"Arghh! Kenapalah aku kena lalui semua ni? Kalau aku tahu bos aku ni gila macam ni, memang aku tak nak jadi setiausaha dia! Tugas novelis adalah menulis dan hiburkan pembaca, bukannya selesaikan masalah orang! Ah, apa idea aku nak bagi bos pagi esok? Aku pun tak tahu nak cipta idea macam mana lagi!" Lisa kebuntuan idea.

"Eh... apa kata kalau esok aku tiba-tiba ambil MC? Hah, tak payah nak jumpa big boss! Cantik!"

Tiba-tiba satu mesej diterimanya. Daripada big boss. Siapa lagi. Lisa segera membuka mesej itu.

JANGAN PURA-PURA NAK AMBIL CUTI SAKIT ESOK. INI AMARAN TAU!

Opocot kau! Spontan Lisa melepaskan telefon bimbitnya. Nasib baik tak pecah berderai.

"Alamak! Bos ni... dah macam ahli nujum dah. Tahu saja apa yang aku fikir! Ah, esok kalau kena maki hamun, reda sajalah." Lisa sudah dapat bayangkan nasibnya pada hari esok.


********


"ATUK mana?" tanya Zul Zafri kepada neneknya yang baru turun untuk bersarapan. Sejak beberapa hari ini, datuknya jarang sekali duduk bersarapan bersama.

"Ada kat atas tu. Baru habis taici," jawab Datin Halimah. "Kenapa?"

"Tak adalah. Nama saja duduk serumah tapi jarang Zul jumpa atuk," balas Zul Zafri.

Entah kenapa Zul Zafri begitu risaukan datuknya itu. Jarang dia rasa begini. Perasaan kali ini begitu aneh. Sebenarnya dia sudah rasa pelik apabila atuknya tiba-tiba menyerahkan Dinasti Group kepadanya. Sejak itu, datuknya memang tidak mahu ambil tahu apa-apa tentang syarikat.

"Mananya nak nampak atuk kalau kamu asyik balik lewat malam. Rumah ni kamu buat macam hotel dah nenek tengok." Suara neneknya menyindir.

"Nenek, Zul balik lewat sebab urusan kerja, bukannya melepak di kelab malam."

"Ala, nenek tahu. Atuk kamu pun macam tu dulu. Selalu sangat balik tengah malam. Kadang-kadang tu, tinggalkan nenek seminggu dua..." Datin Halimah mengeluh perlahan. "Nenek tak kisah sangat sebenarnya tapi nenek risau kesihatan kamu saja. Kamu muda lagi. Muda-muda nilah kena jaga kesihatan. Kalau dah tua, buat apa pun dah terlambat. Tambah lagi kamu belum kahwin lagi..."

Ah, sudah! Nenek sudah masuk bab kahwin. Zul Zafri segera meneguk sedikit air kopi. Tanpa berlengah lagi dia terus bangun. Lagi lama dia di situ, macam-macam soalan akan disoal oleh neneknya.

"Zul pergi dulu, nenek." Zul Zafri menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Huh, cepatnya. Ini macam nak lari daripada nenek saja gayanya." Datin Halimah menjeling tajam. Ketika dia salam cucunya itu, dia pegang tangan itu kuat-kuat.

Zul Zafri cuba tarik tangannya tapi neneknya memang bijak. Boleh aje dia rentap terus tangannya. Tenaga kelakiannya memang lebih kuat daripada neneknya. Tapi dia tak sampai hati pula.

"Sabtu ni, macam mana? Sudah atur masa yang sesuai?" tanya Datin Halimah.

"Err..." Zul Zafri hilang kata-kata. Tak tahu nak berikan alasan apa lagi. "Lisa, PA Zul tengah cari masa yang sesuai sebab jadual hari tu terlampau padat."

"Lamanya PA kamu uruskan jadual. Kalau nenek, memang dah pecat dia dah!"

Pecat? Dia pula yang cuak bila dengar perkataan itu. Macam dia pula yang akan kena pecat. Mana boleh senang-senang dia mahu pecat senjata rahsianya.

"Dia baru aje kerja. Bagilah dia masa sikit." Zul Zafri sengaja bagi alasan.

"Bagi sini nombor telefon PA kamu tu. Biar nenek saja yang cakap dengan dia," pinta nenek.

Parah! Memang neneknya betul-betul serius dengan calon kali ini. Langsung tak menyempat. Tapi kalau bagi juga nombor telefon Lisa, masak juga dia nanti. Sudahlah Lisa tu tiga suku orangnya. Kalau Lisa buat hal, dia juga yang terima akibatnya.

