#PCUBB-Part 32

8.7K 504 74

ZUL ZAFRI memberhentikan keretanya di bahu jalan tidak jauh dari deretan bangunan kedai. Dari dalam kereta dia dapat melihat Lisa sedang duduk bersila di hadapan sebuah kedai komputer. Tanpa berlengah lagi dia segera menghampiri Lisa.

Lisa mendongak pandang atas apabila melihat ada sepasang kaki berdiri di hadapan tempatnya duduk bersila. Bos! Bos betul-betul datang! Lisa cepat-cepat bangun dan menyeka air mata yang masih mengalir. Tapi bila tengok muka bos, lagi laju air matanya mengalir!

Lalu dia terus menangis.

"Bos... semua dah hilang... semua yang saya tulis dah hilang! Lima kedai saya pergi, semua kata laptop saya kena virus dan kena format balik..." ujar Lisa tersekat-sekat menahan tangisan. Merah dan bengkak matanya.

Zul Zafri mengeluh perlahan. Dia tidak tahu sama ada hendak gelak atau bersimpati dengan Lisa. Kalau dia gelak, lagi bertambah kuat enjin tangisan Lisa. Orang yang lalu lalang di sekitar mereka pun sudah tengok semacam.

Lalu Zul Zafri mengambil laptop yang dipegang erat oleh Lisa. Dia meneliti laptop itu sekali imbas. Jenama IBM menarik perhatiannya. Sekali lagi dia mengeluh.

"Jom," ajaknya seraya menarik tangan Lisa.

Lisa yang tak bertenaga itu hanya menurut masuk ke dalam kereta bosnya. Semasa di dalam kereta dia hanya senyap dan menangis dalam diam. Hanya air matanya yang keluar tak henti-henti memikirkan nasib yang dialaminya.

Dia pun tidak menjangka semua ini akan terjadi padanya. Hari ini sepatutnya hari yang paling gembira buatnya kerana dia sudah siapkan manuskrip pada tengah malam tadi. Sepatutnya hari ini dia perlu menyunting manuskrip sebelum hantar kepada penerbit. Mungkin disebabkan terlampau penat dan terlampau gembira, dia terlupa hendak membuat back up buat manuskripnya itu.

Pagi tadi, apabila hendak menyambung kerja-kerja menyunting manuskrip, laptopnya tiba-tiba hang sebelum gelap sampai sekarang. Langsung tak boleh buka. Masa itu dia cuba bertenang dan cepat-cepat bawa pergi jumpa doktor komputer tapi malangnya, lima kedai dia pergi semua beritahu jawapan sama.

Kena format balik! Mana dia tak meraung di situ juga. Puas dia pujuk tokey kedai supaya selamatkan satu manuskrip di dalamnya tapi jawapan yang sama juga dia dapat. Dan tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan membawa bos kepadanya.

"Jom turun," tegur bos Zul Zafri yang membuka pintu untuk Lisa.

Lisa langsung tak sedar kereta yang dipandu oleh bosnya sudah berhenti di sebuah restoran makanan barat. Tapi kenapa mesti restoran? Kenapa bukan kedai komputer? Dia tak puas hati tapi tak ada tenaga untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Dia menurut saja.

"Awak nak makan apa?" tanya Zul Zafri.

Lisa menggeleng perlahan. Buat masa ini walaupun perutnya lapar tapi dia tak ada selera hendak makan. Siapa yang ada selera kalau kerja yang makan masa berbulan hendak disiapkan tiba-tiba hilang begitu saja!

Bila Lisa tak bersuara, akhirnya Zul Zafri mengambil keputusan memesan stik untuk Lisa. Itupun belum cukup untuk membuat Lisa gembira. Lisa terus memandang laptopnya yang tidak boleh hidup lagi.

"Perempuan lain menangis sebab ditinggalkan kekasih, awak pula menangis disebabkan hal kecil macam ni," ujar Zul Zafri ingin ketawa.

"Laptop saya umpama kekasih juga tau! Selama ini mana pernah dia 'tinggalkan' saya sampai begini. Paling menyakitkan hati, semua harta saya dia kebas bawa pergi! Saya belum sempat nak buat back up!"

Zul Zafri tidak dapat menahan diri. Akhirnya dia melepaskan tawa.

"Bos..." rengek Lisa geram. Orang tengah bersedih, dia boleh ketawa pula.

"Yalah. Mari duduk sebelah saya," arah Zul Zafri menarik kerusi kosong di sebelahnya.

