🌲020_

115 28 9
                                    

Beg sekolah disandarkan pada almari di dalam pejabat kecil milik Puan Maria. Niat kedatangannya di restoran itu adalah untuk membantu apa yang perlu. Terperap di rumah juga tidak akan mendatangkan hasil. Kerja sekolah pula sudah disiapkan hampir separuh. Tinggal mahu disambung malam nanti sebelum dia melelapkan mata.

Mata bulatnya melilau ke sekeliling ruang pejabat. Ringkas saja susunan perabot. Ada sebuah meja kerja, dua sofa panjang dan satu almari. Tumpuannya jatuh kepada tudung bawal hitam Puan Maria yang disangkut pada almari dicapai. Dia lantas memakainya. Kemudian, wajah ditilik di hadapan cermin almari. Dia mengulum senyuman manis.

"Cantiknya anak mama pakai tudung."

Suara Puan Maria mematikan lamunan Clara. Mereka berbalas pandangan sebelum Puan Maria mendekat dan menepuk lembut bahu anak gadisnya.

"Ara anggap itu sebagai satu pujian yang ikhlas," ujar Clara lembut.

"Mestilah takkan nak tipu pula. Jadi, macam mana dengan hari ini dekat sekolah? Ada sesiapa buli Ara lagi? Bagitahu saja mama. Nanti tahulah nasib budak itu nanti," tegas Puan Maria berkata. Dia kemudiannya menarik tangan Clara supaya berjalan menurutinya dan duduk di atas sofa.

"Semuanya baik-baik sahaja. Mama jangan risau. Ara bukannya budak lemah yang diorang boleh buli sesuka hati macam dulu. Kulit Ara sikit pun mereka takkan berani jentik tau." Clara tersengih sambil mendabik dada.

"Kalau ada yang buli Ara lagi, Ara kena lawan. Jangan tunjuk yang Ara ini lemah. Paling penting, tahan diri daripada menangis. Sebab tangisan kita merupakan simbol kemenangan diorang. Anak mama sudah kental jiwa dan raganya. Ingat. Sejarah hidup menjadi guru yang terbaik. Belajar untuk bangkit mental dan fizikal. Perubahan mungkin memakan masa. Dan masa juga akan sembuhkan parut yang lama."

Usai menuturkan kata motivasi, dia menghembuskan nafas lega. Lapang dadanya melihat semangat Clara. Sungguh tinggi menggunung harapan Puan Maria untuk melihat Clara berada di puncak kejayaannya.

Ketukan di pintu bilik menyentakkan dua beranak itu daripada dunia mereka tersendiri dan kembali menjejak realiti. Terpacul figura seorang perempuan awal 20-an di muka pintu.

"Puan, ada tetamu nak jumpa di depan. Katanya perihal mustahak. Atau puan hendak saya panggilkan beliau supaya datang ke pejabat?" soal perempuan itu dengan penuh hormat.

"Panggil tetamu itu masuk dan jumpa saya di pejabat," arah Puan Maria. Wajahnya dipalingkan kembali menghadap Clara. "Ara keluar dulu. Nanti selepas jumpa tetamu kita berbual lagi, ya."

Clara mengangguk pasrah sebelum beredar keluar. Ketika menuju ke ruang hadapan, dia bertembung dengan susuk tubuh seorang lelaki yang dikenalinya.

"Kamu pun ada di sini, Clara? Mama kamu mana? Ada di dalam?" tanya Inspektor Khai mesra.

"Ya, ada. Dalam pejabatnya." Clara menunduk hormat. Langkah dengan laju diatur ke kaunter pembayaran.

Melalui kerlingan mata, Clara melihat Inspektor Khai melangkah masuk ke dalam pejabat Puan Maria. Dadanya diurut perlahan. Entah kenapa ada rasa seriau menjalar dalam setiap urat nadi tubuhnya. Mungkin kerana lelaki itu tahu akan namanya. Dan mungkin juga dek kata-katanya yang menimbulkan tanda tanya dalam benak Clara.

"Bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai pemimpin kelak."

Masih terngiang-ngiang ucapan itu di cuping telinga Clara. Sejujurnya, terselit rasa bangga di dalam diri apabila dirinya ditaruhkan harapan sedemikian rupa. Rupanya, masih ada insan yang mengharapkan kejayaan daripada seorang yang masyarakat anggap lemah seperti dirinya. Namun pada masa yang sama, dia dihambat khuatir.

'Normalkah bagi seseorang yang asing dan baru kita kenali memberikan tanggapan sebegitu rupa?'

Menjadi insan kerdil dalam selautan manusia dengan peristiwa lampau yang perit menjadikan Clara lebih suka memerhati tentang ragam masyarakat. Memandangkan dia tidak punya ramai kawan, dia menggunakan masa untuk berfikir dan mentafsir perihal orang lain dengan mengemukakan pendapat sendiri.

Matanya berkalih memandang puluhan pelanggan yang sedang memeriahkan restoran. Mereka berbual dan bergelak ketawa sambil menjamah hidangan masing-masing. Oleh kerana hari itu merupakan hari berkerja, kebanyakan pelanggan datang dengan rakan sekerja masing-masing. Melihat saja cara mereka berpakaian, Clara sudah bisa menebak.

Dia ralit meneliti kerenah setiap pelanggan sambil memangku dagunya dengan tapak tangan. Bagi Clara, kerja itu sangat menarik. Diam dan perhatikan.

Mungkin dengan berborak bersama itulah cara mereka melepaskan penat dan tekanan setelah seharian berkejaran mencari rezeki. Perhatiannya pantas berubah apabila dia menangkap kelibat Inspektor Khai sekali lagi yang baru sahaja keluar daripada bilik pejabat Puan Maria.

Tepat pada jangkaan Clara sesaat yang lalu, Inspektor Khai berjalan menuju ke kaunter. Tempat di mana Clara sedang merangka imaginasinya sendiri.

"Hai, Clara! Macam mana dengan persekolahan hari ini?"

"O-okey je." Clara tunduk ke bawah memandang jemarinya yang runcing.

"Clara sekelas dengan Zea, kan? Pelajar yang telah meninggal seminggu yang lalu," ucap Inspektor Khai lagi mahu memancing perhatian Clara.

"Ya," jawab Clara sambil mengangguk. Pandangan Inspektor Khai dibalas sekilas sebelum dia menunduk kembali.

"Salah seorang rakan baik Zea melaporkan bahawa Clara bertanggungjawab untuk kes tersebut."

Lelaki itu mendekati Clara. Suaranya separuh berbisik. Tidak mahu orang lain mendengarnya. Nyata pernyataannya tadi sudah menarik perhatian Clara apabila gadis itu dengan automatik menggeleng.

"Bu-bukan."

Dada Clara berombak. Nafasnya sesak dan kepala mula rasa berpinar. Tubuhnya seperti hendak melayang dan tumbang ke belakang. Tangannya menggagau sebarang alatan di atas kaunter sebagai tempat untuk dia menahan badan daripada rebah ke lantai.

"Kalau bukan Clara, kenapa perlu menggelabah? Kalau..." Inspektor Khai menembak lagi. Kali ini menembusi dinding kepanikan Clara.

"Inspektor Khairul! Bukankah ini sudah melampaui batas? Menyerang anak saya secara melulu sedangkan dia tidak tahu apa-apa!" Puan Maria memotong percakapan Inspektor Khai dengan pantas. Sebelum lelaki itu membocorkan perkara yang tidak sepatutnya, dia harus bertindak selangkah ke hadapan.

"Maria. Awak tahu bahawa ini semua hanyalah permulaan perjalanan hidupnya." Inspektor Khai menala pandangannya kepada Clara yang sudah membatukan diri.

Wajah Clara berubah kelat. Dia bungkam dan masih kebingungan dengan intipati bicara Puan Maria dan Inspektor Khai.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now