Bab 13

30 4 0
                                    

Segala persiapan terasa lancar, Aisya suka dengan suasana rumah yang meriah, ditambah dengan kehadiran ahli keluarganya. Gembira kerana semuanya dapat berkumpul di hujung minggu pada bulan April itu untuk meraikan hari pertunangannya.

"Cha, pergi bersiap cepat. Awak tu nak bertunang tau!" suara Datin Luthfiya kedengaran keras menegurnya yang sedang sibuk mencedok kuah kari dari dalam periuk kawah di belakang rumah. Tubuhnya yang sudah berpeluh kerana sibuk bergerak ke sana ke mari terasa sedikit lengkit, agak rimas tetapi tangan dan kaki tidak boleh berdiam diri sahaja menyaksikan orang lain bertungkus lumus di hari pertunangannya.

"Kejap ma, sikit lagi ni nak cedok kari masuk dalam tray. Nak siap dah," senduk besar itu diangkat tinggi dan dicurahkan isinya ke dalam dulang. Asiah di sebelahnya sudah menahan tangan Aisya dari terus bergerak. Kakaknya itu sedari tadi menyuruhnya untuk berehat dan bersiap di dalam bilik.

"Ya Allah Cha, pergi mandi sekarang. Majlis lagi satu jam Aisya Zinnirah, buang sikit perangai degil tu!" Aisya berpaling ke arah belakang, Datin Luthfiya bercekak pinggang bersama wajah yang sedikit garang. Aisya ketawa lucu bersama gelengan, gadis itu meminta anak saudara lelakinya untuk mengangkat dulang di atas bangku rendah itu untuk diletakkan di ruang halaman rumah. Jam di pergelangan tangan dilihat, masih ada satu jam lima belas minit lagi sebelum majlis bermula.

"Ya, ya Cha naik. Aduhai ma, nak tolong pun tak boleh ke?" balas Aisya.

Kedengaran tawa daripada anak-anak buahnya. Terus pipi tembam Afiya yang sibuk mengendeng dekatnya dicubit, "gelakkan mak cik ya. Tunggu awak nanti."

"Cha!"

"Ya, ya, nenek ni garanglah. Pau duit nenek sikit Afiya, biar dia tahu langit ni rendah ke tinggi. Eh apa aku merepek ni?"

Semakin kuat ketawa anak-anak buah perempuannya. Aisya turut ingin ketawa tetapi jelingan mama buatkan Aisya menamatkan hasratnya. Mencicit dia berlari melepasi Datin Luthfiya. Sampai sahaja di tangga rumah, gadis itu mendaki dengan nafas yang sedikit lelah. Sendiri yang cari pasal, jadi tanggunglah sendiri kelakuan diri sendiri.

Aisya tersenyum sendirian, gadis itu masuk ke dalam biliknya. Dada Aisya tiba-tiba jadi sebu di saat melihat hiasan dalaman ruang kamarnya yang sudah bertukar. Gadis itu mengeluh kecil.

"Mak tak sukalah dengan idea Aisya tu, mak nak ada pelamin. Barulah ada gah, malu kawan-kawan mak tengok nanti," Aisya terdengar suara Hajah Rosiah yang berkata di ruangan dapur. Tersentak Aisya ketika itu, tak jadi mahu masuk ke dapur apabila suara Hajah Rosiah memenuhi deria pendengarannya. Hari ini dia bertandang ke rumah Hajah Rosiah untuk berbincang tentang majlis bertunang yang bakal berlangsung di rumahnya.

"Mak, Hafiz nak mak hormat permintaan Aisya. Dia cuma nak mudahkan urusan Hafiz," Hafiz membela bakal tunangnya. Suaranya cukup lembut dan rendah.

"Alah, apalah sangat dengan pelamin yang simple. Keluarga Aisya mampu untuk bayar, keluarga dia tu keluarga kaya! Kedekut sangat kenapa?" sengaja suara Hajah Rosiah dikuatkan, dia memang mahu bakal menantunya itu mendengar ucapannya. Aisya mengetap giginya, marah dengan tuduhan Hajah Rosiah.

"Mak, keluarga Aisya tu memang jenis bersederhana. Fahamlah situasi kami mak, Aisya dan Hafiz nak halalkan hubungan. Hafiz masih nak kumpul duit untuk majlis kahwin dan kehidupan lepas kahwin. Hafiz pun malu mak kalau tak mampu nak sediakan semuanya untuk Aisya, Aisya dah biasa hidup senang," jelas Hafiz panjang lebar. Gadis yang berdiri di luar ruangan dapur itu terdiam, tangan yang membawa pinggan dan mangkuk terasa lemah mendengar suara Hafiz yang sedari tadi lembut dan teguh membelanya. Hati Aisya jadi tersentuh.

"Mak suka bila kau nak jadikan Aisya isteri, dia keluarga berada, pandai pulak tu, keturunan memang baik-baik tapi mak tak nak kau kena pijak. Bila dah ada peluang untuk tumpang kesenangan bakal isteri, gunakanlah peluang tu," Hajah Rosiah memandang anaknya dengan pandangan yang geram. Geram kerana melihat Hafiz terlalu berlembut hati dengan Aisya, Aisya nampak keras hati. Hatinya rengsa jika suatu hari nanti anak lelakinya akan mengikut sahaja kehendak Aisya, sedangkan yang bakal menjadi ketua keluarga nanti adalah anak lelakinya!

607 (Revamp)Where stories live. Discover now