Tanpa berlengah Lisa menurut. Zul Zafri mengambil laptop Lisa dan membukanya.

"Berapa lama awak guna laptop ni?"

"Mmm... rasanya dah lebih 10 tahun. Sejak saya tamat ijazah dulu. Laptop ni pun saya beli dengan kawan saya."

"Patutlah. Awak tahu tak?"

"Apa?"

"IBM dah bertukar jenama kepada Lenovo."

Mata Lisa berkelip-kelip memandang bosnya. Bukan tak faham dengan maksud bosnya. Dia tahu tentang hal IBM, Lenovo dan sekutu dengannya. Dia bukan buta teknologi. Cuma yang dia tak faham, apa motif bosnya cakap begitu? Sengaja nak beritahu yang dia ketinggalan zaman dalam bab teknologi?

"Bos perli saya ke?"

"Tak. Maksud saya, biasanya jangka hayat bagi sesebuah laptop adalah dua hingga lima tahun. Awak boleh guna laptop ni lebih 10 tahun... awak buat saya teringat laptop pertama saya."

"Apa dah jadi dengan laptop pertama bos? Rosak?"

"Dah musnah. Dihentam dengan kayu baseball. Oleh arwah atuk saya."

Lisa menelan air liur. Ganas sungguh arwah atuk bos rupanya!

"So, hari ni saya nak tunjukkan satu rahsia yang tak ada sesiapa pun tahu selain Nazri."

"Nazurah?"

Zul Zafri mengeluh perlahan. Perlahan-lahan dia menggeleng. Tanpa membuang masa, Zul Zafri menyucuk masuk satu thumb drive pada laptop Lisa. Berkelip-kelip mata Lisa melihat laptopnya mula hidup tapi hanya keluar perkataan yang sukar difahami.

"Berapa lama awak tak servis laptop awak ni?" tanya Zul Zafri.

"Err..." Lisa tersengih. Bukan berapa lama tapi sejak dia beli laptop itu dari kawannya, dia langsung tak pernah servis laptopnya.

"Kenapa? Teruk sangat ke?" tanya Lisa.

"Lisa, awak memang penternak virus yang berjaya. Bertahun-tahun lama virus ni ada dalam laptop awak, takkan awak tak tahu?"

Sekali lagi kelopak mata Lisa berkelip-kelip. Macam mana bos tahu? Memang dia ada beritahu laptopnya dijangkiti virus tapi macam mana bosnya boleh tahu jangka hayat virus dalam laptopnya?

Ah, itu tak penting buat masa ni!

"Bos, tolong selamatkan manuskrip saya. Saya sanggup buat apa saja asalkan bos boleh selamatkan manuskrip saya."

"Betul? Sanggup buat apa saja?"

Laju Lisa mengangguk. Demi manuksrip!

"Okey. Virus kecil macam ni... kacang saja!"

Dalam masa yang sama, pelayan restoran tadi datang dengan membawa makanan yang dipesan. Tumpuan Lisa terganggu sekejap. Selepas pelayan restoran itu pergi dan dia tengok balik laptopnya sudah bernyawa semula. Dia gosok-gosok kedua matanya kerana tidak percaya.

"Settle. Saya dah keluarkan semua virus yang awak ternak selama ni dan baiki balik sistem yang rosak. Cuba tengok manuskrip awak..."

Lisa segera membuka fail yang menyimpan manuskripnya itu. Laju tangannya klik membuka manuskripnya. Sedikit demi sedikit bibirnya tersenyum lebar.

"Oh my... bos!" Tiada perkataan yang mampu menterjemahkan hatinya pada ketika itu. Air matanya yang kering tadi mengalir lagi. Kali ini bukan bersedih tapi terharu.

"Saya dah selamatkan manuskrip awak pun, awak menangis lagi?"

"Terharu... Macam mana bos buat?"

"Tulah. Jangan pandang rendah pada saya. Kalau awak nak tahu, dulu, saya digelar sebagai King. Raja segala hacker yang ada kat Malaysia ni."

Sekali lagi kelopak mata Lisa berkelip-kelip. Siapa percaya, big boss yang hanya tahu membuli ini adalah raja segala hacker!

"Tadi, awak kata, awak sanggup buat apa saja untuk saya bukan?" tanya Zul Zafri tersenyum licik.

Lisa menelan air liur. Habislah! Mulut ni, suka sangat janji yang bukan-bukan!


PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!