"Mmm... masuk bilik saya sekarang," arah bosnya.

Berderau darah dalam badannya apabila disuruh masuk ke dalam bilik bos. Dia hanya menurut. Seram sejuk badannya sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam. Ini mesti pasal makan nasi lemak tadi. Walaupun dia menafikan sekeras-kerasnya tapi bosnya itu bukan bodoh. Belajar pun sampai ke luar negara. Bukan mudah untuk ditipu.

Atau mungkin sebab Nazurah? Baru dia teringat tentang pertemuan bos dengan Nazurah semalam! Agak-agak macam manalah pertemuan bos dengan Nazurah semalam. Bos marah ke bila tahu dia sengaja hadiahkan tiket Spongebob?

"Kenapa bos?" tanya Lisa dengan dada berdebar-debar.

"Ini untuk awak," kata Zul Zafri sambil menghulurkan sebuah beg kertas berwarna emas kepadanya.

"Untuk saya?" Lisa bagaikan tidak percaya. Bos bagi hadiah? Teragak-agak Lisa menjenguk di dalamnya. Macam ada sebuah beg tangan. Dia keluarkan kandungan dalam beg kertas itu. Memang beg tangan. Warna pink lagi. Warna kegemarannya.

"Wah, cantiknya! Betul ke untuk saya?"

"Hadiah dari Nazurah. Itu keluaran terbaru rekaan Nazurah."

"Hah?" Lisa tengok lambang pada beg itu. Memang ini lambang jenama Nazurah yang baru meningkat naik itu. Dengar kata beg ini merupakan edisi terhad dan harganya mencecah seribu ringgit.

"Cik Nazurah bagi saya? Kenapa?" tanya Lisa lagi. Mustahil bosnya belikan dia handbag itu sebagai tanda berterima kasih.

"Entahlah. Mungkin sebab dia tahu awak tak mampu nak beli handbag yang mahal macam ni kut," jawab bos macam memerli orang pun ada.

"Oh my... sweetnya girlfriend bos," balas Lisa tak terkesan langsung apabila kena perli tadi. Abaikan. Yang penting sekarang dia dapat handbag berjenama dengan percuma! Ini baru tolong bos berbaik dengan Nazurah. Kalau dia berjaya kahwinkan bos dengan Nazurah dalam tahun ini juga, agak-agak apa yang dia akan dapat sebagai hadiah nanti?

Percutian di Eropah selama sebulan?

Kereta Audi?

Atau... sebuah rumah banglo mewah?

Tersengih-sengih Lisa sambil membayangkan kehidupannya yang bersenang-lenang seperti mak datin yang kaya raya. Ada rumah sebiji. Ada kereta sebuah. Selepas ini, hidupnya pasti akan berubah menjadi lebih baik!

"Bos! Saya dah bernekad. Saya akan pastikan bos kahwin dengan Nazurah tahun ni juga!" ujar Lisa dengan semangat yang berkobar-kobar.

"Baik! Saya akan tuntut kata-kata awak tu. Tapi ingat... jangan beritahu sesiapa pasal ini lagi. Kalau tidak, nahas awak!" Zul Zafri memberi amaran.

"Baik bos!" Lisa menabik hormat. Ada hikmah juga di sebalik idea gila bos melantik dia jadi penasihat cinta.

"Terima kasih bos! Saya doakan semoga bos sentiasa berbahagia di samping Cik Nazurah. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu ya," kata Lisa sudah mengatur langkah. Dia sudah tak sabar nak tunjuk handbag yang dia dapat itu kepada Suhaila. Mesti Suhaila cemburu gila.

"Nanti!" suara bos membantutkan langkah Lisa serta-merta.

"Kenapa bos?" Lisa berpaling.

"Ada cili melekat kat gigi awak," kata bos dengan jelingan tajam.

Serta-merta Lisa menutup mulut. Alamak... kantoi. Habislah, kena potong gaji!

"Err... bos..." Lisa sudah cuak.

"Dah pergi gosok gigi tu..."

Lisa terkejut. Bos tak marah? Jadi, tak kena potong gaji?

"Apa lagi tercegat tu? Nak saya potong gaji?"

"Tak! Baik! Saya pergi sekarang!" Terkedek-kedek Lisa berlari anak keluar dari pejabat bos.

Tutup saja pintu bilik bos, dia mengeluh lega. Huh! Tak sangka. Hebat juga penangan cinta Cik Nazurah sampai boleh menukar mood bos menjadi lebih berperikemanusiaan. Kalau tidak, asyik nak menengking orang.

"Ehem... apa tu?" tanya Kak Wahida sudah senyum-senyum menunjuk ke arah beg kertas yang Lisa pegang itu.

"Mmm... tak... tak ada apa-apa."

Lisa terus letak beg itu di bawah mejanya. Kak Wahida tersenyum mengangguk. Macam sudah dapat agak Lisa terima hadiah. Memang dia terima hadiah tapi bukan dari bos! Hadiah itu daripada teman wanita bos. Tapi, takkan nak cakap Cik Nazurah yang bagi. Nanti terbongkar semua rahsia bos yang perlu dia simpan!

Jadi, senyum ajelah. Jangan cakap apa-apa langsung! Biarlah gosip terus menjadi gosip. Dia tak ada masa nak fikirkan apa orang akan bergosip tentangnya. Janji hati senang dapat hadiah yang tak mampu dibelinya. 

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSWhere stories live. Discover now