#PCUBB-Part 23

7.4K 324 14

"Kak Wahida, bos dah datang?" tanya Lisa sebaik sahaja tiba di pejabat.

Panjang lehernya terjenguk-jenguk bilik bosnya dari luar. Nasib baiklah bilik bosnya itu hanya berdindingkan kaca. Oleh itu dia boleh nampak apa yang di dalam bilik itu. Masih gelap lagi. Tiada tanda-tanda bosnya sudah masuk ofis.

"Belum lagi. Kenapa pula ni?" tanya Kak Wahida yang pelik melihat kelakuan Lisa yang kalut semacam. Gaya macam orang buat salah pun ada.

"Huh, lega! Saya nak makan nasi lemak ni," kata Lisa sambil mengetepikan segala kertas dan fail ada di atas mejanya.

"Nak makan nasi lemak pun takut ke? Makan sajalah. Ada masa lagi sebelum masuk waktu kerja. Lainlah kalau Lisa makan waktu kerja, mestilah bos marah," kata Kak Wahida.

"Bukan sebab tu. Bos dah tak bagi saya makan nasi lemak atau semua makanan yang menggemukkan. Mulai sekarang, bos nak saya diet!"

"Diet? Kenapa bos tiba-tiba suruh Lisa diet pula?" Kak Wahida terus bertanya.

"Sebab bos dengki dengan orang tembam macam saya ni. Maklumlah orang tembam ni selalunya hidup bahagia tanpa masalah," jawab Lisa acuh tak acuh.

"Pulak?" Kak Wahida antara percaya dan tidak percaya.

"Ah, bau nasi lemak memang harum. Mungkin ini kali terakhir saya makan nasi lemak. Lepas ni kena diet. Kalau tak, tak ada angpow lebih... sedih! Kak Wahida tolong tengok-tengokkan bos ya. Kalau bos nampak saya makan nasi lemak ni gerenti kena potong gaji!"

"Macam-macamlah Lisa ni," kata Kak Wahida terhibur sedikit dengan gelagat Lisa. Bos pula satu hal. Tapi tersangat pelik. Kalau betul Lisa dengan bos tiada apa-apa hubungan, kenapa pula bos suruh Lisa diet? Ini mesti ada apa-apa tapi berlakon macam tak ada apa-apa!

"Bos tu yang macam-macam. Ada saja yang tak kena dengan saya ni. Sekarang ni bos nak saya kurus macam model pulak!" kata Lisa sambil menjamah nasi lemak cepat-cepat.

Sekarang bukan masa nak makan macam pengantin. Bosnya bukan betul sangat. Kadangkala datang terlampau lambat dan kadangkala datang terlalu cepat. Masuk ofis sesuka hati datuk dia punya ofis. Memang pun!

Sepuluh minit kemudian, habis licin nasi lemak dimakannya. Dia langsung tidak meninggalkan satu butir nasi pun. Habis saja makan, dia cepat-cepat buang bungkusan bekas nasi lemak tadi ke dalam tong sampah.

"Ah, lega dapat makan nasi lemak," kata Lisa yang kekenyangan.

"Bos datang!" kata Kak Wahida.

Lisa terkejut. Dia pun buat-buat kemas mejanya yang memang berselerak dengan kertas-kertas kerja yang ditinggalkan semalam. Nasib baiklah bos datang tepat-tepat selepas dia habis makan. Lega sikit hatinya.

"Selamat pagi bos," ucap Lisa dan Kak Wahida serentak. Memang sudah jadi kebiasaan setiap pagi. Bila bos datang sahaja, masing-masing menyapa bos dengan ucapan selamat pagi seperti pelajar sekolah mengucapkan salam setiap kali cikgu masuk untuk mengajar.

"Selamat pagi," jawab Zul Zafri lalu melihat sekeliling dan memandang Lisa dengan penuh syakwasangka.

"Kenapa bos?" tanya Lisa cuak. Bos bila dah pandang macam tu, gerenti ada sesuatu yang tak kena!

"Saya terbau nasi lemak. Awak makan nasi lemak?" tanya bosnya.

"Hah? Mana ada bau nasi lemak. Bos perasan saja kut. Agaknya bos yang mengidam nak nasi lemak kut," jawab Lisa selamba.

Pada masa itu dia ternampak bekas bungkusan nasi lemak yang dibuangnya dalam tong sampah. Habis! Terang-terang bungkusan nasi lemak itu kelihatan di dalam tong sampah. Dia sepatutnya sorok bungkusan itu! Harap-harap bosnya tak perasan.

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSRead this story for FREE!