🌲034_

87 13 2
                                    

Seolah sedang mengendalikan mesyuarat seperti biasa, Uncle Lewis menayangkan data statistik yang direkodkan buat dua tahun semasa oleh organisasi The HRight.

Hasil pembocoran maklumat melalui sistem oleh penggodam, mereka berjaya mendapatkan data tersebut. Namun, secara kasar sahaja. Beberapa fail tidak dapat mereka curi kerana disimpan sebagai rahsia tertinggi.

Cara mendapatkannnya juga terlalu sulit dan komplikated. Pernah dicuba beberapa kali, namun pihak Uncle Lewis hanya akan menerima serangan virus pada perisian komputer. Akibatnya, hampir lima buah komputer tidak dapat digunakan selaama dua minggu.

Terasa asing lagi diasingkan dalam kelompok tersebut, Clara memandang layar skrin dengan mata terkedip-kedip. Sedang mata yang lain terlihat sangat fokus dengan pembentangan tersebut, mata Clara pula semakin lama semakin kuyu.

"Peningkatan secara mendadak sejak sebulan yang lepas sebanyak 25 peratus agak mengejutkan pihak kita. Sedangkan mengikut analisis, peningkatan sebanyak itu biasanya mengambil masa selama lima bulan. Dan pada masa yang sama, kita tahu bahawa bekalan racun kawalan organisasi The HRight sudah semakin habis selepas menerima berita yang mengejutkan tahun lepas."

Uncle Lewis berjeda. Setiap wajah anak buahnya dipandang bersilih ganti sebelum anak matanya jatuh kepada wajah Clara. Jelas terlihat gadis itu sedang kebingungan.

"Apa The? Apa benda yang pak cik tu sebut tadi?" soal Clara kepada Syifa' di sebelah.

"Uncle Lewis. Lelaki yang kau panggil pak cik tu ialah Uncle Lewis. The HRight. Singkatan untuk The Human Right," jawab Syifa' dengan mata terpejam rapat. Sungguh dia tak mampu memandang tepat ke arah Clara. Jikalau tidak hendak mendidih saja hatinya.

"Macam pernah dengarlah nama syarikat tu. Tapi aku lupa dekat mana aku ada terbacanya," bisik Clara sendiri.

"Macam mana kau tahu? Kat mana kau baca pasal organisasi ni?"

"Entah. Aku lupa."

"Cuba kau korek lagi otak lembab kau tu. Ingat! Kat mana kau ada terbaca pasal dia orang ni?" Tidak sampai 15 saat menahan sabar, gunung berapi Syifa' sudah meletus.

Bagai dipenyek loyang panas, Clara merasakan wajahnya tenggelam dan berbahang. Malu saat diperkatakan otak lembab oleh Syifa'. Dia benar-benar malu.

"Jaga bahasa awak, Syifa'. Kalau tak, saya persilakan awak untuk segera keluar dari sini. Dah banyak kali saya tegur. Kawal sifat panas baran awak tu. Kawal! Faham?" Uncle Lewis memberi amaran.

"Faham," jawab Syifa' perlahan.

Uncle Lewis menarik nafas panjang sebelum menyambung. Data asas sudah dibentang. Dan terlihat jelas bahawa pengaruh organisasi itu semakin meluas. Entah manifesto apa yang mereka taburkan kepada penduduk Bandar Delaila membuatkan lebih ramai penduduk terikat pada racun kawalan mereka.

Kini, Uncle Lewis mula menunjukkan pengisian yang lebih penting lagi signifikan. Layar skrin mula memaparkan data  beberapa ahli tertinggi dalam organisasi tersebut. Mereka terdiri daripada pakar sains, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan terkemuka dan beberapa lagi latar belakang yang berprofil tinggi.

"Tunggu! Boleh tak Uncle Lewis kembali ke slaid untuk data dua ahli sebelumnya?" minta Clara bersungguh-sungguh.

"Boleh," ujar Uncle Lewis seraya menekan punat kecil pada alat kawalan mini dalam tangannya.

Melihat pada gambar berukuran pasport dalam borang keahlian itu menjentik kekeliruan dalam benak Clara. Kening yang tidak gatal digaru.

"Kenapa, Clara? Awak pernah jumpa atau kenal dia, ke?"

