🌲063_

161 13 6
                                    

Anak-anak kecil yang bertempiaran berlari ke sana-sini menjemput senyuman di bibir Clara. Dari jendela bilik Syifa', dia termenung jauh ke halaman rumah. Memerhati dan terus memerhati.

Tidak lama dia begitu, kaki terus menapak keluar ke ruang tamu di mana semua orang sudah berkumpul daripada kedua-dua belah pihak. Mata Clara tertumpu pada figura sahabatnya yang bersimpuh di satu sudut.

Kamera telefonnya diangkat tinggi untuk merakam suasana tersebut. Namun, hasil tangkapannya bergegar. Manakan tidak kalau baru sahaja di mod fokus, sudah dia dirempuh anak-anak saudara Syifa' yang berjujukan. Masih mereka berlumba walaupun maklum litar yang ada hanya sekangkang kera.

"Patutlah Syifa' perangai macam singa. Nak kawal budak-budak ini agaknya," desis Clara sendiri. Dia benar mengerti memandangkan Syifa' punya sebuah keluarga yang sangat besar di mana dia merupakan anak bongsu daripada 11 adik-beradik.

Hendak tak hendak, kaki diangkat jua untuk beredar ke halaman rumah. Sesak nafas dia jika berlamaan di dalam rumah.

"Bila kau balik sana?"

Clara berpaling ke arah empunya suara. Tanpa ragu dia mendekat lalu menarik sebuah kerusi untuk melabuh duduk berhampiran sebuah pangkin di mana tempat pemilik suara yang menegur duduk tenang sambil bersila.

"Malam ini."

"Kau kan baru balik ke sini? Cepatnya."

"Ini pun dah cukup beruntung dapat balik sekejap. Kalau tak, memang tak adanya aku di hari bahagia kau dengan Syifa' ini."

Lelaki itu mencebik.

"Tak sangka kan, Ilham? Bersatu juga kau dengan dia walaupun selalu bergaduh macam ada perang dunia ketiga, keempat sekalipun."

Ilham hanya mengangkat bahu selamba sebelum melarik senyuman tipis.

"Kami hantar kau malam ini ke lapangan terbang."

"Tak payah. Menyusahkan saja. Hari ini hari kau orang bersama keluarga. Tak nak kacaulah."

"Kau pun keluarga kami. Aku dengan Syifa' ...."

Bicara Ilham langsung berjeda tatkala matanya melirik naik ke satu arah jauh melepasi bahu Clara yang menghadapnya.

Automatik, Clara menyoroti ke arah yang sama. Dia berpaling ke belakang.

"Maaf, ganggu. Clara, boleh kami bercakap dengan kau sekejap?"

Belum sempat membuka mulut, Ilham sudah laju menjawab.

"Boleh." Dia terus bangkit. "Jadual penerbangan itu pukul berapa?"

"10 malam."

"Lepas Isyak aku datang ambil kau dengan Syifa'. Bersiap awal."

Tidak pula menerima kata restu daripada Clara atas arahannya itu, Ilham langsung menapak pergi memberi ruang kepada perbualan teman-temannya.

"Aku minta maaf. Aku rasa berdosa sangat pada kau. Tuduh kau macam-macam. Aku ...."

Bicara gadis di hadapannya berjeda dengan esakan.

"Kami banyak buat salah pada kau. Fitnah kau bagai nak rak sebab aniaya Zea macam kami ini suci tak terpalit dosa. Sedangkan kami juga yang bersubahat dengan dia sakiti Aisy."

"Manusia tak pernah lari daripada kesilapan, Maya. Semuanya sudah tersimpan dalam buku masa lalu. Aku pun tak nak tengok lagi halaman yang menyakitkan itu lagi."

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now