🌲039_

69 13 0
                                    

Andai saja dia mempunyai kuasa teleportasi, sudah lama dia bersegera ke tempat yang ingin dituju dalam sekelip mata. Atau kebolehan bergerak sepantas kilat yang membolehkan dia bertemu insan yang acapkali bertandang di fikirannya.

Pintu wad ditolak Clara pantas.

"Aisy," dia memanggil lirih.

Harapannya menggunung mahu bertemu gadis itu namun, apa yang dipamerkan di depan mata benar-benar mengundang resah. Hanya ada katil kosong yang sudah siap digantikan cadar dan selimutnya. Mesin yang pernah menemani Aisy di sisi juga sudah tiada diangkut entah ke mana.

Berputar ligat Clara mencari susuk sahabatnya itu meski sudah mengagak hasil yang pasti menghampakan.

Bunyi troli ditolak di luar menggesa kaki untuk keluar dari wad itu segera. Seorang jururawat wanita yang sedang menolak rak ubatan ditahan serta-merta.

"Maaf mengganggu. Tapi boleh saya tahu pesakit wad ini ke mana?"

"Dia sudah didaftarkan untuk keluar hospital pada pagi tadi."

"Kenapa pula? Setahu saya dia masih belum sembuh sepenuhnya dan perlukan rawatan lanjutan."

"Ya, benar. Oleh itu, penjaganya meminta untuk menjalankan rawatan dari rumah sahaja."

"Sungguh? Bukankah kosnya sangat mahal?"

Mendengar pertanyaan Clara, tersenyum tipis jururawat itu sebelum menjawab tenang, "memanglah mahal. Tapi kalau mereka mampu, tiada apa yang perlu dipertikaikan."

Dahi Clara berkerut seribu. Tak terjangkau dek akalnya memikirkan adakah Mak Leha dan Pak Akob mampu menanggung kos perubatan Aisy yang begitu mahal sedangkan mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

"Jikalau tiada pertanyaan lagi, saya meminta diri dulu." Jururawat itu tersenyum lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan Clara yang masih terpinga-pinga.

Dia kemudiannya bersandar lalu mendongak menatap poster di mana kempen mencegah pembaziran ubat-ubatan yang bertampal pada dinding. Bagai mahu robek poster itu dek ditatapnya lama sehingga mahu saja menembusi dinding bata.

Wajah cekung Aisy yang tak bermaya menari-nari di birai mata. Sejak bertemu empat mata di hospital tempoh hari, seinci kulit Aisy pun tak mampu disentuhnya. Setiap kali dia ingin menggenggam tangan sahabatnya itu, pasti saja dia ditepis kasar dan menerima dengusan kurang senang daripada Aisy.

Getaran telefon di dalam poket seluar menggapai Clara kembali ke paksi realiti. Lambat-lambat dia menyeluk poket memancing keluar telefon pintarnya itu. Nama Ilham yang tertera pada skrin mengundang keluhan kecil Clara. Dia belum bersedia.

Permintaan Ilham terlalu berat untuk ditanggungnya. Masakan dia merelakan rahsia keluarga dibocorkan oleh dirinya sendiri meskipun sudah maklum bahawa mahligai bahagia mereka sudah retak menanti belah dek kesilapan papanya sendiri.

Clara menarik nafas panjang. Saat ibu jari mahu menekan butang hijau, nama Ilham sebagai pemanggil menghilang. Kemudian satu notifikasi muncul memberitahu bahawa ada satu panggilan yang tidak dijawab.

Lantas telefon disimpan kembali ke dalam poket. Kaki pula mula dihayun perlahan menuju ke lif.

* * *

Bunyi kaca berderai menghempas lantai membawa Zaihan ke tahap berwaspada. Dia yang sedang ralit meneliti perincian kandungan dokumen yang baru sahaja diserahkan oleh Zaim itu terus sahaja hilang fokus.

Dia berpaling ke bahaagian dapur di mana beberapa pembantu rumah kelihatan bergegas ke sebuah bilik tetamu. Nafas dihembus kasar. Dokumen dihentak ke meja tatkala melampiaskan amarah yang terbuku di hati.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now