"Saya ... er, tak. Eh, ya! Ya, saya kenal. Tapi tak kenal sangat pun. Kenal sekejap je. Entahlah." Clara kalut. Buntu hendak kata apa.

"Kau tak bagitahu aku pun?" Ilham menjongketkan keningnya.

"Kau tak tanya?"

Perlu ke aku bagitahu kau? sambung Clara dalam hati.

Getaran telefon dalam poket mengalih perhatian Clara buat seketika. Telefon pintarnya ditarik keluar. Dia menerima peringatan berkenaan rancangan ke rumah Aisy petang itu.

Dia berhajat mahu memberitahu Mak Leha sekeluarga tentang keadaan Aisy di hospital. Fakta berkenaan hampir dua minggu Aisy terlantar di hospital tetapi masih belum sampai ke pengetahuan keluarga menimbulkan tanda tanya dalam benaknya.

Saat terpandang paparan skrin telefon, Clara mula teringatkan sesuatu. Kejadian menjumpai harta karun dalam tin milo tempoh hari menjengah minda.

Clara laju mendongak kembali. "Uncle Lewis, saya ada satu fail gambar dalam telefon berkenaan The HRight. Boleh dipindah masuk ke dalam komputer?"

Pernyataan Clara mengundang riak terkejut daripada mereka yang lain. Reaksi berang Syifa' diabaikan. Sungguh dia meluat dengan dua rakan sekelasnya itu. Melayan dia seperti seorang musuh.

"Kau pernah tengok semua gambar tu?" soal Ilham.

Clara menggeleng seraya membalas dengan malas, "belum sempat buka pun."

"Jom, Clara. Kita pergi ke selongkar fail tu. Ikut sini, ya," pelawa Hans segera seraya berdiri menuju ke bilik komputer khas untuk operasi mereka.

* * *

"Uncle berbesar hati terima kedatangan Clara ke sini. Terima kasih sangat untuk perkongsian informasi tadi. Kami berharap supaya Clara dapat bersama kami dalam misi ni," ujar Uncle Lewis bernada memujuk.

"Saya ni tak layak rasanya. Ciput sangat info yang saya ada. Segan pula."

Bahu Clara sedikit jatuh. Jemarinya bertaut kemas. Kepala juga makin lama makin menunduk. Clara kekal dalam posisi tidak yakin. Kali ini dia merendah diri tidak kena tempat. Sedang di dalam hati sudah menggila mahu menerima tawaran keemasan itu.

"Tak perlu risau. Info akan diberi dengan lebih terperinci kalau Clara betul-betul berminat. Lagipun, tengoklah dua ketul manusia yang sekelas dengan Clara ni. Mereka bukan aktif bekerja pun. Menyibuk saja lebih. Lagipun, kami tidak mahu membebankan tanggungjawab kau orang sebagai pelajar."

Menyedari diri mereka disebut Uncle Lewis, Ilham dan Syifa' hanya buat selamba tidak tahu malu. Mata masing-masing ligat berpusing 360 darjah.

"In sha allah, uncle. Nanti saya pertimbangkan. Terima kasih untuk tawaran tersebut. Saya minta diri dulu, ya."

Clara menunduk sedikit kepada Uncle Lewis sebelum bergerak ke arah basikalnya lalu menuntun ia hingga ke pagar utama. Jenuh dia berjalan.

"Penat aku. Kenapalah aku tak kayuh dari tadi lagi?" Clara mengeluh untuk air dalam badan yang telah dia bazirkan dengan sia-sia.

Telefon dikeluarkan dari dalam poket. Memandangkan dia tidak memakai jam tangan, Clara hanya bergantung kepada jam pada skrin telefon.

Lima empat puluh lima petang.

Gambar dia, mama dan papa yang sedang bergambar saat Encik Dafi menerima anugerah pekerja terbaik muncul sebagai paparan skrin utama. Gambar itu diambil daripada fail gambar The HRight sehari selepas penemuan telefon Puan Maria.

"Maaf, Ilham. Aku tipu kau. Aku dah tengok hampir separuh gambar dalam fail tu sebenarnya. Nanti raya tahun depan aku minta maaf dengan kau, ya."

Telefon disimpan kembali. Clara mula mengayuh basikal. Dia kini hanya punya satu destinasi.

Rumah Aisy.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now