🌲048_

75 14 0
                                    

Bunyi penggera telefon tepat jam lima menyapa gegendang telinga Clara. Dia lantas mengubah posisi mengiring kepada berbaring menghadap kipas siling. Dalam kegelapan bilik tidur, mata putihnya samar kelihatan dan sesekali dia mengerdipkan matanya yang langsung tidak disapa rasa kantuk sejak malam tadi.

Selimut ditarik hingga menutupi kepala menyembunyikan diri daripada kedinginan malam. Bunyi jam yang belum dimatikan terus bergema di dalam bilik ditemani desiran angin daripada kipas siling yang semalam sengaja diletak pada kelajuan bernombor lima.

Clara hanya mengerekot melayan kekusutan dalam kehangatan selimut tebalnya.

Ruang itu kembali sunyi. Namun tidak lama. Penggera telefonnya kembali meriuhkan kamar dengan melodi kesedihan daripada gesekan biola.

Lambat-lambat Clara menjenguk ke luar. Telefon dicapai lalu terus dimatikannya. Objek segi empat itu terus membisu dan gelap skrinnya.

Sedang mod malas diaktifkan, dia bergolek perlahan hingga ke birai katil. Setelah dengan sengaja Clara melepasi sempadan, tubuh yang digulung dalam selimut itu terus berdebuk jatuh ke atas lantai dingin seperti nangka busuk.

Dia tidak kisah. Memang itulah yang dipintanya. Mahu dia terus membusuk dan mereput di situ. Dengan itu tiada siapa yang mahu mendekat waima papa dan mamanya sekalipun.

Matanya yang masih segar bugar terus setia berkelip menatap siling putih. Menungnya tidak lama apabila mendengar sayup bacaan Al-Quran yang dipasang daripada masjid berdekatan. Tenang dan nyaman kedengaran.

Kaset yang mengalunkan kalam suci yang dipasang pada jam itu selalunya menandakan bahawa sudah masuk waktu Imsak.

"Sepuluh minit lagi nak masuk waktu Subuh. Sampai sekarang, aku masih tak tidur. Aku tak boleh tidur." Matanya dipejam rapat. Halwa telinga disapa nafas yang dihembusnya berat. "Dan aku tak nak tidur."

Tidak mahu terus mengenangkan nasib sendiri, dengan bersusah payah dia mengengsot keluar dari selimut. Telefon dihidupkan kembali lalu disambung ke wayar untuk dicas. Dia bakal melalui hari yang panjang. Kotak hitam itu perlu bertenaga sepertimana dirinya nanti.

Mahu menambah peratus kekuatan dalam diri sendiri, Clara bergegas mencapai tuala dan berlalu ke bilik air. Dia mandi membersihkan diri sebelum mengambil wudhu'.

Katilnya dikemaskan terlebih dahulu sebelum kaki dipakukan di atas sejadah bersedia untuk menunaikan solat Subuh.

Selesai menguruskan diri, dia segera bersiap di hadapan cermin. Memastikan pakaiannya sesuai untuk menemani diri yang mahu keluar ke satu tempat pagi itu.

"Clara, nak ke mana?" soal Maria yang baru sahaja ingin masuk ke dapur bagi menyediakan sarapan pagi untuk mereka tiga beranak.

"Keluar sekejap, mama."

"Tahu. Tapi keluarnya ke mana?"

"Jumpa kawan. Di ... rumah kawanlah."

"Pagi buta macam ini? Tak payahlah." Maria melangkah menghampiri Clara. Tangan gadis itu digenggamnya erat. "Entah-entah si kawan itu tengah tidur nyenyak lagi."

"Kenapa tergesa-gesa sangat itu? Nak ke mana?" Dari belakang Maria, satu suara garau menegur.

"Jumpa kawan. Ada hal yang kami nak bincangkan."

"Kenapa kena jumpa juga pagi-pagi macam ini? Petang nanti, boleh. Esok pun boleh," Dafi menyoal lagi.

"Takut tak sempat. Kawan Clara itu sibuk sikit. Siang malam kerja. Pagi ini dia ada luang masa sikit, jadi kami janji nak berjumpa. Sekejap saja."

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now