🌲037_

64 12 0
                                    

Skrin telefon yang gelap ditenung lama. Sedari tadi dia hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Syifa' dan Ilham juga kelihatan hanya bersantai. Seorang sedang membelek telefon dan seorang lagi ralit membaca novel. Feyya dan Hans pula sibuk menelaah beberapa fail di satu sudut. Dan Uncle Lewis sudahpun keluar dalam lima belas minit lalu.

Tempoh lima saat merangkak begitu perlahan. Kemudian, kebosanan yang melanda Clara ditamatkan oleh batuk yang jelas dibuat-buat oleh Ilham. Serentak dengan itu, Clara dan Syifa' masing-masing mengangkat muka memandang Ilham.

Dari balik buku, Ilham mengintai mereka berdua. Nampaknya dua mangsa sudah memakan umpan murahannya. Kali ini dia berdehem sambil menutup novel yang dibaca.

"Aku sebenarnya nak tahu tentang sesuatu yang kau cakap dalam kelas tadi."

Clara mengerling Syifa' sebelum memandang Ilham. Kening dijongket tinggi. Jari telunjuk dihala ke dada sendiri. Dengan polosnya Clara bertanya, "kau bercakap dengan aku ke?"

"Ya. Dengan kaulah. Siapa lagi?"

Clara mengangguk malas.

"Sesuatu? Sesuatu apa?"

"Yang berkait dengan papa kau tu. Rasanya sebelum ni, kami tak ada sebut berkenaan papa kau dalam mesyuarat hari tu. Dah kenapa tadi tiba-tiba je terkeluar pasal dia?"

Terbeliak mata Syifa' tatkala Ilham mengajukan soalan itu. Melihat reaksi Syifa', Clara menjadi kurang senang. Lidahnya menjadi kelu. Dia buntu dengan apa yang hendak diperkatakan.

"Clara. Jangan jadi bisu macam tunggul boleh tak? Sebelum berdesup aku hentam kau dengan ucapan yang tak elok, baik kau buka mulut." Syifa' menutup telefonnya lalu diletakkan atas meja. Mahu fokus dengan perbincangan itu.

"Ba ... baik. Aku cerita."

"Silakan," Ilham dan Syifa' berkata serentak.

Clara menarik nafas dalam. Sejujurnya dia tidak bersedia untuk membuka aib keluarga sendiri. Benar-benar tidak suka jika orang luar memberikan perspektif negatif terhadap keluarganya. Malang sekali, itulah hakikat sebenar yang masih tak mampu Clara terima.

"Aku tahu yang Inspektor Khai itu sebenarnya kawan papa. Dua tiga hari lepas ... aku pernah nampak mereka dalam wad Aisy. Bergaduh teruk dengan Mak Leha dengan Pak Akob. Papa aku ...," Clara berjeda.

"Papa aku pergunakan Aisy untuk kajian makmal dia."

Dengan sinis Clara tergelak kecil. Telapak tangannya naik menekup muka yang dirasakan berbahang. Kedua-dua siku dipaku pada kepala lutut bagi menampung kepalanya. Sepertinya ada pemberat yang menarik hati Clara ke dasar. Rasa yang begitu berat benar untuk dia tanggung sendiri.

"Ya, kami tahu."

Kata-kata Ilham membuatkan Clara sedikit tersentak. "Apa ... apa yang kau tahu?"

"Pasal papa kau dan kajian bodohnya," sampuk Syifa' sambil mencebik bibir.

Ilham mendecit geram apabila Syifa' mencelah pada waktu yang tidak sepatutnya. Dan seperti biasa, gadis itu hanya buat tidak tahu.

"Clara, aku nak kau tahu yang perbuatan papa kau dah melampau. Masalah ini dah semakin gawat dari hari ke hari. Satu nyawa melayang di tangan Aisy. Dan aku yakin ia ada kaitan dengan papa kau. Tak mustahil untuk aku kata bilangan nyawa yang akan terkorban bakal bertambah. Termasuklah ...."

Bibir Ilham terkatup rapat ketika Clara mengangkat sebelah tangannya mengisyaratkan dia supaya berhenti bersuara.

"Tak payah nak meleret sangat mukaddimah kau tu. Terus ke poin utama."

"Okey. Sebenarnya kami nak minta kau selidik tentang pelan perancangan jangka masa pendek organisasi The HRight. Jadi, kami ... maksud aku, kita boleh ambil tindakan bagi mengekang kegiatan mereka," ujar Ilham sambil menjeling Syifa'. Dia berharap gadis itu turut dapat menyumbangkan idea untuk menerangkan kehendak utama kumpulan mereka.

