🌲023_

83 21 4
                                    

Panjang leher Clara saat mencari-cari kereta milik Puan Maria. Dia risau jika dia terlambat dan mamanya telah beredar sebelum dia tiba di situ. Dia mendecit kesal.

Dengan langkah yang lemah longlai, Clara bergerak ke bangku di perhentian bas. Dengan perlahan, dia melabuhkan punggungnya. Pelajar yang berpusu-pusu membanjiri kiosk di sebelah menyebabkan tempat itu semakin sesak. Pandangan Clara turut terbatas.

Dalam hatinya masih berkira-kira sama ada dia mahu kembali ke Makmal Kimia atau terus menunggu Puan Maria yang masih tidak jelas keberadaannya. Masa masih berbaki lima minit sebelum kelas bermula. Dia yakin bahawa dia mampu tiba tepat pada masanya jika dia berlari masuk ke kawasan sekolah dengan segera.

Tetapi hati kecilnya membangkang.

'Tapi macam mana kalau mama datang? Tidakkah membebankan mama?'

Clara buntu.

"Kak. Inspektor Khai nak jumpa akak. Dia parkir keretanya kat sebelah sana," tegur seorang pelajar perempuan sambil menunjuk ke arah sebuah kereta berwarna hitam.

"Ke ... kenapa, ya?"

"Manalah saya tahu. Saya ikut arahan dia je. Kalau nak tahu sangat, pergilah tanya sendiri."

Pelajar perempuan itu kemudiannya beredar begitu saja. Clara ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga.

"Aduhai. Kena pergi jumpa juga, ke?"

Clara mendecit geram. Benci sungguh dia apabila dipaksa melakukan hal yang tak disukainya. Tambahan pula dia dibiarkan tersepit sendirian antara dua pilihan. Jika tidak pergi, dia akan meninggalkan imej buruk bagi pihak Puan Maria. Tetapi dia tidak mahu bertemu lelaki itu buat sekali lagi.

Cukuplah dengan bersemuka di restoran semalam dan dituduh secara melulu sebagai seorang pembunuh.

'Inilah masanya, Clara. Kau bagitahu pak cik itu yang kau bukanlah pembunuh Zea tetapi Aisy. Inilah satu-satunya peluang yang kau ada!'

Terbit satu suara kecil dalam diri Clara. Mungkin pemikiran daripada minda separa sedarnya. Tempat asal kemunculan suatu idea untuk membuat suatu keputusan.

Bibirnya diketap. Rasa gemuruh pula untuk bertindak sedemikian. Terlalu banyak hal yang perlu dia pertimbangkan tentang Aisy, satu-satunya sahabat baik yang dia ada sejak kecil. Bayangan ahli keluarga Aisy pula muncul dalam fikiran. Wajah tua lagi tidak berdaya Mak Leha dan Pak Akob.

Tetapi hal itu tidak bermakna dia perlu mengorbankan diri sendiri untuk memikul akibat kesilapan Aisy.

'Adakah hanya dunia aku yang tidak adil?'

Setelah mengumpulkan sejumlah kekuatan, Clara bangun dan menarik nafas dalam. Debaran di dada kian menggila. Lutut dirasakan lembik seperti jeli. Kaki dihayun laju ke arah kereta hitam yang dimaksudkan oleh pelajar perempuan tadi.

Clara tekad dengan keputusannya. Jawapan kepada persolan Inspektor Khai semalam dirangka sebaik mungkin di dalam kepala. Dengan itu, tiadalah dia kelam-kabut dan nampak tidak matang nanti.

Cermin gelap di sebelah tempat pemandu diketuk berkali-kali sebelum ia diturunkan oleh pemilik kereta. Wajah Inspektor Khai muncul bersama senyuman manisnya.

"Oh, Clara! Jemput masuk," ajak Inspektor Khai sambil mengisyaratkan tempat duduk sebelah pemandu.

Kening Clara naik sebelah. Aneh rasanya apabila dipelawa oleh seseorang yang belum dia kenal sepenuhnya. Melihat anggukan Inspektor Khai, Clara bagaikan tidak percaya. Dia mula hendak bersyak wasangka dengan muslihat tersembunyi lelaki itu.

