#PCUBB-Part 31

8.5K 438 60

"APA ni?" tanya Zul Zafri apabila Lisa menghulur sehelai kertas. Kemudian, dia memandang Lisa dengan tajam.

"Borang cuti. Takkan bos tak kenal borang cuti kut," tanya Lisa hairan. Janganlah kata dia tak boleh nak cuti pula. Sepanjang dia bekerja di situ, ini kali pertama dia hendak apply cuti.

"Saya tahu ini borang cuti tapi kenapa sampai tiga hari berturut-turut awak nak bercuti? Awak ingat syarikat ni keluarga awak punya ke?"

"Memanglah bukan syarikat keluarga saya. Sebab tulah saya minta cuti dari bos sebab syarikat ni keluarga bos punya," laju Lisa menjawab.

"Mulut awak tu memang nak kena gam ke? Memang tak sayang mulut langsung. Ada saja jawapan awak."

"Dah bos tanya, saya jawablah."

"Menjawab lagi!"

Serta-merta Lisa menutup mulut. Hantu manalah yang rasuk bosnya hari ini. Tak berbaik lagi ke dengan Nazurah? Asyik bad mood saja.

"Cuti saya tak luluskan."

"Kejam macam Voldemort!" ujar Lisa tanpa sedar.

"Awak kata apa tadi?" Zul Zafri mengangkat muka memandang Lisa yang menyumpahnya tadi.

"Err... maksud saya... bos nampak comel bila jadi kejam," jawab Lisa tersengih-sengih sambil kelip-kelip kedua-dua kelopak mata.

Serentak dengan itu, bulu roma Zul Zafri meremang tinggi. Seram sejuk tubuhnya hanya kerana melihat kedua-dua kelopak mata Lisa berkelip-kelip. Bahaya betul si Lisa ni!

"Awak ingat, dengan goda saya, awak boleh dapat cuti?"

"Ala bos... bolehlah. Tiga hari saja. Pada mulanya saya nak ambil cuti 2 minggu tau..."

"Dua minggu? Awak bercadang nak kahwin lari kat Thailand ke?" sindir Zul Zafri.

"Bos ni... fikir ke situ pulak. Saya nak cuti sebab saya nak siapkan novel saya. Minggu depan dah nak kena hantar. Jadi, saya minta jasa baik bos... tolonglah... tolonglah benarkan saya bercuti," rayu Lisa dengan buat muka belas kasihan.

Zul Zafri tidak senang duduk. Tiba-tiba dia rasa penyaman udara dalam pejabatnya itu tidak berfungsi. Semua kerana Lisa yang sudah pandai menggoda. Walau bagaimanapun, dia tidak akan mengaku kalah. Ingat senang sangat ke nak godanya! Jangan bermimpi, Lisa!

"Awak dah lupa ke yang awak masih berada dalam tempoh percubaan? Dalam tempoh tu mana boleh ambil cuti sesuka hati awak," tegasnya.

"Tapi Kak Wahida tu bos boleh bagi cuti. Takkan saya tak boleh cuti pulak..." Lisa menjawab.

Memang dia sedia maklum tempoh percubaan di syarikat itu ialah enam bulan. Dalam masa enam bulan, selagi dia belum digelar pekerja tetap, tidak ada cuti yang diperuntukkan bagaimanapun masih lagi boleh apply cuti. Cuma, gaji saja yang akan dipotong mengikut jumlah cuti yang diambil.

"Sebab dia ada alasan yang munasabah. Bukan macam awak, nak cuti sebab nak buat kerja lain..." balas Zul Zafri.

Lisa mengetap bibir. Dia sudah dapat jangkakan dari awal lagi. Bosnya gerenti tidak akan benarkan dia bercuti. Nampaknya tak ada cara lain lagi. Kena guna cara psikologi!

Serangan kedua, bermula!

"Jangan-jangan, bos tak bagi saya cuti sebab bos mesti akan rindukan saya bila saya tak ada kat ofis nanti. Maklumlah... buat beberapa bulan ni saya asyik menceriakan hari-hari bos. Rela dibuli, rela dimarah, rela diherdik... bila saya tak ada nanti, bos mesti sunyikan..."

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!