#PCUBB-Part 9

8.4K 348 13

"ATUK mana?" tanya Zul kepada neneknya sebaik menghampiri meja makan.

Seperti biasa, sarapan pagi sudah terhidang di atas meja. Cuma yang pelik, datuknya tidak kelihatan di situ. Selalunya datuknya sudah berada di meja makan sambil baca surat khabar pada waktu begini.

"Ada kat luar tu. Tengah buat senaman taici," jawab Datin Halimah.

"Aik? Sejak bila atuk layan taici?"

"Sejak nak jadi muda baliklah tu," suara nenek macam tidak puas hati. Cemburu pun ada.

"Nenek cemburu ye?" usik Zul Zafri.

"Kalau nenek cemburu pun apa salahnya. Dia suami nenek. Dulu asyik kerja saja. Sekarang, bila dah cucu ambil alih, dia memang banyak masa terluang. Nenek bimbang, kalau tiba-tiba kamu dapat nenek tiri muda bergetah yang lebih muda dari kamu."

Zul Zafri ketawa terbahak-bahak. Sampai ke situ pula nenek berfikir. Atuk nak cari perempuan muda bergetah sebagai bini nombor dua? Itu bukan cara atuk. Dia kenal benar dengan atuknya. Jenis yang setia. Mungkin disebabkan itu, dia sebagai cucu setia menanti Nazurah.

Tapi bila tengok mereka berdua, dia rasa cemburu pula. Entah bilalah dia boleh rasa bahagia begitu. Terus dia teringatkan Nazurah. Entah bagaimana keadaan Nazurah sekarang. Rindu ke Nazurah terhadapnya?

"Sabtu ni kamu free tak?" soal Datin Halimah.

Sudah! Nenek sudah mulakan mukadimah. Itu tak lain dan tak bukan mesti ada sesuatu yang telah dirancangnya. Tak perlu tanya, Zul Zafri sudah dapat agak. Apa lagi kalau bukan pasal jodoh. Tapi tak mengapa. Dia sudah sediakan senjatanya. Lisa!

"Mmm... tak pasti lagi. Zul kena tanya Lisa dulu." Zul Zafri sengaja berikan alasan. Padahal dia tahu sangat pada hari itu dia free sepanjang masa. Biasanya hari Sabtu dia akan bermain badminton dengan Nazri.

"Lisa? Siapa tu?" Datin Halimah terus menyoal. Pantang betul dengar nama perempuan.

"PA Zul. Baru saja Zul ambil dia kerja. Senang sikit nak urus jadual kerja Zul," jawab Zul Zafri dengan harapan nenek tak bertanya lanjut tentang Lisa. Nanti habis rahsianya. Lisa itu senjata barunya. Kalau nenek tahu memang hancur segala rancangannya.

"Oh, tak adalah. Nenek cadang nak kenalkan dengan seorang anak kawan nenek ni. Dia baru saja habis belajar medic di Mesir."

Zul Zafri menggaru kepala. Anak kawan nenek. Kebanyakan kawan-kawan neneknya, ahli masjid. Belajar medic di Mesir. Zul Zafri sudah terbayangkan perempuan bertudung labuh dan sopan orangnya.

Kalau perempuan seperti Zara Alia yang mak ciknya bawa tempoh hari, bolehlah dia tolak mentah-mentah tapi kali ini memang payah sikit. Calon neneknya memang begitu sempurna. Sukar dia nak bagi alasan yang munasabah.

Oh, tak apa! Lisa ada!

"Okey, nanti Zul cuba adjust jadual," jawabnya penuh yakin.


********


"SELAMAT pagi Kak Wahida. Saya ingat saya antara yang terawal datang," sapa Lisa yang baru saja jejak ofis. Dia ingatkan dia antara terawal hari ni. Rupanya Kak Wahida lagi awal.

"Selamat pagi. Akak memang kena awal sebab nak hantar anak ke rumah mak akak. Takut jalan jem pula. Lisa pula? Kenapa awal sangat hari ni?" tanya Kak Wahida.

"Suhaila kena teman Encik Hadi pergi meeting kat luar. Jadi, nak tak nak saya pun kena awal jugalah. Maklumlah hidup menumpang orang."

Kak Wahida sekadar tersenyum.

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!