"Cepat masuk, Ara. Kita dah lambat."

Setelah disergah dengan suara tegas Inspektor Khai, Clara mula panik. Dia bergegas membuka pintu kereta sebelum mengambil tempat di sebelah pemandu.

Situasi di dalam kereta sunyi sepi tanpa sebarang suara sejak mereka mula bertolak hampir llima minit yang lalu. Clara hanya melemparkan pandangan ke luar kereta sedari tadi. Dia langsung tidak berminat untuk memulakan sebarang perbicaraan.

Jawapan dan soalan yang dia terbitkan tadi kini sudah hilang seperti buih di lautan. Banyaknya tak terkira namun sekejap saja, sudah lenyap daripada mata. Fikirannya semakin bercelaru.

'Kerja gila apakah ini, Clara?"

Berkali-kali dia memaki hamun diri sendiri dek kebodohannya yang mengikut telunjuk Inspektor Khai. Entah ke mana rasa takut yang disulami kebencian terhadap lelaki itu semalam.

"Sekejap lagi, kita sampai. Clara bersedia, ya," ujar Inspektor Khai senang.

"Ki ... kita nak ke mana?"

Soalan Clara dibiarkan sepi. Manakala, kesunyian menjengah kembali. Jam digital pada dashboard sudah menunjukkan pukul 3.30 petang. Puan Maria telah berjanji untuk menjemputnya di sekolah sekitar 2.30 petang iaitu sejam yang lepas. Oleh itu, Clara mula berandaian bahawa Puan Maria mungkin telah kembali ke restoran.

Kereta mula bergerak perlahan dan diberhentikan di hadapan Dewan Raya. Banyak bangunan besar dan tinggi tersergam nan indah di dalam kawasan berpagar itu dengan keluasan ratusan hektar. Setahu Clara, tempat itu memonopoli sebahagian daripada Bandar Delila. Kebanyakan bangunan untuk urusan pentadbiran dan hal ehwal bandar berpusat di situ.

Setelah kereta dimatikan, Inspektor Khai keluar daripada perut kereta dan diikuti Clara.

"Pak cik, kita nak ke mana?"

Sekali lagi, persoalan Clara dibiarkan tidak berjawab. Melihat saja Inspektor Khai menyusup masuk ke dalam semak samun yang bersebelahan dengan pagar batu Dewan Raya mendatangkan rasa gerun Clara. Langkahnya mati. Kali ini dia mengherdik dan meyumpah diri sendiri.

"Tak nampak lagikah kebodohan kau, Clara? Semudah itu kau ikut lelaki ini. Entah ke mana di nak bawa kau. Entah apa yang dia nak buat pada kau," bebel Clara perlahan. Hendak sahaja dia menghantukkan kepalanya dengan kuat. Kini, dia menyesal.

"Ara! Ikut sini," ujar Inspektor Khairul. Clara dilihatnya hanya berdiri kaku berdekatan dengan kereta.

"Pak ... pak cik nak buat apa masuk ke sana?" Clara bertanya naif.

"Kita akan pergi jumpa rakan pak cik. Marilah."

Secara automatik, Clara menggeleng. Dia berundur selangkah. Masih gerun dengan apa yang dia bayangkan dalam benaknya. Di dalam hati, dia meratib zikir tanpa henti sebelum mengambil selangkah lagi ke belakang. Dia sudah bersiap sedia untuk memecut jika Inspektor Khairul bertindak agresif.

"Saya tidak berniat jahat terhadap kamu, Clara. Ayuh ke mari sebelum kita terlambat," gesa Inspektor Khai. Dia mendengus kasar.

"Ma ... macam mana saya nak pastikannya?"

"Jangan banyak soal. Tugas saya adalah untuk membawa kamu ke sini. Turutkan sajalah."

Dengan penuh keyakinan, Clara menggeleng. Dia bertambah panik apabila lelaki yang mungkin sebaya papanya itu datang mendekat. Tanpa teragak-agak, Clara berpaling ke belakang untuk mula bermaraton.

"Hai, Clara!"

Niat Clara terbantut dengan kehadiran gadis yang tidak pasti daripada mana kemunculannya.

"Ha ... Hanis?"

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now