Jemari runcing Clara pantas naik memicit dahi. Dia masih berada dalam proses menghadam apa yang dibicarakan oleh Ilham.

"Kau memang nak terus diam ke? Maksudnya kau setujulah dengan kerja gila papa kau?" Syifa' mula menyoal.

"Tak, Syifa'. Aku tak setuju."

"Kalau macam tu, buktikanlah. Mulakan langkah pertama kau. Jangan bazirkan masa. Kawan kau yang terlantar kat hospital tu, tinggal hitung jam saja nak mati. Bila-bila masa anak buah papa kau boleh suntik racun dalam badan Aisy. Kalau ...."

"Syifa', cukup!" Ilham laju memotong ayat Syifa' yang semakin panas didengar.

Memang pantang kalau ada saja peluang, gadis itu terus meroketkan ayatnya yang berapi. Satu sikap Syifa' yang paling Ilham tidak gemar. Mungkin disebabkan itulah mereka sentiasa bertekak setiap kali bertemu empat mata.

Namun, jerkahan Ilham tadi langsung tidak memberi kesan kepada Syifa'. Malah dia dengan selamba menyambung, "mungkin semua benda alah ni masih terlalu awal untuk kau hadam satu persatu. Lebih-lebih lagi bapa kau sendiri yang menjadi dalang segala kejahatan di Bandar Delaila ni. Tapi bagi Aisy, semuanya mungkin dah terlambat."

Setiap patah kata yang meluncur keluar dari mulut Syifa' bagaikan duri yang asyik mencucuk-cucuk segumpal daging yang dipanggil hati. Sakit dan pedih. Dadanya yang sesak menyukarkan dia untuk bernafas. Separuh dirinya meronta mahu menegakkan keadilan untuk Aisy. Dan separuh lagi masih teguh mengikat kasih kepada papanya yang membuatkan dia tidak berani melangkah.

"Kau berdua jangan provok Clara, boleh tak? Dia baru saja sertai kita. Masih perlukan masa untuk sesuaikan diri dan perlu ikuti kronologi situasi daripada awal," tegur Hans daripada belakang Ilham. Dia secara tidak langsung mengendurkan tali yang menegang dari tiga arah.

"Tapi sampai bila? Nak tunggu semua orang dalam bandar ini jadi mangsa ujikaji bapa dia dulu ke baru nak bertindak?" Tanpa lelah, Syifa' sekali lagi lantang bersuara.

"Woi, diamlah!" Hans dan Ilham menjerit serentak. Masing-masing sudah gatal tangan hendak hempuk kepala Syifa'.

Telefon di atas meja dicapai. Syifa' bingkas berdiri.

"Aku tengok Clara okey je. Dari tadi dia diam macam tunggul kayu. Kau berdua pula dah kenapa terlebih sentap dengan apa yang aku cakap? Pelik betullah."

Syifa' mencebik menyampah. Dia kemudiannya berjalan ke arah Feyya yang sedang berdiri berpeluk tubuh menonton adegan tersebut.

"Kenapa? Kak Feyya pun di pihak Clara ke?"

Feyya tersenyum tipis.

"Akak tak menyebelahi sesiapa, Syifa'. Tapi bila bercakap kita kena fikir juga perasaan orang lain, kan? Terasakah dia? Terlukakah hati dia? Sebab ucapan kita mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak. Secara zahirnya mungkin kita tak sedar tapi dalamannya? Kita tak tahu. Negatif yang kita hantar, negatiflah gelombang yang diterima. Tapi kalau positif yang kita beri, positiflah gelombangnya."

Syifa' dan Feyya saling berpandangan.

"Faham. Kak Feyya sokong Clara, bukan saya."

"Eh, marah ke?"

Tidak membantah, Syifa' hanya diam tanpa sebarang respon.

"Apabila seseorang menegur dengan penuh hikmah dan kamu terasa dan kamu marah dengan tegurannya, ketahuilah bahawa sudah ada sebesar-besar takabbur dalam hatimu," ujar Feyya tenang sambil mata bergerak dari baris ke baris ayat yang tertulis atas sehelai kertas.

Kemudian, kertas itu dilipat lalu diletak dalam genggaman Syifa'. Tercengang gadis itu dibuatnya.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now