🌲010_

215 34 35
                                    

Clara menghayunkan kakinya lemah ke meja batu yang didudukinya tadi. Rasa penat menjalar di setiap urat sarafnya. Dengan perlahan dia melabuhkan punggung semula ke atas kerusi. Matanya terpaku pada nota kecil yang diselitkan di bawah novelnya. Kertas bersegi empat tepat berwarna merah hati itu ditarik dan dibaca.

Jumpa esok di gudang lama belakang Dewan Raya.
Tepat pukul 4.00 petang.

Clara mengerutkan dahinya bingung. Masih tidak meyakini akan kesahihan nota itu. Mungkin dia telah di'prank' oleh pihak yang tak bertanggungjawab.

Perlu ke aku pergi? Apa yang minah ni nak daripada aku? Hesy...

Jam di tangan dipandang sekilas. 6.25 petang. Sudah hampir senja rupanya dan dia masih berkeliaran di sini. Kertas kecil itu lantas diselitkan ke dalam novel. Clara bersiap-siap untuk pulang.

Aisy takkan datang bersua muka dengannya.

Clara meyakinkan diri.

* * * * * * * * * *

Ilham mengayuh laju ke arah sebuah rumah agam yang tersergam indah di depan matanya. Sebaik sahaja dia menghampiri pagar keluli yang dua kali ganda ketinggiannya itu, ia terbuka dengan automatik.

Tanpa ragu, Ilham masuk melepasi pagar. Perkara pertama yang dilihatnya ialah beberapa pekerja kebun yang sedang duduk berehat dan bersantai bersama-sama, mungkin menunggu waktu untuk pulang.

"Tuan Ilham!" Salah seorang daripada mereka mengangkat tangan hormat kepada Ilham sambil tersenyum. Begitu juga yang lain.

Ilham turut tersenyum sebagai penghormatan kerana mahu tunjukkan peribadi yang baik. Setelah itu, dia memfokuskan kembali kepada kayuhannya. Matanya yang runcing di bahagian hujung mula melilau sekeliling sekejap melihat kawasan halaman rumah itu yang luas. Rumah yang dibina bertemakan rumah Inggeris sangat menarik hatinya kerana kelihatan sungguh elegan.

Di bahagian kanannya terdapat satu garaj kereta yang diparkir deretan kereta yang mewah, berjenama dan ditempah khas daripada luar negara.

Di bahagian kirinya pula terdapat sebuah taman mini di mana daya tarikan utamanya ialah air terjun buatan yang menempatkan pokok kehijauan yang tumbuh melata tetapi masih dalam jagaan rapi. Di depan air terjun buatan itu diletakkan sebuah pondok yang diperbuat daripada kayu jati dan mempunyai ukiran seni yang begitu halus pada setiap sudut pondok. Menambahkan lagi keindahan yang ada, pondok itu berada di tengah sebuah kolam ikan yang disambung ke daratan dengan jambatan.

Di sekeliling kolam pula ditanam dengan variasi bunga yang cantik dan berwarna warni belaka. Dan seterusnya, terdapat juga jalan berbatu yang terkenal sebagai rawatan refleksologi yang menuju ke jambatan. Di sisi kiri dan kanan juga ditanam pelbagai bunga yang mengeluarkan bau yang wangi. Semuanya terjaga dengan rapi.

Ilham terus mengayuh menuju sebuah lorong kecil yang berada antara banglo dan satu rumah kecil yang diasingkan daripada banglo. Ianya merupakan pejabat Uncle Lewis, bapa saudara Ilham.

Basikal disandarkan pada dinding sebelum dia berjalan ke arah pintu rumah kecil itu. Tangannya laju menekan kata laluan untuk membuka pintu itu.

Tik! Tik!

1-3-5-7

Setelah bunyi Click yang menandakan pintu sudah tak dikunci kedengaran, Ilham pantas menolak pintu untuk membukanya.

Kelihatan enam orang rakan sekerjanya telah bersiap sedia di meja untuk bermesyuarat. Mungkin hanya menunggu kepulangannya untuk turut menyertai mesyuarat. Ilham mengambil tempat duduk di sebelah Hans, lelaki yang berumur lingkungan 20-an dan berhadapan dengan seorang gadis yang memakai hoodie hitam. Melihatkan gerangan itu sudab cukup untuk menggelegakkan hati Ilham yang panas membara.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now