuk lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Bukan macam bosnya!

Jadi, masih belum terlambat untuk brainwash Saleha ini.

"Cik Saleha dah fikir masak-masak ke? Tentang bos saya?"

"Insya Allah. Saya hanya berserah kepada takdir. Lagipun... saya tak ada masalah. Cuma... saya takut kalau Encik Zul tak terima saya. Apa yang perlu saya beritahu pada ummi?" keluhnya.

Masalah! Bila sesuatu masalah itu berhubung kait dengan orang terdekat terutamanya keluarga, memang satu masalah! Banyak hati yang perlu dijaga. Nampaknya dia kena berterus-terang. Sebelum Saleha jumpa bosnya, dia perlu beritahu hal sebenar. Takut pula kalau Saleha jatuh cinta.

Maklumlah bosnya nampak perfect dari luar. Mana-mana perempuan yang pandang sekali gerenti akan jatuh cinta. Macam Lisa. Pertama kali pandang memang berdegup jantung. Tapi bila sudah tahu perangainya yang kerek dan berlagak, nak pandang muka pun tak lalu!

"Cik Saleha, sebenarnya..." Baru saja dia mahu mengatur ayat, telefon bimbitnya berbunyi.

Bos!

"Yes bos!" Lisa segera jawab panggilan itu.

"Dah sampai?" soal bosnya.

"Dah. Bos saja yang belum sampai."

"Saya ada di luar restoran sekarang."

Huh, masuk ajelah! Takkan nak suruh orang jemput pakai kompang baru nak masuk!

"Kejap lagi saya masuk," katanya. Panggilan tamat begitu sahaja. Ada juga yang akan jadi The Hulk versi perempuan nanti ni! Lisa cuba menahan marah.

"Bos dah sampai," kata Lisa kepada Saleha.

"Sampai? Sekarang? Err..." Saleha nampak menggelabah.

"Bertenang. Jangan risau, bos saya tak makan orang... setakat ni..." Pandangan Lisa tertumpu pada pintu utama restoran. Dari jauh dia melihat bosnya melangkah masuk dengan seorang lagi lelaki yang dia kenali.

Encik Nazri? Apa hal pula bos bawa Encik Nazri sekali? Bos ni...

"Bos dah datang." Lisa segera bangun dan menanti sehingga bosnya menghampiri meja mereka. Saleha juga turut bangun tetapi matanya hanya pandang ke bawah. Langsung tak berani bertentang mata dengan lelaki itu.

Kemudian, masing-masing diam. Bunyi alunan muzik jazz saja yang kedengaran. Suasana ini buat Lisa berasa kekok. Bukan saja Lisa, Nazri pun sama.

"Bos, kenalkan ini Cik Saleha. Cik Saleha, ini bos saya, Encik Zul Zafri," Lisa memperkenalkan mereka berdua walaupun rasanya tak perlu kenalkan. Masing-masing sudah sedia maklum matlamat pertemuan itu.

Kemudian, barulah Saleha berani mengangkat kepala.

"Saleha?" Nazri bersuara.

Pandangan Saleha tertumpu pada Nazri. Lama dia merenung Nazri sehinggalah dia nampak terkejut.

"Nazri..." Saleha menyebut nama itu.

Lisa tengok Saleha. Kemudian, dia tengok Nazri. Mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Langsung tak berkelip! Rasanya dia hanya kenalkan nama bosnya. Tidak pula nama Nazri. Kalau Saleha dapat sebut nama Nazri dengan tepat, ini bermakna...

"Kau kenal ke?" tanya Zul Zafri kepada Nazri.

"Jangan-jangan... Encik Nazri ni... yang Cik Saleha katakan hari tu?" teka Lisa sungguh teruja. Harap-harap inilah keajaiban yang dia inginkan!

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!