Lisa oh Lisa. Itu pun satu hal. Lama benar dia memikirkan untuk selesaikan hal ini. Ingatkan bila penulis novel mesti seorang yang arif selesaikan masalah cinta. Rupanya... Dia mengeluh.

"Hari ini Lisa akan call tentukan masa dan tempat pertemuan." Zul Zafri cuba yakinkan neneknya.

"Betul ni?" Datin Halimah sudah pandang semacam.

"Betul."

"Kalau dia tak call, biar nenek pecat dia!"

Zul Zafri hanya sekadar tersenyum. Ya. Kalau Lisa tidak mampu jalankan tugasnya dengan baik, buat apa lagi dia hendak simpan lagi. Baik pecat saja!

Akhirnya setelah berpuas hati, Datin Halimah melepaskan satu-satunya cucunya itu pergi kerja. Setelah kelibat Zul tidak kelihatan lagi, dia segera berlalu masuk ke bilik utama. Dia mengukir senyuman ke arah suaminya yang sedang membaca surat khabar di atas katil.

"Zul dah pergi kerja?" soal Datuk Zakaria.

"Dah. Baru saja dia pergi."

"Dia ada tanya apa-apa pasal abang?" tanya suaminya lagi.

"Mahunya tak tanya. Dia tu, walau apa pun mesti dapat hidu punya. Entah sampai bila Imah nak tipu dia," keluh Datin Halimah. "Abang macam mana?"

"Biasalah. Selepas makan ubat tadi, dah lega sikit."

"Kalau Imah beritahu cucu kita ni, gerenti dia paksa juga abang pergi hospital. Degil. Apa salahnya kalau terima rawatan di hospital."

"Abang ni dah tua, Imah. Terima rawatan di hospital terbaik macam mana pun, sudah tak ada maknanya lagi. Sebab tulah abang tak nak Zul tahu pasal keadaan kesihatan abang. Abang tak nak bebankan dia atau sesiapa pun," kata suaminya.

"Abang dengar, Imah ada nak kenalkan seseorang dengan Zul," Datuk Zakaria cuba tukar topik.

"Abang tak suka ke?"

"Bukan abang tak suka tapi abang takut ini boleh membebankan cucu kita tu. Orang zaman sekarang, bukan macam kita dulu-dulu. Ikut saja telunjuk orang tua. Orang tua suruh kahwin, kita pun kahwin. Orang zaman sekarang ni kuat memberontak. Kalau tak kena dengan jiwa sikit, mesti nak memberontak konon nak pertahankan hak masing-masing. Abang tak nak Imah tersilap langkah dan akhirnya hidup siapa yang hancur?"

"Imah tahu. Imah bukannya gesa Zul kahwin awal sangat. Imah buat semua ni sebab nak alihkan perhatian dia juga. Abang juga yang suruh Imah fikirkan cara untuk alihkan perhatian cucu kita tu supaya dia tak risaukan abang. Ini saja yang boleh Imah fikirkan. Kalau Zul tersangkut dengan yang ini, kita juga yang untung sebab boleh tengok cucu kita kahwin. Takkan abang tak nak tengok cucu sendiri kahwin?" tambah Datin Halimah.

"Abang ni... dapat tengok dia membesar dengan baik pun dah cukup bersyukur. Abang tak mahu minta apa-apa lagi dah. Abang cuma mahu dia hidup dengan gembira. Nanti, kalau abang tak ada, abang harap Imah jangan paksa sangat Zul tu. Biar dia tentukan jodohnya sendiri."

"Ya. Imah tahu. Kalau Imah ni jahat memang dah lama Imah paksa dia kahwin dengan calon yang Azizah bawa hari tu," balas Datin Halimah.

Sebenarnya, awal-awal lagi dia tengok Zara Alia, dia sudah tidak berkenan. Nampak sangat plastiknya. Tapi dia selalu fikir yang baik-baik. Mujurlah cucunya juga tidak berkenan.

Tapi untuk kali ini, dia tidak pasti. Tengok gaya cucunya seperti mahu mengelak daripada berjumpa dengan calon kali ini. Seperti yang dia kata tadi, apa yang dia buat ini hanya untuk alihkan perhatian cucunya daripada memikirkan kesihatan si atuk yang tidak sihat akhir-akhir ini. Dia tidak memaksa tapi kalau berjaya, Alhamdulillah.

և8Pל>

PLOT CINTA UNTUK BIG BOSSWhere stories live. Discover now